Bagaimanakah Rasulullah ﷺ Menjaga Kesihatan Baginda?

Tahukah kita ketika mana Rasulullah memimpin peperangan Hunayn, usia Baginda telah mencecah 60 tahun? Ketika mana diasak oleh tentera musuh, Baginda tetap berada di medan perang dan tidak melarikan diri. Tidak terhenti disitu, selepas perang Hunayn, Baginda meneruskan operasi ke Ta’if dan mengepung kota tersebut. Beberapa sahabat gugur syahid apabila dipanah dari dalam kubu pertahanan. Namun Rasulullah tetap meneruskan perjuangan.

Pernah tak kita terfikir, apa rahsia atau amalan yang Rasulullah SAW lakukan sehingga masih kekal sihat dan kuat pada usia sebegitu?

Kesederhanaan dalam Pemakanan

Islam meletakkan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai sebahagian daripada disiplin agama, bukan sesuatu yang terpisah daripadanya. Rasulullah SAW, sebagai qudwah hasanah (suri teladan terbaik), menunjukkan cara hidup yang menyeimbangkan keperluan rohani dan jasmani. Tradisi keilmuan Islam turut mengiktiraf bidang ini secara khusus di bawah disiplin al-Tibb al-Nabawi (Perubatan Nabawi), yang dihimpun secara sistematik oleh Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah (w. 751H) dalam karya agungnya, Zad al-Ma’ad fi Hadi Khayr al-‘Ibad. Dalam kitab tersebut, Ibn Qayyim merumuskan asas perubatan Nabawi:

وَأُصُولُ الطِّبِّ ثَلَاثَةٌ: الْحِمْيَةُ وَحِفْظُ الصِّحَّةِ وَاسْتِفْرَاغُ الْمَادَّةِ الْمُضِرَّةِ

Maksudnya: “Asas perubatan itu ada tiga: al-himyah (pengawalan pemakanan), hifz al-sihhah (memelihara kesihatan), dan istifragh al-maddah al-mudirrah (pembuangan bahan yang memudaratkan).”

Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zad al-Ma’ad fi Hadi Khayr al-‘Ibad, j. 1, ms. 158 (t. Mu’assasah al-Risalah)

Antara ajaran paling asas Baginda SAW ialah mengawal pengambilan makanan. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada al-Miqdam bin Ma’dikarib, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Memadailah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya (tenaga asas). Sekiranya terpaksa (makan lebih), maka bahagikanlah: satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk ruang bernafas.”

Sunan al-Tirmidhi, no. 2537, Kitab al-Zuhd, Bab Ma Ja’a fi Karahiyah Kathrah al-Akl (t. Mu’assasah al-Risalah) — isnadnya dinilai sahih oleh pentahqiq, turut disahihkan oleh al-Hakim, al-Dhahabi dan Ibn Hibban

Prinsip ini selari dengan konsep al-himyah yang dihuraikan Ibn Qayyim dalam fasal khusus “Hadyuh SAW fi al-Himyah” (Panduan Baginda SAW dalam Pengawalan Pemakanan):

الدَّوَاءُ كُلُّهُ شَيْئَانِ: حِمْيَةٌ وَحِفْظُ صِحَّةٍ

Maksudnya: “Ubat itu pada dasarnya dua perkara sahaja: pengawalan pemakanan dan pemeliharaan kesihatan.”

Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zad al-Ma’ad, j. 4, ms. 94

Selain itu, Rasulullah SAW juga kerap berpuasa. ʿĀ’ishah RA meriwayatkan bahawa Baginda berpuasa tiga hari setiap bulan. Riwayat lain menyebut Baginda memberi perhatian kepada puasa Isnin dan Khamis, dan Baginda juga banyak berpuasa pada bulan Syaʿban.

عَنْ عَائِشَةَ رضى الله عنها ـ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يَصُومُ‏.‏ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلاَّ رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ‏.‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa sehingga seseorang berkata bahawa dia tidak akan berhenti berpuasa, dan dia akan meninggalkan puasa sehingga seseorang berkata bahawa dia tidak akan berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa selama sebulan penuh kecuali bulan Ramadan, dan tidak pernah melihatnya berpuasa pada bulan mana pun lebih banyak daripada bulan Sya’ban.”

Makanan yang dimakan oleh Rasulullah juga sedikit sebanyak membantu dalam penjagaan kesihatan Baginda. Antara makanan yang sering dimakan oleh Rasulullah adalah seperti kurma, barli, labu, susu dan madu. Kurma dapat membantu membekalkan tenaga, serat, kalium dan polifenol. Kajian semasa menunjukkan potensi manfaat terhadap profil lipid dan kesihatan kardiometabolik (Mirghani & Amirah, 2025). Rasulullah juga turut memakan roti yang diperbuat daripada barli. Barli adalah makanan yang kaya β-glucan, iaitu serat larut yang mempunyai bukti kukuh membantu menurunkan LDL-kolesterol dan memperlahankan penyerapan karbohidrat (EFSA Panel, 2011).  Rasulullah juga dikatakan turut menyukai labu. Anas RA pernah melihat Rasulullah SAW mencari dan mengambil kepingan labu dalam hidangan sehingga beliau sendiri menyukai labu selepas itu. Labu mengandungi serat, karotenoid khususnya β-carotene, vitamin dan pelbagai fitokimia. Ia merupakan makanan berketumpatan tenaga relatif rendah dengan kandungan nutrien yang baik (Batool et al., 2022). Selain itu, Rasulullah juga sangat menyukai manisan dan madu. Madu mengandungi gula semula jadi serta mengandungi sebatian fenolik seperti flavonoid dan asid fenolik yang mempunyai aktiviti antioksidan.

