
Pendahuluan
Kira-kira setahun selepas berlangsungnya Peperangan Badar, kaum kafir Quraisy bertekad untuk membalas dendam setelah mengalami kekalahan besar dalam perperangan tersebut. Mereka menghimpunkan tentera yang lebih besar untuk melancarkan serangan ke atas Madinah, sehingga tercetusnya peperangan yang dikenali sebagai Perang Uhud.
Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal atau 11 Syawal tahun ketiga hijrah (26 Mac 625 M) antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy. Dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.
Pertempuran ini disertai 1,000 orang tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW menuju ke Uhud, tetapi hanya 700 orang sahaja yang berjaya sampai ke medan Uhud. Hal ini kerana Abdullah Bin Ubai iaitu ketua munafik telah menghasut seramai 300 orang tentera untuk berpatah balik ke Madinah. Manakala bilangan tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibni Harb.
Unit Memanah Uhud
Setelah Rasulullah SAW dan tentera Islam sampai di suatu kawasan di Bukit Uhud, Rasullullah SAW mempersiapkan tenteranya untuk pertempuran. Baginda SAW menubuhkan sebuah pasukan memanah yang terdiri daripada 50 orang pemanah yang mahir. Mereka diketuai oleh Abdullah Bin Jubair Bin al Nukman al Ansari al Awsi al Badri.
Rasulullah SAW memerintahkan mereka mengambil tempat di atas Bukit Uhud, yang terletak di sebelah selatan tebing lembah yang sekarang ini dikenali sebagai “Jabal al Rumaah” di tenggara perkhemahan tentera Islam. Jaraknya kira-kira 50 meter dari pengkalan tentera Islam.
Perintah Rasulullah SAW Kepada Unit Memanah Uhud
Maka terbentuklah satu unit khusus yang di tempatkan di atas Bukit Uhud dan mereka diberi tugas khas dan dipertanggungjawabkan dengan satu amanah besar iaitu melindungi Rasulullah SAW dan tentera Islam dari serangan tentera kafir Quraisy khususnya dari arah belakang.
Rasulullah SAW memerintahkan mereka agar memanah tentera kafir Quraisy dari atas Bukit Uhud dengan panah-panah mereka. Pada masa yang sama, Baginda SAW juga memberi arahan tegas kepada unit memanah, agar mereka tetap di posisi mereka, walau apa pun keadaan yang berlaku, sama ada mereka melihat tentera Islam menang atau sedang dibantai oleh musuh. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW.
فَقَالَ ” إِنْ رَأَيْتُمُونَا تَخْطَفُنَا الطَّيْرُ، فَلاَ تَبْرَحُوا مَكَانَكُمْ هَذَا حَتَّى أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ، وَإِنْ رَأَيْتُمُونَا هَزَمْنَا الْقَوْمَ وَأَوْطَأْنَاهُمْ فَلاَ تَبْرَحُوا حَتَّى أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ ”
Maksudnya:
Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu melihat kami disambar oleh burung, janganlah kamu tinggalkan tempat ini sehinggalah aku mengutuskan seseorang kepadamu. Dan sekiranya kamu melihat kami mengalahkan musuh dan menundukkan mereka, janganlah kamu tinggalkan tempat ini sehingga aku mengutuskan seseorang kepadamu.” Riwayat al-Bukhari (3039)
Keingkaran Yang Mengundang Musibah
Peranan unit memanah dalam peperangan Uhud ialah mempertahankan tentera Islam dengan memanah musuh yang cuba merempuh benteng pertahanan Islam. Pasukan tentera berkuda Quraisy di bawah pimpinan Khalid Bin al Walid telah mencuba beberapa kali menimbulkan kekacauan dalam barisan tentera Islam. Namun, setiap percubaan itu berjaya digagalkan oleh pemanah yang berada di atas Bukit Uhud. Mereka menghujani tentera musuh dengan panahan bertubi-tubi.
Tentera Islam berjaya mengkucar-kacirkan tentera musuh, sehingga mereka berundur dan lari menyelamatkan diri. Ketika pasukan pemanah yang berada di atas Bukit Uhud melihat tentera Islam sedang sibuk memungut rampasan perang, sebahagian mereka menyangka kemenangan telah pun dicapai. Lalu, sebahagian mereka terpesona dengan godaan dunia dan melupakan perintah Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan posisi mereka walau apa jua yang berlaku sehingga sampai utusan baginda SAW kepada mereka.
