1. Hari Arafah telah menjadi saksi bagi haji dan khutbah wada’ Nabi. Pada Hari Arafah tahun ke-10 Hijrah bersamaan tahun ke 623 Masihi, Nabi SAW telah menyampaikan amanat terakhir baginda di hadapan kira-kira 144,000 umat Islam yang melaksanakan haji, di Lembah Uranah Bukit Arafah.
Khutbah wada’ atau khutbah perpisahan ini merupakan khutbah yang sangat monumental dalam sejarah Islam kerana ia mengandungi amanat terakhir seorang nabi kepada umatnya. Ia menghimpunkan prinsip-prinsip utama Islam yang menjadi panduan kehidupan manusia hingga ke akhir zaman.
2. Hadis penuh yang menghuraikan khutbah terakhir Nabi boleh dirujuk dalam Sahih al-Bukhari hadis nombor 1623, 1626 dan Sahih Muslim nombor 98. Antara inti penting khutbah terakhir Nabi SAW adalah prinsip Hak Asasi Manusia dalam Islam seperti berikut:
- Hak Nyawa, Harta dan Maruah
Rasulullah SAW menegaskan:
«إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ»
“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan maruah kamu adalah haram (dicabuli).”
Islam sangat memuliakan hak manusia. Membunuh, menzalimi, memfitnah, merampas harta dan menjatuhkan maruah orang lain merupakan dosa besar di sisi Allah SWT.
- Hak Harta Melalui Penghapusan Riba
Baginda SAW menghapuskan segala bentuk amalan jahiliah seperti riba dan budaya membalas dendam.
Sabda Baginda:
«أَلَا وَإِنَّ كُلَّ رِبًا مَوْضُوعٌ»
“Ketahuilah, segala urusan riba telah dihapuskan.”
Islam datang membawa keadilan dan rahmat. Sistem yang menindas manusia melalui kezaliman ekonomi dan penipuan ditegah sama sekali. Selain itu, Nabi SAW juga mengingatkan dengan kewajipan menunaikan zakat kepada umat Islam.
- Hak Wanita
Rasulullah SAW bersabda:
«اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا»
“Berpesan-pesanlah kamu untuk berbuat baik kepada wanita.”
Islam mengangkat martabat wanita sebagai insan yang wajib dihormati dan dipelihara haknya. Dalam masyarakat jahiliah, wanita dihina dan ditindas, namun Islam datang membebaskan mereka dengan kemuliaan.
- Hak Persaudaraan dan Kesamarataan Manusia
Rasulullah SAW menegaskan:
«لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَىٰ أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِأَعْجَمِيٍّ عَلَىٰ عَرَبِيٍّ إِلَّا بِالتَّقْوَىٰ»
“Tiada kelebihan orang Arab ke atas bukan Arab, dan tiada kelebihan bukan Arab ke atas orang Arab melainkan dengan takwa.”
Islam menolak sikap perkauman, kesombongan bangsa dan diskriminasi. Kemuliaan sebenar di sisi Allah bukan pada keturunan atau warna kulit, tetapi pada ketakwaan iaitu kepatuhan dan ketaatan yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT serta menjauhi segala larangan-Nya.
3. Berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, jelas bahawa Islam menjunjung tinggi martabat insan serta memelihara hak asasi manusia secara seimbang dan menyeluruh. Oleh itu, nilai dan prinsip hak asasi dalam Islam wajar dijadikan rujukan utama dalam kehidupan manusia hari ini, berbanding kerangka hak asasi berdasarkan falsafah Barat yang tidak berasaskan wahyu, terdedah kepada kecenderungan hawa nafsu dan kehendak yang tiada Batasan.
Islam telah pun sempurna dan tidak memerlukan sebarang ideologi luar untuk melengkapkan sistem kehidupannya. Hakikat kesempurnaan ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam peristiwa agung Hari Arafah ini. Allah SWT berfirman:
﴿اَلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا﴾
Maksudnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku redai Islam itu menjadi agama kamu.” Surah al-Ma’idah: 3
Ayat ini menggambarkan bahawa risalah Islam telah lengkap dan sempurna sebagai panduan hidup manusia hingga akhir zaman. Ketika para sahabat bergembira mendengar turunnya ayat ini, Abu Bakar al-Siddiq RA dilihat menangis. Beliau memahami bahawa penyempurnaan agama ini membawa isyarat halus bahawa tugas kerasulan telah hampir selesai, dan kewafatan Rasulullah SAW semakin dekat.
Di sebalik kegembiraan atas kesempurnaan agama, terselit kesedihan yang mendalam kerana Baginda bakal meninggalkan umatnya, setelah menyempurnakan amanah risalah dengan sempurna.
4. Nabi SAW juga telah berpesan dalam khutbah wada’ agar umat berpegang teguh dengan dua peninggalan yang berharga. Baginda SAW bersabda:
«تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدِي أَبَدًا: كِتَابَ اللّٰهِ وَسُنَّتِي»
Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya: (iaitu) Kitab Allah dan sunnahku.” Hadis Riwayat Malik
Inilah formula kekuatan umat Islam sepanjang zaman. Ketika manusia mencari pelbagai ideologi dan pegangan hidup, Islam telah menyediakan panduan yang lengkap dan sempurna. Umat perlu Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah agar sentiasa terpelihara daripada kesesatan.
5. Kesimpulannya, khutbah wada’ Nabi pada Hari Arafah bukan sekadar catatan dalam lembaran sejarah, tetapi telah menjadi bukti bahawa agama Islam adalah agama yang sempurna dan menjadi panduan hidup manusia.
Beberapa sarjana bukan Islam turut mengiktiraf Khutbah Wada’ sebagai deklarasi hak asasi manusia yang bersifat sejagat kerana kandungannya menegaskan prinsip keadilan, kesamarataan, dan penolakan terhadap rasisme. Justeru, Nabi Muhammad SAW dilihat sebagai pemimpin unggul yang sangat menitikberatkan nilai kemanusiaan dan reformasi sosial.
Antara kajian yang boleh dirujuk ialah tulisan Dr. Kausik Chatterjee bertajuk “Finding an Analytical Issue of the Last Sermon of the Prophet Muhammad (PBUH) Focusing on Human Rights, Justice, Morality and Social Reformation” yang membahaskan aspek hak asasi manusia dan pembaharuan moral dalam khutbah tersebut.
6. Semoga Allah memberi kita semua kesempatan untuk memperbanyakkan munajat dan doa pada Hari Arafah ini serta menjadikannya sebagai detik muhasabah untuk kembali berpegang teguh kepada Kitabullah dan Sunnah Nabi.
Dr Nur Fatin Binti Halil
Ketua Bahagian Penyelidikan MUIS
