Jangan Gadaikan Akal Kepada AI

Teknologi masa kini telah membawa perubahan yang besar terhadap corak kehidupan manusia, khususnya dalam aspek komunikasi, pendidikan, pekerjaan dan kesihatan. Kemajuan teknologi mampu memberikan pelbagai kemudahan serta meningkatkan kecekapan manusia namun, wujud kebimbangan apabila manusia semakin bergantung kepada teknologi sehingga sebahagian fungsi pemikiran dan usaha kognitif mula diserahkan kepada alat digital.

Kebergantungan yang berlebihan terhadap teknologi, termasuk penggunaan AI, berpotensi memberi kesan terhadap keupayaan manusia untuk berfikir menyelesaikan masalah dan membuat pertimbangan secara kendiri. Keadaan ini dikaitkan dengan istilah “brain rot”, iaitu kemerosotan kualiti pemikiran akibat penggunaan teknologi secara berlebihan yang menyebabkan seseorang kurang melatih daya fikir, kreativiti dan keupayaan memproses maklumat secara mendalam. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada tekanan, ketagihan sehingga ia menghilangkan fungsi akal dan menggantikan peranan manusia berfikir dan membuat keputusan.

Islam sangat menitikberatkan peranan akal sebagai anugerah Allah SWT yang membimbing manusia dan setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan. Setiap perkara yang dilakukan perlu berasaskan pertimbangan akal yang dipandu dan dinilai berdasarkan sumber al-Quran dan Sunnah. Hal ini bertujuan memastikan pemikiran serta perbuatan manusia sentiasa berada dalam landasan yang benar dan tidak menyimpang daripada prinsip syariat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِی تَجۡرِی فِی ٱلۡبَحۡرِ بِمَا یَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مِن مَّاۤء فَأَحۡیَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِیهَا مِن كُلِّ دَاۤبَّة وَتَصۡرِیفِ ٱلرِّیَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَیۡنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَـَٔایَـٰت لِّقَوۡم یَعۡقِلُونَ

Maksudnya:

Allah memerintahkan supaya manusia sentiasa berfikir terhadap setiap perkara yang dijadikan oleh Allah di muka bumi ini agar ia dapat dimanfaatkan. Allah juga menyuruh manusia agar berfikir melalui pemerhatian, pengkajian dan penganalisisan tentang tanda-tanda kebesaran- Nya dengan teliti dalam segenap perkara agar tidak tersasar dari jalan yang benar.

Menjaga Akal (Hifz al-‘Aql)

Pemeliharaan akal ertinya memberi perlindungan kepada akal manusia dari apa-apa yang akan merosakkan. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Semua unsur-unsur yang menjurus pada kehilangan dan merosakkan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang merosakkan, sudah semestinya dibanteras dan dihalang dengan segera. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan asas untuk mencapai kemajuan dan mewujudkan umat yang bertamadun.

Kebergantungan berlebihan terhadap AI dalam pengurusan kehidupan berpotensi menjejaskan prinsip hifz al-‘aql dalam maqasid syariah apabila teknologi tersebut menggantikan fungsi pertimbangan manusia dan kepakaran profesional. Walaupun AI boleh menjadi medium sokongan, ia tidak seharusnya menggantikan peranan pakar kerana pemeliharaan akal menuntut manusia membuat keputusan berdasarkan ilmu, pertimbangan rasional dan panduan yang sahih. Sebagai contoh, ramai pesakit mula menggunakan AI untuk atasi masalah emosi dan mental. Kajian yang dilakukan oleh American Psychological Association (APA) mendapati bahawa ramai ahli psikologi melaporkan pesakit mereka menggunakan AI sebagai second therapist untuk mendapatkan nasihat berkaitan emosi, memahami simptom kesihatan mental, mencari sokongan ketika mengalami tekanan dan mendapatkan pandangan seperti daripada seorang kaunselor.

Fenomena ini menunjukkan perubahan cara manusia berfikir dan mengurus kehidupan sehariannya. Walaupun teknologi memudahkan dan memberi akses yang pantas,  namun  kebergantungan berlebihan berpotensi menjejaskan prinsip menjaga akal dalam maqasid syariah apabila manusia mula menyerahkan fungsi pertimbangan, penilaian dan pembuatan keputusan kepada sistem buatan.

Fungsi akal memandu kepada kebenaran dan keyakinan

Memahami falsafah ilmu melalui kerangka epistemologi yang benar akan menghasilkan hakikat sesebuah ilmu yang sempurna. Akal merupakan instrumen penting bagi memandu manusia berdasarkan sumber yang diperoleh. Fungsi akal perlu dipandu oleh wahyu untuk mendapatkan kebenaran dan keyakinan. Namun apabila akal bergerak tanpa bimbingan wahyu dan kesepaduan ilmu yang kukuh, maka ia akan melahirkan individu yang terperangkap dengan sistem taghut. Seterusnya melahirkan individu yang ragu terhadap kebenaran (skeptik) dan atau menolak kewujudan dan peranan Tuhan dalam kehidupan (egnotik). Atas dasar itu, keseimbangan antara akal dan wahyu menjadi asas penting dalam membawa manusia kepada kebenaran dan keyakinan bagi seorang muslim.

Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu kerana ilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam. Ilmu bukan sahaja membantu seseorang memahami agama dan kehidupan dengan lebih baik, bahkan membimbing manusia membuat keputusan serta memberi manfaat dan pembimbing kepada masyarakat.

Firman Allah:

یَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیر

Maksudnya:

“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.(al-Mujadalah:11)

Allah mengemukakan lagi gambaran hati insan yang kuat melahirkan rasa takut dan sentiasa mengingati Allah. Ini kerana perhubungan dengan Allah itu melahirkan ilmu pengetahuan yang betul dan dapat memahami hakikat-hakikat kewujudan makhluk.

 Firman Allah:

أَمَّنۡ هُوَ قَـٰنِتٌ ءَانَاۤءَ ٱلَّیۡلِ سَاجِدࣰا وَقَاۤىِٕمࣰا یَحۡذَرُ ٱلۡـَٔاخِرَةَ وَیَرۡجُوا۟ رَحۡمَةَ رَبِّهِۦۗ قُلۡ هَلۡ یَسۡتَوِی ٱلَّذِینَ یَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا یَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Maksudnya:

 “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (az-Zumar:9)

Kesimpulannya, akal merupakan anugerah Allah SWT yang membezakan manusia dan menjadi asas kepada tanggungjawab, pertimbangan serta pencarian kebenaran. Akal merupakan wasilah yang dimiliki manusia bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah di muka bumi. Namun demikian, akal manusia tetap memiliki batasan, khususnya dalam perkara yang berada diluar kemampuan manusia seperti hikmah-hikmah dalam sesetengah perintah dan larangan Allah justeru kekurangan ini ditampung oleh kesempurnaan wahyu. Oleh itu, kemajuan teknologi bukanlah segala-galanya dan tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya fungsi akal kepadanya. Sebaliknya, perlu dimanfaatkan sebagai wasilah yang menyokong perkembangan ilmu dan kemaslahatan manusia, manakala akal hendaklah terus dipandu oleh wahyu agar setiap tindakan kekal berada dalam kerangka kebenaran dan nilai-nilai yang digariskan oleh Islam.

Ustazah Nur Anis Binti Bahrin
Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top