𝐊𝐫𝐢𝐬𝐢𝐬 𝐌𝐨𝐫𝐚𝐥 𝐊𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐆𝐥𝐨𝐛𝐚𝐥 𝐝𝐚𝐧 𝐁𝐚𝐲𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚; 𝐈𝐧𝐢𝐤𝐚𝐡 𝐎𝐫𝐝𝐞𝐫 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮 𝐃𝐮𝐧𝐢𝐚?

Pendedahan demi pendedahan mengenai salah guna kuasa dalam kalangan elit antarabangsa seperti yang terkandung di dalam fail-fail Jeffrey Epstein telah pun berlaku. Ini termasuk skandal eksploitasi seksual yang melibatkan tokoh berpengaruh dunia seharusnya menjadi peringatan besar kepada umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Ia menunjukkan satu realiti pahit: kuasa tanpa akhlak akan melahirkan kerosakan, walau dibungkus dengan imej “tamadun” dan “hak asasi”.

Semua ini hanyalah setitik dalam lautan apa yang telah didedahkan dan menyebabkan kegemparan di seluruh dunia mengenai mereka yang memerintah dunia dan ramai sekali personaliti terkenal yang terlibat. Bahkan sudah pasti apa yang tersembunyi itu lebih besar! Apakah peranan kita selepas berita ini didedahkan? Sekadar hairan? Sekadar rasa meluat? Tidak. Sama sekali tidak.

Al-Quran telah lama mengingatkan:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab dengan berkata: Sesungguhnya kami hanya membuat pembaikan.”

(Surah al-Baqarah: 11)

Sejarah menunjukkan bahawa kerosakan sering datang daripada mereka. Bukan dengan wajah yang hodoh, tetapi dengan slogan kemajuan, kebebasan dan benar-benar reformasi.

𝟭. 𝗞𝗲𝗿𝗼𝘀𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗶𝘀𝘁𝗲𝗺 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗿𝗶𝘀𝗶𝘀 𝗞𝗲𝗽𝗲𝗿𝗰𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻

Skandal global membuktikan bahawa sistem antarabangsa yang sering mengajar dunia tentang demokrasi dan hak asasi juga tidak kebal daripada penyalahgunaan kuasa. Apabila undang-undang dilihat selektif, kepercayaan awam pula runtuh. Bayangkan, tokoh-tokoh yang menjadi watak utama dalam skandal ini jugalah yang selama ini dipandang sebagai pihak yang menentukan hala tuju dunia tentang apa yang benar dan apa yang salah. Mereka lantang menyuarakan: “Individu ini penjenayah”, “Gerakan ini pengganas”. Sedangkan mereka lah “syaitan” sebenar yang merosakkan dunia pada hari ini dengan undang-undang ciptaan mereka lalu menindas golongan yang beriman.

Fenomena ini wajar menjadi cerminan kepada Malaysia.

Isu penguatkuasaan terhadap pembinaan struktur tanpa kelulusan termasuk rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang perancangan sering mencetuskan persoalan: adakah undang-undang selama ini ditegakkan secara konsisten, atau bergantung semata kepada survival politik?

Dalam negara hukum ‘rule of law’, prinsipnya jelas: Undang-undang mesti dilaksanakan secara adil, tanpa mengira siapa yang melanggar; majoriti atau minoriti. Jika penguatkuasaan dilihat longgar kerana tekanan politik atau pertimbangan undi, maka mesej yang dihantar kepada rakyat ialah: undang-undang boleh dirunding. Itulah permulaan kepada kerosakan institusi.

𝟮. 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝗺𝗽𝗮𝗱𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸: 𝗦𝗼𝗮𝗹 𝗞𝗲𝗮𝗱𝗶𝗹𝗮𝗻 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗕𝗮𝗴𝗮𝗶𝗺𝗮𝗻𝗮?

Perbahasan tentang persempadanan semula dan cadangan Pilihan Raya PBT yang kian rancak diperdebatkan perlu dilihat; secara matang, bukan retorik perkauman semata-mata.

