SARAH BINTI HARAN: WANITA SOLEHAH PILIHAN ALLAH

Pengenalan

Sarah binti Haran ialah isteri pertama Nabi Ibrahim AS, dan beliau juga merupakan ibu kepada Nabi Ishak AS. Beliau merupakan seorang wanita yang beriman, sabar dan taat kepada Allah. Kisah Sarah kurang mendapat prhatian berbanding dengan kisah Hajar yang merupakan isteri kedua Nabi Ibrahim. Kisah Sarah seringkali dikaitkan dengan Hajar kerana perasaan cemburu terhadap madunya itu. Istimewanya Sarah, beliau merupakan wanita solehah yang kisahnya diabadikan dalam al-Quran.

Mengiringi Suami Dalam Misi Menegakkan Kalimah Tauhid

Sarah tinggal bersama suaminya Nabi Ibrahim AS di Iraq. Pada zaman itu wilayah Iraq dipenuhi kesesatan dengan penyembahan berhala. Ketika kaum Nabi Ibrahim tetap berkeras menyembah berhala, Nabi Ibrahim AS telah memecahkan kesemua berhala itu melainkan satu berhala yang besar. Akibatnya kaum Nabi Ibrahim marah lalu menyalakan api yang besar dan melemparkan baginda ke dalamnya.

Peristiwa ini menjadi titik pemisah antara Nabi Ibrahim AS dengan kaumnya. Setelah Allah menyelamatkan baginda daripada terbakar, baginda berhijrah bersama isterinya Sarah serta anak saudaranya Nabi Luth menuju ke bumi Syam.

Firman Allah SWT:

وَنَجَّيۡنَٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلَّتِي بَٰرَكۡنَا فِيهَا لِلۡعَٰلَمِينَ

Maksudnya:

 “Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Luth ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.” (Surah al-Anbiya’: 71)

Ketika menetap di bumi Syam, Sarah dan suaminya, Nabi Ibrahim AS berdepan dengan kesulitan hidup yang mendorong mereka berhijrah ke Mesir. Di sana, mereka diuji pula dengan kezaliman seorang raja yang berkuasa ketika itu, namun mereka tetap teguh mempertahankan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Setelah itu, merekaberhijrah pula ke Palestin. Sarah terus setia menemani suaminya dalam perjalanan dakwahnya, berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT.

Ujian Tiada Zuriat dan Ganjaran Kesabaran

Sarah berkahwin dan tinggal bersama suaminya Nabi Ibrahim sehingga umur beliau 90 tahun tanpa dikurniakan zuriat. Selama tempoh itu, beliau adalah seorang wanita yang sangat penyabar dalam menjalani ujian tersebut. Suatu hari, Sarah dan suaminya Nabi Ibrahim didatangi malaikat yang membawa khabar gembira untuk mereka berdua.

Firman Allah SWT:

‎وَامرَأَتُهُ قائِمَةٌ فَضَحِكَت فَبَشَّرنٰها بِإِسحٰقَ وَمِن وَراءِ إِسحٰقَ يَعقوبَ

Maksudnya:

“Dan isterinya berdiri (di balik tirai) lalu dia tersenyum, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya’qub.” (Surah Hud: 71)

Menurut Tafsir daripada Ibnu Abbas, Sarah tersenyum gembira di saat beliau berdiri ketika itu kerana beliau merasakan hangatnya darah haidnya yang keluar, setelah berpuluh tahun ia telah berhenti. Kesabaran beliau membuahkan hikmah. Dari rahim beliau lahir anaknya NabiIshak, seterusnya lahir cucunya Nabi Ya’qub, dan dari keturunan Nabi Ya’qub lahirnya para nabi yang lain.

Tiga Ibrah dan Pedoman Dari Kisah Sarah

1. Menjadi Pendamping Perjuangan Suami

Sarah sentiasa berada di samping suaminya dan turut ikut berhijrah demi kepentingan misi dakwah iaitu menyeru manusia menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala. Sepanjang perjalanan berhijrah dan berdakwah, Sarah dan suaminya Nabi Ibrahim melalui pelbagai ujian dan cabaran, tetapi itu semua tidak mematahkan semangat Sarah untuk terus berada di sisi suaminya.

