Hentikan Normalisasi Gejala Maksiat

Tindakan tegas dan segera perlu diambil terhadap sebuah klinik terkemuka yang didapati mempromosikan gejala songsang melalaui perkongsiannya di Instagram. Ini kerana institusi tersebut telah mengangkat seorang pempengaruh “Hot Daddy” yang sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan aktiviti jenayah moral, bagi tujuan pemasaran perubatan mereka.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat pengamal perubatan yang turut memberikan sokongan dan menggalakkan rawatan tersebut secara terbuka. Tindakan ini bukan sahaja merosakkan imej profesion perubatan, malah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kemerosotan profesionalisme yang sepatutnya menjadi benteng moral masyarakat.

Budaya yang menggalakkan serta menormalisasikan maksiat hendaklah ditangani dan dibanteras secara berkesan. Dalam Islam, perihal seksual bukanlah sesuatu yang baik untuk didedahkan, apatah lagi dipromosikan dalam masyarakat. Akal yang waras dan iman yang segar jelas menyedari bahawa perkongsian sedemikian mempunyai potensi untuk mempengaruhi manusia melakukan dosa perzinaan atau seks bebas. Kemungkaran sebegini hendaklah disekat daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Media sosial bukan platform menormalisasikan maksiat. Pada era digital ini, minda dan persepsi masyarakat banyak dibentuk melalui kandungan di media sosial. Kesannya, perkara yang dahulunya dianggap tabu kini mula diterima sebagai norma biasa akibat pendedahan secara terbuka. Lambakan kandungan sensitif ini secara tidak langsung mengubah landskap pemikiran masyarakat, sehinggakan perkara yang jelas menyalahi hukum agama dipandang remeh dan dianggap sebagai satu kebiasaan hanya kerana ia dipaparkan secara terbuka tanpa kawalan.

Kembali kepada persoalan dan tujuan, apakah tujuan sebenar mempromosikan rawatan tersebut. Merujuk kepada poster yang dikeluarkan oleh pihak klinik, rawatan ini juga turut mempromosikan kepada pengguna yang mengamalkan seks diluar tabie/seks songsang (anal sex). Walaupun tujuan mempromosikan tersebut atas dasar kesihatan, tetapi perlu diteliti bahawa kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan ini adalah dalam kalangan golongan aktif (key population) yang melakukan aktiviti seksual songsang.

Sebuah kajian yang dijalankan terhadap pekerja-pekerja seks di Kuala Lumpur telah menjalani ujian saringan HIV dan mendapati 57% daripada mereka telah menunjukkan keputusan HIV+. Walaupun atas dasar kesihatan, tetapi ia dianggap sebagai suntikan halus bagi menormalisasi perbuatan dosa dan bukan satu cara untuk menghalalkannya.

Firman Allah SWT:

‫وَلَا تَلۡبِسُوا۟ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُوا۟ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ﴿ ٤٢ ﴾

Maksudnya: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya” Surah Al-Baqarah: 42

Satu kaedah fiqh ada menyebut:

الغاية لا تبرر الوسيلة

“Tujuan tidak membenarkan cara.”

Setiap Muslim bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemungkaran yang melanda masyarakat sekeliling. Memilih untuk berdiam diri dan membiarkan aktiviti maksiat ini terus menular merupakan satu bentuk kelemahan prinsip, malah boleh dianggap sebagai bersubahat dengan kemungkaran itu sendiri.

Kita wajib mengambil pendirian yang tegas dan menolak sebarang toleransi yang boleh menjadikan maksiat sebagai perkara biasa dalam masyarakat. Allah SWT mengingatkan tentang sejarah umat terdahulu yang ditimpa laknat oleh Allah kerana membiarkan kemungkaran bermaharajalela.

Firman Allah:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ ٧٨ كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Golongan kafir daripada Bani Israel telah dilaknat melalui lisan Nabi Dawud dan Nabi Isa Ibn Maryam. Yang demikian itu kerana mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak saling melarang antara satu sama lain terhadap kemungkaran yang telah dilakukan. Demi sesungguhnya, amat buruk sekali segala perbuatan yang mereka lakukan.” Surah Al-Maidah: 78-79

Oleh itu, sebarang bentuk kemungkaran tidak boleh sama sekali diangkat sebagai norma dalam kehidupan masyarakat. Islam tidak hadir untuk menyekat kebebasan manusia, sebaliknya bertindak sebagai panduan kepada jalan yang benar dan memelihara fitrah manusia. Mencegah kemungkaran serta menentang sebarang usaha yang cuba menormalisasikan maksiat tanda bukti kecintaan dan ketaatan kita terhadap Allah SWT.

Rujukan:

  1. Tafsir al-Bayan, 5/498-499
  2. Key populations are being left behind | UNAIDS. (2021). Unaids.org.
  3. Dubov, A., Altice, F. L., Gutierrez, J. I., Wickersham, J. A., Azwa, I., Kamarulzaman, A., Gautam, K., & Shrestha, R. (2023). Pre-exposure prophylaxis service among men who have sex with men in Malaysia: findings from a discrete choice experiment. Scientific Reports, 13(1), 14200.
  4. Ranjit, Y. S., Gibson, B. A., Altice, F. L., Kamarulzaman, A., Azwa, I., & Wickersham, J. A. (2021). HIV care continuum among cisgender and transgender women sex workers in Greater Kuala Lumpur, Malaysia. AIDS Care, 1–7.
  5. Surah al-Baqarah: 42
  6. Surah al-Maidah: 78-79

Ustazah Nur Anis Binti Bahrin
Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top