
Isu kuil haram bukan isu perbezaan agama, ia adalah isu hak kepada tuan tanah.
Islam tidak pernah ajar umatnya lakukan diskriminasi kepada orang lain, bahkan sejarah Islam menunjukkan umat Islam yang paling toleransi dan paling berbuat baik kepada golongan agama lain.
Isu yang tular baru-baru ini tidak wajar dilihat dalam perspektif agama Islam melawan agama lain, kerana Islam tidak perlu memaksa agama lain untuk percaya kerana kebenaran sudah jelas dan setiap manusia bertanggungjawab kepada keyakinan masing-masing di hadapan Allah SWT nanti.
Isu kuil haram sewajarnya difahami dalam konteks bahawa ada pencerobohan tanah yang telah berlaku sekian lama, serta perkara itu tidak diambil peduli oleh pihak yang berwajib atas sebab tertentu samada sengaja atau tidak sengaja.
Isu pencerobohan tanah adalah isu perlanggaran undang-undang. Apabila ada undang-undang diabaikan, ada pihak yang terkorban kepentingannya kerana yang menjaga kepentingannya tidak buat kerja.
Atas sebab itu naratif ini perlu jelas dalam kalangan netizen bahawa kita semua perlu rasa aman dan selamat di atas tanah kita sendiri.
Apabila pencerobohan berlaku, dan pihak yang menceroboh pula diperlakukan seperti anak emas seperti diberikan pampasan dan tanah yang lain, maka bagaimana perasaan pihak tuan tanah, dan juga mana-mana rakyat yang bakal berdepan masalah yang sama?
Sepatutnya undang-undang perlu dihormati dan penceroboh mesti didakwa atas kesalahannya.
Mana-mana pihak yang berkepentingan khususnya ahli politik tidak perlu memainkan naratif lain yang boleh samada mengganggu kerusinya atau menambahkan ‘mileage’ politiknya.
Isu ini perlu kekal neutral, dan melihat kepentingan umat Islam serta rakyat Malaysia sebagai paksi kepentingan dan keselamatan.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Setiausaha Agung
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS
