Pemilihan Makanan: Halal Itu Wajib, Tetapi Adakah Ia Tayyib?

Malaysia bukan sahaja bangga dengan sistem pensijilan halal yang tersusun, malah turut dianggap kiblat rujukan halal dunia. Hampir di setiap sudut bandar dan kampung, logo halal JAKIM tersergam pada gerai, restoran, dan produk runcit. Namun di sebalik kebanggaan ini, realiti kesihatan rakyat Malaysia menceritakan kisah yang berbeza. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, mendapati 54.5% orang dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Statistik ini meningkat 10% dari tahun 2011 iaitu sebanyak 44.5%. Malah kajian mendapati bahawa 1 daripada 6 orang dewasa (15.6%) menghidap diabetes, 1 daripada 3 (29.2%) menghidap darah tinggi, dan 33.3% mempunyai kolesterol tinggi. Lebih membimbangkan, 95.1% rakyat dewasa tidak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan secukupnya setiap hari. Purata pengambilan sayur dan buah hanya dua hidangan berbanding lima yang seperti yang disyorkan oleh pakar kesihatan.

Statistik ini menimbulkan satu persoalan penting iaitu bagaimana mungkin sebuah negara yang begitu teliti menjaga status halal makanannya, masih bergelut dengan penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada tabiat pemakanan? Jawapannya terletak pada satu kefahaman yang sering tercicir dalam kesedaran masyarakat bahawa Islam tidak hanya menuntut makanan itu halal, tetapi turut menuntut ia tayyib (baik lagi bermanfaat). Pensijilan halal seperti piawaian MS 1500 memang wajib dan penting kerana ia menjamin sumber bahan, kaedah sembelihan, kebersihan dan ketiadaan unsur haram dalam produk. Namun skop pensijilan itu tertumpu kepada status syariah bahan dan proses, dan bukan pada kandungan nutrisi, kadar gula, garam atau lemak tepu di dalamnya. Disebabkan itu, sesuatu produk boleh sah halal dari sudut syarak, tetapi masih tidak tayyib sekiranya ia memudaratkan tubuh apabila dimakan secara berlebihan atau berterusan.

Halal dan Tayyib: Dua Tuntutan, Bukan Satu

Al-Quran hampir tidak pernah menyebut perkataan ‘halal’ berkaitan makanan tanpa turut menggandingkannya dengan ‘tayyib’. Allah SWT berfirman:

يَٰأَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِى الْأَرْضِ حَلَٰلاً طَيِّباً وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ الشَّيْطَٰنِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوّٰ مُّبِينٌ

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah, 2:168 — terjemahan Abdullah Basmeih)

Para mufassir terdahulu telah membincangkan dengan mendalam maksud “tayyib” ini, dan huraian mereka menunjukkan ia bukan sekadar kata sifat kosong yang mengiringi “halal”. Imam Ibn Jarir al-Tabari (w. 310H) dalam Tafsir al-Tabari menjelaskan makna “tayyib” pada ayat ini sebagai “طاهرا غير نجس ولا محرم” iaitu “suci, tidak najis dan tidak diharamkan” (Tafsir al-Tabari, j. 3, m/s 37). Ini adalah makna asas dari sudut bahasa dan hukum syarak.

Namun Imam Abu Hayyan al-Andalusi (w. 745H) dalam kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit membawa perbincangan ini lebih jauh dengan memetik dua aliran pandangan ulama. Sebahagian ulama seperti Imam Malik menganggap “tayyib” di sini hanya penguat makna “halal” (muakkidah). Tetapi Imam al-Syafi’i dan sebahagian ulama lain berpandangan ia membawa makna tambahan yang berbeza  iaitu al-mustaladz (sesuatu yang baik dan menyenangkan pada tabiatnya): “ولذلك يمنع أكل الحيوان القذر وكل ما هو خبيث” iaitu “dan kerana itulah diharamkan memakan haiwan yang kotor dan segala yang khabith (buruk lagi memudaratkan)” (al-Bahr al-Muhit, j. 2, m/s 99–100). Beliau turut memetik kata-kata Imam al-Sajawandi yang meringkaskan perbezaan ini dengan indah: “حلالا مطلق الشرع، طيبا مستلذ الطبع” iaitu “halal ialah apa yang diizinkan syarak secara mutlak, manakala tayyib ialah apa yang baik pada tabiat semula jadi.” Imam al-Zamakhshari pula mentafsirkan tayyib sebagai “طاهرا من كل شبهة” iaitu “suci daripada segala syubhah.”

Ahli tafsir kontemporari, Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur (w. 1393H) dalam al-Tahrir wa al-Tanwir, memberikan huraian yang paling relevan dengan zaman kita. Beliau menulis:


“والمراد بالطيب هنا ما تستطيبه النفوس بالإدراك المستقيم السليم من الشذوذ وهي النفوس التي تشتهي الملائم الكامل أو الراجح بحيث لا يعود تناوله بضر جثماني أو روحاني” 
bermaksud, “yang dimaksudkan dengan tayyib di sini ialah apa yang dianggap baik oleh jiwa yang sihat lagi lurus penilaiannya, iaitu jiwa yang menginginkan sesuatu yang sesuai dan sempurna, sehingga pengambilannya tidak mendatangkan mudarat sama ada kepada jasmani atau rohani”

(al-Tahrir wa al-Tanwir, j. 2, m/s 103).

Di sinilah letaknya jawapan kepada persoalan awal tadi iaitu makanan yang tidak sihat (walaupun bahannya suci dan halal dari sudut sumber) tidak layak digelar tayyib jika ia membawa mudarat kepada jasad, seperti gula berlebihan yang membawa diabetes, garam berlebihan yang membawa darah tinggi, atau lemak tepu yang menyumbat saluran darah.

