Bila Halal Sekadar Sukarela

Berita serbuan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) terhadap rumah sembelihan ayam di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong menunjukkan, sebenarnya banyak risiko kewujudan ayam tak halal di restoran-restoran kita.

Menurut Timbalan Pengarah (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim, ayam itu dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan premis perniagaan di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya.

Bangi dan Putrajaya adalah kawasan Muslim majority. Ada ayam tak disembelih rupanya. Memang patutlah Dr Radzi Jidin marah besar.

Saya pula tinggal di Bangi. Mana ada restoran non-muslim di Bangi. Jadi, timbul persoalan, restoran mana yang terima ayam bangkai itu? 

HALAL MALAYSIA TERLALU PLAY SAFE

Punca kepada krisis ini adalah perundangan Halal kita yang terlalu play safe. Saya tahu sijil halal bersifat voluntary, tapi selepas berpuluh tahun, tibalah masanya ia dijadikan compulsory.

Sijil Halal di Malaysia mula diperkenalkan sejak 1974. Indonesia pula mula pada 1994. Namun, mulai 2024, Indonesia sudah menjadikan Halal sebagai compulsory.

Undang-undang No. 33 Tahun 2014 menetapkan bahawa produk yang masuk, beredar dan diperdagangkan di wilayah Indonesia wajib mempunyai sijil halal, tertakluk kepada pengecualian bagi produk yang berasal daripada bahan tidak halal. Produk tidak halal pula wajib diberikan keterangan tidak halal. Pihak industri diberi masa 10 tahun, sejak 2014, untuk dapatkan sijil Halal.

Ternyata, perundangan Halal Malaysia sudah dipintas Indonesia. 

Maka, hala tujunya jelas. Hanya polisi ‘Halal Compulsory’ sahaja yang boleh menyelamatkan darah daging kita. Selagi perkara ini tak berlaku, semua kita berisiko makan ayam bangkai. 

PADAH TERLALU BERSANGKA BAIK

Kerakusan kapitalis tak akan kisah dengan prinsip Halal Tayyiban kita. Yang penting bukan kesejahteraan pengguna, tapi laba besar yang masuk ke poket mereka. Apa yang boleh tingkatkan margin keuntungan, ke situlah mereka akan pergi.

Setakat ini, tiada bukti pemilik rumah sembelihan Puchong ini memperihalkan ayamnya sebagai Halal. Maka, yang cuai adalah kita. Bahasa mudahnya, dia tak kata halal pun. Kita sendiri yang memandai kata halal.

Pendekatan saya begini. Dalam keadaan asal, seekor ayam adalah belum disembelih. Maka, perlu bukti kukuh yang mengatakan ayam itu disembelih secara syarak, barulah boleh dianggap Halal.

KUASA YANG HILANG

Apapun, pandang ke hadapan lebih baik. Marilah kita menginsafi bahawa keterjaminan makanan halal adalah satu paksi kuasa umat yang terlepas ke tangan orang lain.

Halal bukan sekadar soal apa yang kita makan. Halal juga soal siapa yang menguasai makanan kita. Sudah tiba masanya umat Islam kembali merebut kuasa tersebut. Kita perlukan lebih banyak Hajah Mazlina Kamarudin dan Ayam Bismi.

Ustaz Bilal Bin Jailani
Felo MUIS
Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top