Rasulullah SAW bersabda:
فَقَالَ أَصْحَابُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُبَيْرٍ الْغَنِيمَةَ ـ أَىْ قَوْمِ ـ الْغَنِيمَةَ، ظَهَرَ أَصْحَابُكُمْ فَمَا تَنْتَظِرُونَ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ جُبَيْرٍ أَنَسِيتُمْ مَا قَالَ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالُوا وَاللَّهِ لَنَأْتِيَنَّ النَّاسَ فَلَنُصِيبَنَّ مِنَ الْغَنِيمَةِ. فَلَمَّا أَتَوْهُمْ صُرِفَتْ وُجُوهُهُمْ فَأَقْبَلُوا مُنْهَزِمِينَ
Maksudnya:
“Maka para sahabat Abdullah Bin Jubair berkata, “Harta rampasan! Wahai kaum, harta rampasan! Sahabat-sahabat kamu telah menang, apa yang kamu tunggu lagi?” Abdullah Bin Jubair berkata, Adakah kamu lupa apa yang Rasulullah SAW katakan kepada kamu?” Mereka menjawab, “Demi Allah, kami akan pergi kepada orang-orang (musuh) dan mendapatkan harta rampasan. Apabila mereka pergi kepada musuh, wajah mereka berpaling (mereka dikalahkan), dan mereka kembali melarikan diri.” Riwayat al-Bukhari (3039)
Tiga Ibrah dan Pedoman Daripada Kisah Unit Memanah Uhud
Antara ibrah dan pengajaran yang boleh dihayati oleh umat Islam berdasarkan kisah yang berlaku dalam Perang Uhud ini adalah:
Pertama: Mematuhi Arahan Pemimpin
Ketaatan kepada pemimpin merupakan asas kepada kejayaan dan kemenangan. Pemimpin yang diberi amanah mengetuai pasukan lazimnya mempunyai pandangan yang lebih menyeluruh terhadap sesuatu perkara. Setiap perkara yang terhasil daripada perbincangan dan penelitian hendaklah dipatuhi oleh semua anggota. Sikap mengingkari arahan pemimpin boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dan kegagalan dalam pasukan.
Kedua: Bersatu Teguh Bercerai Roboh
Kesatuan setiap anggota pasukan merupakan tunjang kepada kekuatan dan kejayaan manakala perpecahan membawa kepada kegagalan dan kemusnahan. Unit memanah yang berada di atas Bukit Uhud hanya terdiri daripada 50 orang pemanah. Bilangan itu tidak sampai 10% daripada bilangan keseluruhan tentera Islam yang terdiri daripada lebih kurang 700 orang. Namun, kegagalan sebahagian daripada mereka mematuhi arahan pemimpin telah menyebabkan berlakunya kekacauan dalam pasukan yang akhirnya menyebabkan kematian ramai tentera Islam.
Ketiga: Menjauhi Sifat Tamak
Ketamakan merupakan sifat yang tercela dalam apa jua keadaan sama ada dalam situasi peperangan mahupun sebaliknya. Sifat tamak ini perlu dididik dengan keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Allah. Perkara ini juga berlaku ketika perang Uhud, apabila sebahagian pasukan memanah diuji dengan keinginan terhadap harta dan perasaan tamak selepas melihat sahabat-sahabat mereka mengutip harta rampasan, sehingga mereka mengabaikan arahan Rasulullah SAW agar kekal di posisi mereka walau apa pun terjadi.
Penutup
Kisah unit memanah dalam perang Uhud mengandungi ibrah yang amat bernilai untuk dijadikan pengajaran dan pedoman kepada kita semua. Peristiwa ini mengajar kita bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah kunci kejayaan.
Tindakan peribadi yang melulu tanpa mematuhi arahan pemimpin akan mengundang kekalahan dan melemahkan kesatuan pasukan. Manakala ketamakan dengan harta duniawi tentu sekali akan menatijahkan kerugian yang besar.
Oleh itu, didiklah diri kita menjadi insan yang mengutamakan ganjaran akhirat berupa redha Allah dan Syurga-Nya berbanding nikmat dan habuan dunia yang fana. Segala arahan dari pemimpin, selagi mana tidak melanggar hukum Syarak hendaklah ditaati dan dipatuhi. Didiklah juga diri dan jiwa kita untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, mudah-mudahan beroleh kejayaan di dunia dan juga di akhirat sana.
Ustazah Nur Diyana Binti Soid
Penyelidik MUIS
