Hari Asyura dan Keunggulan Identiti Umat

Umat Islam disunatkan berpuasa pada Hari Asyura, namun mengapa Nabi SAW menyarankan untuk turut berpuasa Tasu’a atau sehari selepas Asyura?

Sejarah Puasa Asyura

Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharram saban tahun mempunyai keistimewaan tersendiri. Umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada hari ini kerana mengikut sunnah junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  Menurut Ibn Abbas RA, beliau berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم قدِمَ المَدينةَ فوجَدَ اليَهودَ صيامًا يَومَ عاشوراءَ، فقال لهم رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ما هذا اليَومُ الذي تَصومونَه؟ فقالوا: هذا يَومٌ عَظيمٌ، أنجى اللهُ فيه موسى وقَومَه، وغَرَّقَ فِرعَونَ وقَومَه، فصامَه موسى شُكرًا، فنَحنُ نَصومُه، فقال رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: فنَحنُ أحَقُّ وأولى بموسى مِنكُم، فصامَه رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، وأمَرَ بصيامِه.

Maksudnya: “Rasulullah tiba di Madinah dan baginda mendapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa AS berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Sabda Rasulullah: Kami lebih utama ke atas Musa AS berbanding kamu. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” (Riwayat al-Bukhari, 3397)

Berdasarkan sejarah, Hari Asyura merupakan hari ketika Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil dari dikejar oleh Firaun. Nabi Musa AS berpuasa pada hari itu sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah. Justeru, Rasulullah SAW menegaskan bahawa umat Islam lebih berhak mengikuti ajaran Nabi Musa berbanding kaum Yahudi. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan para sahabat untuk turut berpuasa pada Hari Asyura.

Fadhilat Puasa Asyura

Puasa pada Hari Asyura mempunyai kelebihan yang sangat besar, iaitu ganjaran keampunan dosa bagi setahun yang lalu. Hal ini berdasarkan sebuah hadis:

Dari Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa Asyura, maka Baginda SAW bersabda:

أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.” (Riwayat Muslim 1162)

Ini membuktikan betapa luasnya rahmat dan keampunan Allah kepada hamba-Nya yang ingin bertaubat serta memperbaiki diri melalui ibadah puasa Asyura. Oleh itu, usah lepaskan peluang keemasan untuk meraih keampunan pada hari yang mulia ini.

Menggandingkan Puasa Asyura dengan Tasu’a

Mengenai kaifiat atau cara tebaik dalam pelaksanaan puasa Asyura, Nabi SAW telah menyarankan untuk turut berpuasa pada Hari Tasu’a iaitu sehari sebelum Asyura atau memilih puasa sehari selepas Asyura jika tidak berpuasa Tasu’a.

Daripada Ibnu Abbas:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ, وَخَالِفُوا الْيَهُودَ صُومُوا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ يَوْمًا بَعْدَهُ. وَهَذَا كَانَ فِي آخِرِ الْأَمْرِ

Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan berbezalah (selisihilah) kamu dengan kaum Yahudi. Berpuasalah pada sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” Riwayat Muslim (1134)

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari menyatakan, Nabi SAW pada asalnya gemar menyantuni Ahli Kitab dan muwafaqah atau menyerupai mereka (untuk merapatkan jurang) dalam perkara yang tidak ada perintah atau larangan khusus daripada Allah SWT, terutamanya dalam perkara yang membezakan mereka dengan penyembah berhala. Namun, setelah fasa Fathu Mekah, syiar Islam semakin tersebar luas dan baginda mula membezakan diri daripada Ahli Kitab.

Maka, peristiwa puasa pada Hari Asyura dan menambah sehari lagi puasa sama ada sebelum atau selepasnya adalah sebahagian daripada perubahan yang Nabi lakukan untuk tidak lagi menyerupai Ahli Kitab dan membezakan kedudukan umat Islam dengan golongan ini.

Walaubagaimanapun, Rasullah tidak sempat berpuasa Hari Tasu’a sebagaimana hasrat baginda kerana telah wafat sebelum bertemu hari tersebut.

“Ketika Rasulullah berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada Hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam).”

Berkata Ibn Abbas: Belum tiba tahun hadapan, Rasulullah telah wafat”. Riwayat Muslim (1916)

Membezakan Adalah Tanda Tamayyuz iaitu Keunikan dan Bukti Keunggulan Identiti Islam

Perbuatan menambah sehari lagi puasa di samping puasa pada Hari Asyura ini membuktikan bahawa Nabi SAW sangat mementingkan tamayyuz di kalangan umat Islam, iaitu memiliki keunikan identiti yang tersendiri, tanpa meniru ajaran agama lain.

Antara lain, Nabi sentiasa membezakan amalan Muslim dengan penganut selain Islam, sebagai contoh; amalan berpuasa di kalangan umat Islam dibezakan dengan amalan bersahur untuk membezakan dengan puasa yang turut dilaksanakan dalam amalan ajaran lain.

Ini membuktikan bahawa Islam sangat mengutamakan jati diri dan mencipta garis pemisah yang jelas dengan segala ajaran dan idealogi selain Islam.

Justeru, sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa berwaspada dalam setiap tindak-tanduk agar tidak terjebak dengan ideologi yang tersasar daripada ajaran sebenar atau hanyut dalam budaya yang sesat.

Sebelum melangkah, teliti dahulu sama ada perbuatan kita bertepatan dengan landasan syariat atau tidak. Islam juga bukan hanya bersifat ritual dan berkisar tentang ibadah individu, namun ia adalah agama yang sempurna meliputi seluruh sistem kehidupan.

Oleh yang demikian, menjadi satu kewajipan bagi kita untuk berusaha memastikan setiap sistem kehidupan kita, sama ada sistem pendidikan, perundangan, politik, mahupun ekonomi dan hiburan, semuanya menepati acuan dan identiti Islam.

Janganlah kita sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada sistem sedia ada, yang hakikatnya berpaksikan identiti Barat, mengasingkan agama serta menjauhkan manusia daripada ketuhanan.

Ayuh kita suburkan sifat ‘izzah dan bangga dengan keunggulan identiti Islam serta meyakini  bahawa agama inilah yang paling sempurna, membawa rahmat, serta menjadi solusi terbaik untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.

Ustaz Dr Nur Fatin Binti Halil

Ketua Bahagian Penyelidikan MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top