‘WAKING UP MARRIED’: HENTIKAN ‘CONTENT’ YANG MENCEMARKAN INSTITUSI PERKAHWINAN

1. Trend ‘waking up married’ merupakan satu bentuk kandungan media sosial yang memaparkan kehidupan pasangan suami isteri pada hari pertama selepas bernikah. Kebiasaannya, video tersebut dirakam di hotel atau di kamar pengantin sebagai gambaran suasana selepas malam pertama perkahwinan.

Antara paparan yang sering ditunjukkan ialah persalinan pakaian yang dipakai ketika majlis pernikahan, cincin nikah, dompet, jambangan bunga, serta keadaan bilik yang masih bersepah. Ada juga video yang memaparkan pasangan sedang tidur, berpegangan tangan, berpelukan atau aksi romantik lain dengan kapsyen seperti “kami sudah halal”.

Walaupun pasangan tersebut telah sah sebagai suami isteri di sisi syarak, timbul persoalan sama ada kandungan sebegini bertepatan dengan adab yang dianjurkan oleh Islam.

2. Islam sangat menitikberatkan penjagaan maruah dan privasi hubungan suami isteri. Hubungan yang berlaku selepas akad nikah merupakan nikmat yang dihalalkan oleh Allah SWT, namun ia bukanlah sesuatu yang perlu dipertontonkan atau dikongsi kepada khalayak.

Firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya:

“Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka.”
(Surah al-Baqarah: 187)

Para ulama menjelaskan bahawa lafaz libās (pakaian) bukan sahaja membawa maksud saling melindungi dan melengkapi, bahkan turut menggambarkan kewajipan menjaga aib serta rahsia pasangan.

3. Larangan Mendedahkan Rahsia Hubungan Suami Isteri

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلُ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

Maksudnya:

“Sesungguhnya antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bergaul dengan isterinya dan isterinya bergaul dengannya, kemudian dia menyebarkan rahsia isterinya.”
(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa haram bagi suami atau isteri mendedahkan rahsia hubungan intim mereka kepada orang lain kerana perbuatan tersebut mencemarkan maruah pasangan dan menghilangkan kehormatan institusi perkahwinan.

4. Penilaian Terhadap Trend ‘Waking Up Married’

Pada asasnya, berkongsi kegembiraan selepas bernikah bukanlah suatu kesalahan. Bahkan, menghebahkan perkahwinan merupakan perkara yang dianjurkan dalam Islam.

Namun demikian, kandungan yang memaparkan suasana bilik pengantin, pasangan sedang tidur, aksi romantik yang bersifat intim atau elemen-elemen yang memberi gambaran tentang apa yang berlaku di sebalik malam pernikahan wajar dielakkan.

Walaupun video tersebut tidak menunjukkan hubungan intim secara langsung, ia boleh membuka ruang kepada imaginasi, sangkaan dan persepsi yang tidak baik dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila kandungan tersebut dijadikan tontonan umum semata-mata untuk meraih perhatian atau hiburan.

Oleh itu, tidak semua kandungan ‘waking up married’ dihukum dengan hukum yang sama. Jika sekadar berkongsi rasa syukur atas perkahwinan tanpa menjejaskan privasi rumah tangga, maka ia tidak termasuk dalam larangan hadis di atas. Sebaliknya, jika kandungan tersebut mendedahkan atau mengisyaratkan perkara yang menjadi rahsia antara suami isteri, maka ia bercanggah dengan adab yang dianjurkan oleh Islam.

5. Rumah tangga yang dibina atas dasar iman bukan sekadar diraikan ketika majlis perkahwinan, bahkan turut dipelihara maruah dan rahsianya sepanjang kehidupan berumah tangga. Tidak semua momen indah perlu dikongsi kepada umum. Ada kebahagiaan yang lebih indah apabila disimpan sebagai rahsia antara suami dan isteri.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pasangan yang soleh dan solehah, serta menjadikan rumah tangga kita dipenuhi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah.

Ustazah Nadhratul Hana’ Binti Mohd Soberi

Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top