Namun kebimbangan sebahagian masyarakat Bumiputera juga tidak boleh dipandang remeh. Dalam sistem demokrasi, persempadanan memberi kesan langsung kepada imbangan kuasa. Jika perubahan dilakukan tanpa ketelusan dan tanpa mengambil kira realiti demografi serta kontrak sosial Perlembagaan, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa berlaku penghakisan kuasa politik secara halus.

Persepsi ini sama ada benar atau tidak, jika tidak ditangani dengan komunikasi yang jujur dan data yang telus, akan menjadi bahan bakar kepada ketidakstabilan. Isunya bukan menolak demokrasi tempatan. Isunya ialah memastikan proses itu: Telus, berdasarkan data objektif, dan tidak memanipulasi sempadan demi keuntungan politik jangka pendek.

Jika tidak, rakyat akan melihatnya sebagai “engineering politik” yang merugikan banyak pihak tertentu. Iaitu, politik ini boleh dibentuk serta dicerakinkan mengikut suka akal manusia.

𝟯. 𝗣𝗲𝗻𝗷𝗮𝗷𝗮𝗵𝗮𝗻 𝗠𝗶𝗻𝗱𝗮 𝗦𝗸𝗲𝗽𝘁𝗶𝗸𝗮𝗹 𝗱𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗸𝗶𝗸𝗮𝘁 𝗞𝗲𝗿𝗼𝘀𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗙𝗮𝘁𝗮𝗹.

Kerosakan hari ini bukan hanya dalam bentuk fizikal atau ekonomi. Ia juga berlaku dalam bentuk pemikiran. Apabila masyarakat terlalu taksub kepada naratif luar tanpa tapisan kritis, kita kehilangan keupayaan menentukan arah sendiri. Dalam masa yang sama, jika kita melihat setiap isu melalui lensa konspirasi melampau, kita juga hilang rasionaliti. Ini kerana; penjajahan minda berlaku dalam dua bentuk:

1. Taklid membuta tuli terhadap Barat.

2. Ketakutan melampau sehingga melihat semua isu sebagai konspirasi global.

Kedua-duanya berbahaya!

Walhal umat Islam diperintahkan untuk berlaku adil, walaupun terhadap pihak yang tidak disukai:

“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”

(Surah al-Ma’idah: 8 )

𝟰. 𝗝𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗹𝘂𝗮𝗿: 𝗞𝗲𝗱𝗮𝘂𝗹𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗹𝘂𝗶 𝗞𝗲𝗮𝗱𝗶𝗹𝗮𝗻. 𝗧𝗶𝗮𝗱𝗮 𝗝𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗣𝗶𝗻𝘁𝗮𝘀.

Cukuplah Palestin sebagai bukti nyata bahawa dunia memang dikawal tangan ghaib. Kalau undang-undang antarabangsa pun diremehkan, resolusi boleh diveto, itu bukankah suatu kawalan? Epstein Files membenarkan teori konspirasi yang diragui selama ini bahawa dunia ini dikuasai dan dikawal penyembah syaitan. Jika benar kita bimbang tentang penghakisan kuasa, ketidaktegasan penguatkuasaan, atau manipulasi politik, maka penyelesaiannya bukan dengan membakar sentimen, tetapi dengan:

• Memperkukuh institusi undang-undang.

• Menuntut ketelusan dalam persempadanan.

• Memastikan semua pembinaan mematuhi peraturan perancangan, tanpa diskriminasi.

• Mendidik generasi muda dengan kefahaman Perlembagaan dan maqasid syariah.

Kerosakan sebenar bukan sekadar pada bangunan tanpa permit, atau pada garis sempadan pilihan raya. Kerosakan sebenar ialah apabila rakyat hilang kepercayaan kepada sistem. Dan apabila kepercayaan hilang, negara menjadi rapuh walaupun kelihatan stabil dari luar. Makanya, adakah sudah tiba masanya kita menuju Order Baharu Islam?

*𝐊𝐚𝐭𝐚 𝐤𝐮𝐧𝐜𝐢: Krisis moral elit kuasa global, Ketidakadilan penguatkuasaan undang-undang, Isu kedaulatan politik dan hak Bumiputera, Bahaya penjajahan pemikiran, Kepentingan tadbir urus berasaskan keadilan dan Perlembagaan, Persempadanan Semula, Pembinaan Rumah Anutan Haram.

Ustaz Meor Azim

Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top