Kawal Nafsu Makan: Ajaran Yang Sering Dilupakan

Realiti hari ini ialah manusia moden bukan sahaja terdedah kepada makanan yang tidak sihat, tetapi juga cenderung kepada tabiat makan berlebihan (overeating) yang turut membawa mudarat walaupun makanan itu sendiri sihat. Al-Quran menegaskan prinsip kesederhanaan ini dalam Surah Taha:

كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقْنَٰكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِى

“Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaan-Ku.” (Surah Taha, 20:81)

Imam Abu Hayyan dalam al-Bahr al-Muhit turut memetik sepotong hikmah Arab yang masyhur ketika membicarakan ayat 168 Surah al-Baqarah: “البطنة تذهب الفطنة” iaitu “perut yang terlalu kenyang menghilangkan kecerdikan (ketajaman akal)” (al-Bahr al-Muhit, j. 2, m/s 99). Maksud ini turut disokong oleh sebuah hadis masyhur yang diriwayatkan daripada al-Miqdam bin Ma’dikarib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ما ملأ آدمي وعاءً شرا من بطن، بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه، فإن كان لا محالة، فثلث لطعامه، وثلث لشرابه، وثلث لنفسه”

iaitu “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan sekadar menegakkan tulang belakangnya. Jika terpaksa (mahu lebih), maka biarlah sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk ruang bernafas”

(riwayat Ahmad dan al-Tirmidhi, no. 2380, dinilai hasan oleh al-Tirmidhi; sebahagian muhaqqiqin mutakhir seperti al-Albani menilainya daif kerana inqita’ dalam sanad, namun kandungan maknanya disokong oleh ayat 20:81 di atas dan disepakati faedah amalannya oleh para ulama).

Ini menunjukkan bahawa kesederhanaan dalam makan bukan sahaja anjuran kesihatan moden, tetapi disiplin rohani yang telah lama diajar dalam tradisi Islam.

Kesimpulan: Dari Label Halal Kepada Gaya Hidup Tayyib

Halal adalah syarat minimum yang wajib dipenuhi ia menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mulut seorang Muslim dari sudut sumber dan cara perolehan. Tetapi tayyib menuntut lebih daripada itu. Ia menuntut kesedaran bahawa makanan yang kita ambil sepatutnya memberi manfaat, bukan mudarat, kepada tubuh yang merupakan amanah Allah SWT ke atas kita. Statistik NHMS 2023 yang memaparkan lebih separuh rakyat dewasa Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan, dan hampir kesemua tidak mencukupi pengambilan sayur-buahan, adalah cerminan bahawa kesedaran “tayyib” ini masih belum meresap dalam budaya pemakanan harian kita walaupun kesedaran “halal” sudah sebati.

Marilah kita jadikan konsep tayyib ini sebagai penanda aras baharu dalam pemilihan makanan. Bukan sekadar bertanya, “Adakah ini halal?”. Akan tetapi, turut bertanya, “Adakah ini baik untuk tubuh dan akal saya?” Kurangkan gula, garam dan minyak berlebihan dan tingkatkan pengambilan sayur dan buah. Yang paling penting, kawal nafsu makan agar tidak melampaui batas keperluan tubuh sebagaimana yang dituntut Allah dalam Surah Taha. Dengan itu barulah kita benar-benar melaksanakan tuntutan “halalan tayyiban” secara menyeluruh, bukan sekadar pada label produk, tetapi pada gaya hidup seharian kita.


Rujukan

Al-Quran al-Karim, Surah al-Baqarah (2:168, 2:172) dan Surah Taha (20:81). Terjemahan Bahasa Melayu: Abdullah Muhammad Basmeih.

Al-Tabari, Abu Ja’far Muhammad bin Jarir (w. 310H). Tafsir al-Tabari = Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an. Tahqiq: Dr. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki. Kaherah: Dar Hijr, 1422H/2001M.

Abu Hayyan al-Andalusi, Muhammad bin Yusuf (w. 745H). Al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir. Beirut: Dar al-Fikr.

Ibn ‘Ashur, Muhammad al-Tahir (w. 1393H). Al-Tahrir wa al-Tanwir “Tahrir al-Ma’na al-Salid wa Tanwir al-‘Aql al-Jadid min Tafsir al-Kitab al-Majid”. Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah li al-Nasyr.

Muslim bin al-Hajjaj al-Naysaburi. Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, hadis no. 1015 (dipetik melalui ‘Abd al-Haqq al-Ishbili (w. 582H), Al-Jam’ bayna al-Sahihayn, tahqiq Hamd bin Muhammad al-Ghammas, Riyadh: Dar al-Muhaqqiq, 1419H/1999M).

Al-Tabarani, Sulayman bin Ahmad (w. 360H). Al-Mu’jam al-Awsat, hadis Sa’ad bin Abi Waqqas RA. Tahqiq: Tariq bin ‘Awadullah & ‘Abd al-Muhsin al-Husayni. Kaherah: Dar al-Haramayn.

Al-Nawawi, Muhyi al-Din, dan Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795H). Al-Arba’un al-Nawawiyyah ma’ Ziyadat Ibn Rajab, hadis tambahan ke-47 (riwayat Ahmad no. 17186, al-Tirmidhi no. 2380, al-Nasa’i no. 8736, Ibn Majah no. 3349).

Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Key Findings. https://iku.nih.gov.my/images/nhms2023/key-findings-nhms-2023.pdf

Ustazah Dr Siti Nurunnajwa Binti Shamsuddin
Penyelidik MUIS
Penulis juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top