
Apabila tiba musim haji dan Hari Raya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia bukan sekadar meraikan sebuah perayaan, tetapi sedang melalui satu didikan rohani yang agung. Ibadah Haji dan ibadah Korban membawa satu mesej asas dan risalah rabbani yang sama: pengorbanan demi menzahirkan kesetiaan mutlak kepada Allah SWT dan memperkukuh ikatan kesatuan sesama Ummah Islamiyah.
Namun, menghayati laungan takbir dan talbiah tidak bermakna sekiranya ia tidak diterjemah ke alam realiti kehidupan, khususnya dalam mendepani krisis perpecahan yang membarah hari ini.
Realiti Pahit: Perpecahan Membuka Ruang Ancaman
Di Malaysia, perpecahan di kalangan umat Islam telah melahirkan satu realiti yang amat membimbangkan. Sebahagian leka bertelagah sesama sendiri, mencantas kekuatan saudara seagama atas alasan perbezaan kelompok. Sebahagian pula leka dengan arus normalisasi nafsu. Paling parah, sebahagian kecil yang leka dengan keredaan agenda bukan Islam. Semua ini melemahkan benteng pertahanan umat.
Kelompongan ini memberi laluan mudah kepada kelangsungan agenda-agenda luar dan pihak-pihak yang tiada simpati dengan agama dan negara untuk terus merungkai dan mengubah identiti asal negara ini. Apabila umat Islam berpecah, suara tawar-menawar (bargaining power) kita lemah. Inilah harga mahal yang terpaksa dibayar apabila kesatuan tidak lagi dijunjung sebagai tiang seri kekuatan agama dan bangsa.
Kesatuan Adalah Kewajipan, Bukan Pilihan
Satu kekeliruan besar yang melanda sebahagian umat hari ini adalah menganggap kesatuan umat Islam itu hukumnya sekadar ‘sunat’ atau ‘harus’—seolah-olah ia satu pilihan. Pengkhianatan kepada umat Islam seolah mudah, murah dan tiada implikasi dunia dan akhirat. Bersatu padu di bawah panji akidah adalah satu kewajipan mutlak (wajib syarie).
Tidak wujud kompromi yang membenarkan mana-mana pihak untuk sesuka hati memutus tali kesetiaan dengan ummah semata-mata untuk membina ‘tali nipis’ dan kesepakatan rapuh dengan puak-puak pemecah belah.
Kewajipan ini ditegaskan oleh Allah SWT:
| وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran: 103) |
Sabda Rasulullah SAW:
| إِنَّ اللهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا، وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلَاثًا، فَيَرْضَى لَكُمْ: أَنْ تَعْبُدُوهُ، وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا… “Sesungguhnya Allah reda kepada kamu tiga perkara, dan membenci bagi kamu tiga perkara. Dia reda kepada kamu: bahawa kamu menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan bahawa kamu berpegang teguh dengan tali Allah sekaliannya dan tidak bercerai-berai…” (Riwayat Muslim, Hadis No. 1715) |
Apabila mensyarahkan hadis ini, Imam Nawawi menegaskan bahawa perintah “berpegang teguh dengan tali Allah dan tidak bercerai-berai” membawa maksud larangan yang keras daripada berpecah-belah dalam urusan agama. Beliau menyatakan bahawa perpecahan adalah jalan kepada kebinasaan, manakala melazimi jamaah (kesatuan dan kesetiaan kepada umat Islam) adalah jalan yang benar dan selamat. Kata beliau, bersatu adalah asas yang akan memelihara kemaslahatan dunia dan akhirat umat Islam (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim).
Kaitan Agama dan Kuasa: Amaran Imam al-Ghazali
Dalam mengurus realiti negara, memelihara agama (حفظ الدين) tidak boleh lari daripada makna kuasa dan penguasaan politik umat Islam. Kesatuan ummah adalah syarat utama untuk mengekalkan kuasa tersebut. Sekiranya umat Islam berpecah, kuasa politik dan taruh-menaruh (terutamanya) telah terlepas ke tangan pihak lain, lalu identiti agama semakin terancam.
Perkara ini telah dirumuskan dengan sangat mendalam oleh Imam al-Ghazali melalui satu kaedah ketatanegaraan Islam yang amat masyhur. Beliau menyebut di dalam kitabnya Al-Iqtisad fi al-I’tiqad:
| الدِّينُ وَالْمُلْكُ تَوْأَمَانِ، فَالدِّينُ أَصْلٌ، وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أَصْلَ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ “Agama dan kekuasaan (pemerintahan/negara) itu adalah pasangan kembar. Agama adalah asas, manakala kekuasaan (sultan/pemerintah) adalah penjaganya. Apa-apa yang tidak mempunyai asas akan runtuh, dan apa-apa yang tidak mempunyai penjaga akan hilang (terbiar).” (Kitab Al-Iqtisad fi al-I’tiqad) |
Ungkapan ini adalah satu amaran jelas. Sebaik manapun asas (agama) yang kita ada di Malaysia, sekiranya ia kehilangan penjaganya (kuasa dan kesatuan), maka kemuliaan Islam perlahan-lahan akan luntur dan dirampas. Penjagaan ini mustahil dapat dikekalkan selagi umat Islam rela hidup dalam perpecahan.
Korban: Menyembelih Ego demi Agama dan Negara
Ibadah Korban hakikatnya menyedarkan kita bahawa setiap titisan darah haiwan ternakan yang mengalir ke bumi adalah simbolik kepada kewajipan kita untuk menyembelih ego, keangkuhan, dan sifat mementingkan diri atau kelompok. Pengorbanan yang paling mahal pada zaman ini adalah kesanggupan umat Islam untuk memadamkan persengketaan peribadi demi mempertahankan kemaslahatan yang jauh lebih besar—iaitu kelangsungan Islam dan kedaulatan negara.
Ibadah haji dan himpunan umat di Padang Arafah membuktikan bahawa sebesar mana pun perbezaan latar belakang, umat Islam wajib berhimpun pada satu titik tauhid yang sama. Tali kesetiaan kepada agama dan ummah mesti diikat teguh melebihi segala ikatan yang lain.
Berpegang Kepada Janji Allah
Meskipun realiti perpecahan di Malaysia dan pergolakan ummah di seluruh dunia kelihatan meruncingkan, umat Islam ditegah daripada menyerah kalah. Perjuangan memautkan kembali hati-hati umat adalah sunnah para Anbiya, salaf dan ulama Ummah. Ia menuntut iltizam yang tinggi.
Kita perlu berdiri teguh dan terus berusaha membina kesatuan, menyedarkan masyarakat tentang bahaya perpecahan, dan dalam masa yang sama, meletakkan keyakinan mutlak kepada kebenaran janji Allah SWT:
العَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
(Dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa)
نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ
(Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat)
Semoga pengorbanan kita dalam mempertahankan kesatuan pada hari ini menjadi asbab Allah SWT memelihara kemuliaan agama dan keamanan negara untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Ustaz Wan Adam Bin Wan Azli
Penyelidik MUIS
