Hijrah dan Jihad Bukti Kesempurnaan Iman

Hari ini, ramai yang mengaku telah berhijrah dan berubah ke arah kebaikan, namun adakah hijrah itu sudah cukup?

Meninggalkan perkara buruk dan memilih kebaikan adalah satu usaha yang memerlukan pengorbanan. Namun selepas itu, bagaimana mengekalkannya?

Agak sedih melihat trend terutamanya para artis yang telah berhijrah menutup aurat namun apabila tidak disertai dengan istiqamah, terus ditanggal hijabnya kerana kononnya merasakan tidak menjadi diri sendiri.

Begitu juga mereka yang telah pergi haji, namun apabila pulang dari tanah suci, masih terus bergelumang dengan dunia ‘glamor’ yang penuh dengan kelalaian dan kebatilan.

Ini hanyalah fenomena yang sering dilihat di media-media sosial.

Namun tidak dinafikan, terdapat juga sebilangan umat Islam yang hanya menganggap atau memahami agama ini hanya meng’hijrah’kan diri ke arah kebaikan dan berlegar di sekitar amalan individu tanpa menyedari kewajipan jihad dalam memperjuangkan dan menegakkan hukum Allah dalam perundangan, politik, pendidikan dan segala aspek kehidupan yang lain

Justeru, hijrah tidak sempurna tanpa disertai dengan jihad.

Dalam Al-Quran, perkataan Hijrah dan Jihad sering digandingkan untuk menunjukkan bukti keimanan para mukminin. Antaranya firman Allah SWT dalam ayat-ayat berikut:

1. Surah Al-Baqarah: 218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang berIMAN, dan orang-orang yang berHIJRAH serta berJIHAD di jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

2. Surah Al-Anfal: 75

وَالَّذينَ ءآمَنوا مِن بَعدُ وَهاجَروا وَجٰهَدوا مَعَكُم فَأُولٰئِكَ مِنكُم ۚ

“Orang-orang yang berIMAN sesudah itu dan berHIJRAH lagi berJIHAD bersama kamu, mereka itu dari (golongan) kamu.”

3. Surah An-Nahl: 110

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذينَ هاجَروا مِن بَعدِ ما فُتِنوا ثُمَّ جٰهَدوا وَصَبَروا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

“Dan sesungguhnya Tuhanmu bagi orang-orang yang berHIJRAH sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berJIHAD dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah menerangkan ciri keimanan seseorang itu dengan menggandingkan sifat muhajir (orang yang berhijrah) dan mujahid (orang yang berjihad) seperti berikut:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ : أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِالْمُؤْمِنِ ؟ مَنْ أَمِنَهُ النَّاسُ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ ، وَالْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ النَّاسُ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ ، وَالْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي طَاعَةِ اللَّهِ ، وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذَّنُوبَ

Rasulullah SAW bersabda ketika haji Wada’: “Mahukah aku khabarkan kalian tentang ciri seorang mukmin? Iaitu orang yang orang lain merasa aman dari gangguannya terhadap harta dan jiwanya. Dan muslim, adalah orang yang orang lain merasa selamat dari gangguan lisan dan tangannya. Dan mujahid, adalah orang yang berjihad terhadap nafsunya untuk ketaatan kepada Allah. Dan muhajir (orang yang hijrah), adakah orang yang meninggalkan kesalahan-kesalahan dan dosa”.

(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban)

Menurut hadis ini, orang yang berhijrah adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa manakala orang yang berjihad adalah yang melawan nafsunya untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah. Justeru, dua sifat ini perlu digabungkan agar dapat menyempurnakan keimanan kepada Allah.

Almarhum Muhammad Ahmad Ar-Rasyid menulis dalam bukunya Al-Muntalaq:

“Banyak jiwa yang baik cenderung untuk menghijrahkan kejahatan tetapi tidak mahu berjihad. Banyak jiwa yang kuat pula cenderung untuk berjihad tetapi tidak berhijrah meninggalkan kejahatan. Setiap individu mampu menegakkan sifat muhajir dan mujahid pada dirinya. Merekalah umat Muhammad yang beriman dengan iman yang sebenarnya.”

Ini bermakna tidak lengkap seseorang itu memiliki ciri seorang muhajir atau mujahid pada salah satunya sahaja, namun seseorang perlu memiliki kedua-dua sifat ini sekaligus.

Beliau juga menulis:

“Allah mengurniakan pahala dan ganjaran seperti pahala para mujahid dan muhajirin kepada orang yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran, menyuruh manusia kepada kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran. Mereka melontarkan hujah-hujah dan keterangan Allah untuk membidas pendapat akal yang sesat dan menyeleweng. Menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran dianggap sebagai JIHAD dan tetap thabat (kuat pendirian) di atas jalan dakwah dianggap sebagai HIJRAH.”

‘Hijrah’ dari Makkah ke Madinah sememangnya telah tiada kewajipannya pada hari ini. ‘Jihad’ di medan peperangan dengan senjata juga belum ada seruannya buat masa ini.

Namun tanpa dikurangi pengertian Hijrah dan Jihad yang hakiki, mudah-mudahan sampai kepada kita pahala seumpama para muhajirin dan mujahidin di zaman Nabi buat kita apabila kita melaksanakan dakwah kepada manusia dan bukan hanya menjadi ‘baik’ secara bersendirian.

Justeru, dalam konteks Hijrah dan Jihad pada hari ini, hijrah perlu bermula dengan perubahan diri dan mengajak manusia ke arah maaruf dan kebenaran, manakala jihad adalah dengan melawan tarikan hawa nafsu dan melaksanakan nahi mungkar iaitu berusaha mencegah segala kebatilan serta berjuang menegakkan hukum Allah.

Hijrah dan Jihad perlu saling melengkapi dan inilah yang menjadi bukti kesempurnaan iman kita kepada-Nya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk menjadi muhajir dan mujahid di jalan Allah.

Salam Maal Hijrah 1448H

Ustazah Dr Nur Fatin Binti Halil

Ketua Bahagian Penyelidikan MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top