Mus’ab Bin Umair: Pemuda Yang Memilih Iman Melebihi Kemewahan

Pendahuluan
Kita hidup pada zaman teknologi di hujung jari. Lambakan media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube, Tiktok, platform permainan video seperti Roblox dan banyak lagi, dipenuhi dengan kandungan yang memaparkan gaya hidup pempengaruh (influencer) yang berjaya meraih pendapatan lumayan tanpa perlu berpenat lelah belajar menuntut ilmu.

Mengikut data kajian 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 memasuki pasaran kerja.

Tiga faktor utama mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh menjadi pempengaruh media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.

Tokoh Pemuda Qudwah
Fenomena ini akhirnya menjadi budaya yang ternormalisasi dalam kalangan remaja sehingga mereka menganggap populariti sebagai jalan pintas menuju kejayaan. Persepsi sedemikian mendorong sebahagian mereka meremehkan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan formal. Justeru, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung pemikiran sebegini?

Mari kita kenali seorang tokoh pemuda soleh yang boleh dijadikan teladan oleh remaja pada hari ini. Nama beliau ialah Mus’ab bin Umair. Beliau merupakan seorang pemuda yang berasal daripada golongan bangsawan Makkah. Mus’ab terkenal dengan ketampanannya dan suka berpakaian kemas, mahal serta indah. Beliau tinggal dengan ibunya iaitu Khunnas binti Malik. Mus’ab merupakan anak yang paling disayangi oleh ibunya, sehingga semua permintaannya tidak pernah ditolak oleh ibunya.

Pemuda Yang Memilih Iman Melebihi Kemewahan
Keislaman Mus’ab bermula setelah beliau mendengar berita mengenai seorang nabi yang mengajak manusia beriman kepada Allah SWT dan meninggalkan kesyirikkan. Singkat cerita, Mus’ab mendapat tentangan hebat daripada ibunya setelah mengetahui beliau memeluk Islam.

Ibunya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari sebagai pengajaran dengan harapan Mus’ab meninggalkan Islam. Walau bagaimanapun, pendirian Mus’ab untuk terus memeluk Islam tetap teguh dan sedikit pun tidak tergugat meskipun berhadapan dengan pelbagai tekanan, ancaman dan ujian daripada keluarganya. Setelah ibunya habis ikhtiar untuk membuatkan Mus’ab meninggalkan Islam, ibunya menghalau anaknya keluar daripada rumah mereka.


Saat Keimanan Lebih Indah Daripada Kemewahan
Mus’ab meninggalkan segala kemewahan yang selama ini dinikmati untuk hidup bersama Rasulullah SAW dan para sahabat. Kehidupan Mus’ab sangat daif, fizikalnya berubah kurus kering, pakaiannya bertampal-tampal dan tiada lagi minyak wangi yang mengharumkan dirinya. Demi mempertahankan akidahnya, Mus’ab sanggup melepaskan kesenangan dunia demi meraih keredhaan Allah SWT dan mengharapkan balasan syurga di akhirat kelak.

Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:

إِنَّا لَجُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي المَسْجِدِ إِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلَيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوعَةٌ بِفَرْوٍ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَكَى لِلَّذِي كَانَ فِيهِ مِنَ النِّعْمَةِ وَالَّذِي هُوَ اليَوْمَ فِيهِ

Maksudnya:

“Ketika kami sedang duduk di Masjid, lalu datang Mus’ab ibn Umair dengan pakaian yang bertampal. Apabila Rasulullah melihat Mus’ab, Baginda menangis kerana mengenangkan kehidupan mewah yang pernah dinikmati oleh Mus’ab.” (HR al-Tirmizi).

Bagaimanakah Membina Mindset (Pemikiran) Mus’ab Dalam Diri Anak?
Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi membentuk pemikiran seperti Mus’ab dalam diri anak-anak ialah:

1. Ceritakan mengenai kisah para rasul dan sahabat Nabi Muhammad SAW kepada anak.
Anak perlukan figura pelindung yang bertindak sebagai qudwah hasanah dalam pembentukan sahsiah mereka. Sekiranya, mereka hanya mengenali pempengaruh, YouTuber, penyemak permainan (gaming streamer)dan pencipta kandungan (content creator) yang mempromosikan budaya lagha, maka merekalah yang menjadi idola anak-anak.

2. Bendung pemikiran materialistik

Didik anak sejak kecil agar memahami bahawa nilai kejayaan bukan hanya diukur melalui kekayaan, populariti atau kemewahan dunia semata-mata, tetapi melalui ilmu, akhlak terpuji, keimanan, ketaqwaan dan keberkatan hidup daripada Allah SWT.

3. Didik Anak Mencintai Ilmu
Berikan kefahaman kepada anak bahawa menuntut ilmu bukan semata-mata kerana mengejar keputusan peperiksaan atau memperolehi sijil penghargaan, tetapi kerana memahami ilmu merupakan jalan membentuk keperibadian yang baik dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan mencintai ilmu, anak akan memahami pembelajaran sebagai satu keperluan sepanjang hayat bukan sekadar tuntutan akademik.

4. Ibu Bapa Sebagai Qudwah Hasanah
Sekiranya ibu bapa sering menjadikan harta, kemewahan, kereta dan rumah sebagai topik utama dalam kehidupan, anak-anak akan belajar bahawa nilai kejayaan hanya diukur melalui pencapaian material. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi contoh teladan yang baik dengan menunjukkan bahawa kehidupan bukan sekadar mengejar kesenangan dunia tetapi lebih kepada ilmu, akhlak, amal soleh dan keberkatan hidup daripada Allah SWT.

Penutup
Mus’ab bin Umair merupakan susuk qudwah yang boleh menjadi teladan kepada remaja terutamanya golongan Generasi Z pada masa kini. Di saat budaya materialistik mendominasi pemikiran pemuda pemudi kita, kisah Mus’ab mengajar kita bahawa kemewahan bukanlah ukuran kejayaan seseorang individu.

Semoga kisah Mus’ab dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk meletakkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat utama kehidupan, mencintai ilmu, kuat mempertahankan akidah dan membina jati diri Muslim yang teguh dalam menghadapi cabaran zaman teknologi dan media sosial.


للنقاش:
إذا أردت أن تعرف مستقبل أمة؛ فانظر إلى شبابها

Maksudnya:

Untuk renungan:
“Jika engkau ingin mengetahui masa depan sesuatu umat maka lihatlah kepada pemudanya.”

Wallahu’alam Bissawab

Ustazah Nur Diyana Binti Soid
Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top