Bila Lelaki Berhenti Bergerak, Wanita Hilang Ketenangan

Ada sesuatu yang terbalik dalam cara kita menyusun kehidupan hari ini.

Wanita semakin dituntut untuk bergerak, keluar, bersaing dan memikul segala-galanya. Pada masa yang sama, lelaki semakin diberi ruang untuk berdiam, mengelak tanggungjawab dan membiarkan kehidupan diuruskan orang lain.

Kemudian kita tertanya-tanya, kenapa keluarga semakin penat? Kenapa rumah semakin hilang ketenangan?

Kita perlu melihat semula aturan yang menjadi asas kepada kehidupan ini.

Allah menciptakan segalanya dengan aturan dan peranan. Apabila aturan itu dipelihara, kehidupan mempunyai keseimbangan. Apabila ia dilanggar, ada sesuatu yang akan rosak, walaupun pada awalnya kita menyangka sedang mencapai kemajuan.

Allah berfirman:

فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ

“Barang siapa mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan sengsara.” Taha: 123.

Di sini letaknya hubungan antara aturan Allah dengan sa‘adah, iaitu kebahagiaan. Menjauh daripada petunjuk-Nya membuka jalan kepada syaqawah, iaitu kesengsaraan.

Lihat bagaimana al-Quran memperkenalkan penciptaan Adam:

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

— Al-Baqarah: 30.

Ada amanah yang perlu dipikul. Ada bumi yang perlu dimakmurkan. Ada aturan yang perlu dipelihara.

Dalam keluarga, lelaki pula dipertanggungjawabkan sebagai qawwam: memimpin, melindungi dan menanggung nafkah.

Semua ini menuntut taharruk. Gerak. Usaha. Kesediaan menghadapi kesusahan.

Lelaki perlu keluar daripada keselesaan dirinya. Mencari rezeki, membina ilmu, menguatkan kemampuan dan menyelesaikan masalah. Ada orang yang bergantung pada kesungguhannya. Ada kehidupan yang terjejas apabila dia memilih untuk lepas tangan.

Menariknya, perkataan rajul yang bermaksud lelaki dan rijl yang bermaksud kaki berkongsi akar huruf ر ج ل. Dalam al-Baqarah ayat 239, lafaz فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا membawa maksud berjalan kaki atau berkenderaan. Hubungan bahasa ini boleh direnungi sebagai gambaran tentang gerak dan usaha.

Kaki melangkah. Begitulah lelaki perlu melangkah untuk menunaikan amanahnya.

Kemudian, perhatikan bagaimana al-Quran menyebut penciptaan pasangan:

وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا

“Dan Dia menjadikan daripadanya pasangannya agar dia beroleh ketenteraman padanya.” Al-A‘raf: 189.

Liyaskuna ilaiha. Agar dia menemukan ketenteraman padanya.

Di sinilah besarnya makna wanita sebagai sakan.

Daripada akar س ك ن juga datangnya perkataan maskan, tempat tinggal. Allah sendiri menyebut rumah sebagai tempat ketenteraman dalam surah al-Nahl ayat 80. Ada hubungan makna antara menetap, rumah dan ketenangan.

lelaki memikul amanah untuk bergerak membina kehidupan, sementara wanita mengukuhkan kehidupan itu sebagai tempat jiwa kembali tenang.

Projek istikhlaf Adam memerlukan Hawa sebagai sakan. Bagaimana mahu terus memikul dunia di luar jika kehidupan di dalam sentiasa bergoncang?

Di sinilah masalah pemikiran moden beracuan Barat yang perlu kita sebutkan : apabila pencapaian di luar rumah dijadikan ukuran utama nilai manusia, siapa yang masih mahu memuliakan kerja membina ketenteraman di dalamnya?

Wanita diasak untuk membuktikan dirinya melalui persaingan yang tidak berkesudahan. Peranan membina rumah dan mendidik generasi dipandang semakin kecil. Lelaki pula boleh terus lalai, kerana akhirnya ada wanita yang akan mengambil alih beban yang ditinggalkannya.

Wanita bergerak kerana terpaksa menanggung semuanya. Lelaki diam kerana sudah terbiasa semuanya ditanggung.

Lama-kelamaan, wanita keletihan. Lelaki kehilangan daya. Rumah kehilangan ketenangan.

Apabila gerak kehidupan ini turut mengetepikan batas syariat, ikhtilat tanpa kawalan dan hubungan yang melampaui batas semakin mendapat ruang. Keluarga terpaksa menanggung kesannya.

Sebab itu, usaha membaiki masyarakat mesti sampai kepada asas ini: gerakkan semula lelaki dan kukuhkan semula wanita sebagai sakan.

Taharruk al-rijal: bangunkan lelaki yang tahu tanggungjawabnya dan sanggup memikulnya. Yang hadir ketika diperlukan. Yang berusaha sebelum disuruh. Yang menyelesaikan masalah sebelum bebannya jatuh kepada isteri.

Sukun al-nisa’: muliakan peranan wanita dalam membina ketenteraman, dan sediakan kehidupan yang membolehkannya menjalankan peranan itu dengan tenang. Lelaki mesti menunaikan amanahnya supaya wanita tidak dibiarkan menanggung segala-galanya.

Kita mahukan lelaki yang boleh diharapkan, wanita yang terpelihara ketenangannya, dan rumah yang menjadi tempat tumbuhnya generasi.

Jalan menuju sa‘adah bermula apabila kita kembali mengambil serius aturan dan amanah daripada Allah.

Wallahua’lam walhamdulillahirabbil’alamin.

Ustaz Ibrahim bin Allam Said
Kolumnis MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top