
1. Adalah amat menghairankan andai sekiranya seorang Muslim tidak sensitif apabila Allah atau RasulNya dihina. Tindakan memijak al-Quran dan memuat naik di media sosial jelas mempunyai unsur penghinaan.
2. Para sahabat sangat sensitif andai sekiranya Rasulullah itu dihina atau disakiti. Ingatkah kita bagaimana kisah Saidina Umair bin Sa’d yang begitu marah apabila bapa tiri kesayangannya mengeluarkan kata-kata yang seolah-olah merendahkan Rasulullah.
3. Ketika Baginda memerintahkan agar para sahabat bersiap sedia untuk menghadapi perang Tabuk, al-Julas enggan memberikan sumbangan malah mengeluarkan kata-kata yang merendah atau menghina Rasulullah. Mendengar kalimah itu Umair berkata:
وَاللَّهِ يَا جِلاسُ، إِنَّكَ لأُحِبُّ النَّاسَ إِلَيَّ وَلَقَدْ قُلْتَ مَقَالَةً لَئِنْ ذَكَرْتُهَا لَتَفْضَحَنَّكَ
Wahai Julas, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku sayangi, tetapi engkau telah mengucapkan sesuatu yang sekiranya aku adukan tentangnya, ia akan membinasakan engkau. (Tafsir Ibn Abi Hatim).
4. Lihatlah sikap Saidina Umair ini. Sekalipun al-Julas itu merupakan orang yang paling disayanginya, namun sekiranya beliau menyakiti Rasulullah, Umair tidak duduk diam malah segera mengadukan perkara ini kepada Rasulullah lantas al-Julas dikenakan tindakan.
5. Begitu juga dengan riwayat Saidina Ali mengenai seorang perempuan Yahudi pernah mencerca Nabi secara terang-terangan. Wanita itu akhirnya dikenakan tindakan lalu perkara ini di bawa kepada Nabi. Rasulullah mempertahankan hukuman tersebut dengan menyatakan bahawa perjanjian perlindungan perempuan tersebut terbatal kerana tindakan menghina tersebut. (Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, (al-Dammam: Ramadi li al-Nashr, 1997), 3/1398.)
6. Satu masa dahulu, DJ Radio Era pernah digantung atas tindakan mereka yang dianggap menghina agama hindu. Apabila al-Quran dihina, ada pula Muslim yang berkata kita perlu bertindak Rahmah, mendidik dan bukan menghukum. Adakah kita tidak sensitif apabila agama dihina?
Semoga Allah membimbing kita.
Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Naib Yang Dipertua
Muafakat ILMUWAN Islam (MUIS)