2. Sabar dan Sentiasa Husnu Zhon Dengan Allah

Sarah sabar menunggu dikurniakan zuriat selama bertahun-tahun, sehingga sejarah menceritakan beliau tidak pernah menyalahkan takdir, tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT, bahkan sentiasa berhusnu zhon (bersangka baik) dengan Allah. Walaupun semakin lanjut usianya, Sarah tetap menerima ketentuan Allah dengan redha dan sabar.

3. Mendapat Kemuliaan Kerana Iman

Sirah Sarah disebut dalam al-Quran pada tiga surah berbeza sedangkan situasi surah itu adalah sama. Surah-surah tersebut ialah surah Hud, ayat 69 hingga 74, surah al-Hijr, ayat 51 hingga 56 dan surah ad-Dzariyat, ayat 24 hingga 30. Hadis sahih al-Bukhari juga merekodkan Sarah merupakan wanita yang beriman bahkan mempunyai rupa paras yang cantik.

وَقَالَ: بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ، إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنَ الجَبَابِرَةِ، فَقِيلَ لَهُ: إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا، قَالَ: مَنْ هَذِهِ؟ قَالَ: أُخْتِي، فَأَتَى سَارَةَ فَقَالَ: يَا سَارَةُ: لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرُكِ، وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي، فَلاَ تُكَذِّبِينِي

Maksudnya:

Nabi SAW bersabda: “Pada suatu hari ketika Nabi Ibrahim bersama Sarah, isterinya, ketika itu mereka bertemu seorang raja yang zalim. Raja tersebut diberitahu bahawa ada seorang lelaki yang bersamanya terdapat seorang wanita yang paling cantik.” Maka raja yang zalim itu mengutus seorang utusan kepada Nabi Ibrahim dan bertanya kepadanya tentang wanita yang bersamanya. Utusan itu bertanya: “Siapakah ini?” Nabi Ibrahim menjawab: “Dia saudara perempuanku.” Kemudian Nabi Ibrahim datang kepada Sarah dan berkata: “Wahai Sarah, tidak ada orang beriman di muka bumi ini selain aku dan engkau, dan orang ini bertanya kepadaku tentang dirimu dan aku mengatakan kepadanya bahawa engkau ialah saudara perempuanku, maka janganlah engkau mendustakan aku.” Riwayat al-Bukhari (3358)

Penutup

Sarah merupakan teladan wanita solehah yang memiliki keimanan yang teguh, kesabaran yang tinggi, serta ketaatan dan kesetian yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya. Beliau sentiasa yakin dengan janji Allah dan berbaik sangka terhadap setiap ketentuan Allah. Kisah hidup Sarah mengajar kita bahawa keimanan, kesabaran, keikhlasan dan keyakinan yang mendalam kepada Allah akhirnya akan dibalas dengan rahmat dan keberkatan yang tidak disangka-sangka. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ

Maksudnya:

“Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya”. (Surah at Talaq: 2-3)

Buat para wanita Muslimah, ayuh kita jadikan Sarah Binti Haran sebagai ikutan dan inspirasi dalam kehidupan kita. Semoga Allah mengurniakan kekuatan dalam mencontohi teladan mulia ini dan dipermudahkan segala usaha dalam menjadi seorang isteri yang taat kepada Allah, penyabar dan pendorong terbesar buat suami seperti Sarah, wanita solehah pilihan Allah.

Rujukan

  1. Celik Tafsir. (2016, September 5). Tafsir surah Hud ayat 69 – 72 (Kisah Nabi Ibrahim as): https://celiktafsir.net/2016/09/05/hud-ayat-69-72/
  2. Ainul Mardhiah Ahmad Badaruddin, and Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi, (2021) Pengenalan awal kisah Sarah dalam al-Quran. Jurnal Wacana Sarjana, 5 (2). pp. 1-10. ISSN 2600-9501: https://journalarticle.ukm.my/19689/1/410-Article%20Text-567-1-10-20220701.pdf
  3. Zulkifli Al Bakri. (2023, Disember 4). Nabi Ibrahim: https://zulkiflialbakri.com/artikel/nabi-ibrahim-as

Ustazah Nur Diyana Binti Soid,

Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top