Fizikal yang Aktif dan Tubuh Badan yang Kuat

Sirah mencatatkan Baginda SAW sebagai peribadi yang aktif secara fizikal dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain dalam urusan hariannya. Ibn Qayyim menulis:

وَسَابَقَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بِنَفْسِهِ عَلَى الْأَقْدَامِ وَصَارَعَ، وَخَصَفَ نَعْلَهُ بِيَدِهِ وَرَقَّعَ ثَوْبَهُ بِيَدِهِ، وَحَلَبَ شَاتَهُ وَخَدَمَ أَهْلَهُ وَنَفْسَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sendiri pernah berlumba lari kaki dan bergusti. Baginda menampal kasutnya sendiri dan menampal bajunya sendiri, memerah susu kambingnya sendiri, serta melayan keluarga dan dirinya sendiri (dalam kerja rumah).”

Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Zad al-Ma’ad, j. 1, ms. 158

Riwayat masyhur turut menyebut Baginda SAW berlumba lari dengan isterinya, Saidatina ‘Aisyah RA. Semangat aktif ini selari dengan galakan umum Baginda SAW terhadap kekuatan seorang mukmin:

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ

Maksudnya: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah, namun pada setiap (mukmin) itu tetap ada kebaikan.”

Sahih Muslim, no. 2664, Kitab al-Qadar, Bab fi al-Amr bi al-Quwwah wa Tark al-‘Ajz (tahqiq ‘Abd al-Baqi)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa “kekuatan” (al-quwwah) dalam hadith ini merangkumi kekuatan azam dan jiwa dalam melaksanakan ibadah serta urusan akhirat. Namun ulama turut mengambil iktibar umum bahawa kekuatan fizikal adalah wasilah penting ke arah kekuatan tersebut.

Penjagaan Kebersihan Diri

Selain itu, Rasulullah merupakan seorang yang sangat menjaga kebersihan diri. Antara amalan konsisten Baginda SAW ialah bersugi (bersiwak) sebelum solat dan pada pelbagai keadaan lain. Sabda Baginda:

السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ

Maksudnya: “Bersugi itu membersihkan mulut dan diredai oleh Tuhan.”

Diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA; Sahih Ibn Khuzaymah, no. 135, Kitab al-Wudu’, Bab Fadl al-Siwak (dinilai sahih oleh al-Albani); turut diriwayatkan oleh al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra

Baginda juga mengajar kita untuk mandi dengan teliti tertutama sekali selepas junub. Saidatina Aishah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW akan membasuh tangan terlebih dahulu, berwudhuk, menyela pangkal rambut sehingga air sampai ke kulit kepala dan kemudian barulah menjirus air keseluruh tubuh badan. Hadis ini menunjukkan kebersihan Baginda dilakukan dengan penuh teliti dan menyeluruh, bukan sekadar menjirus badan.

Rasulullah juga turut menjaga kebersihan diri dengan memotong kuku, bulu badan dan misai. Rasulullah SAW bersabda:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ: الْخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَقَصُّ الشَّارِبِ، وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الْآبَاطِ

Maksudnya: “Lima perkara daripada fitrah: berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memendekkan misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah; Sahih al-Bukhari, no. 5891, Kitab al-Libas, Bab Memotong Kuku.

Bagida juga menjaga penampilan diri dengan menyikat rambut dan berwangi-wangian.

Rawatan dan Pencegahan Penyakit

Baginda SAW turut mengajar beberapa kaedah rawatan yang kini dikenali sebagai sebahagian daripada perubatan Nabawi, termasuk hijamah (bekam), madu dan habbatus sauda (jintan hitam). Sabda Baginda:

الشِّفَاءُ فِي ثَلَاثَةٍ: فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ، أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الْكَيِّ

Maksudnya: “Penyembuhan (secara umum) terdapat pada tiga perkara: sayatan bekam, minuman madu, atau bakaran dengan api, namun aku melarang umatku daripada berbekam dengan besi panas (al-kayy).”

Sahih al-Bukhari, no. 5681, Kitab al-Tibb, Bab al-Shifa’ fi Thalath (Cetakan al-Sultaniyyah)

Baginda SAW juga bersabda mengenai habbatus sauda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ

Maksudnya: “Pada habbatus sauda (jintan hitam) itu terdapat penawar bagi setiap penyakit, kecuali al-sam (kematian).”

Sahih al-Bukhari, no. 5688, Kitab al-Tibb, Bab al-Habbah al-Sawda’

Ibn Qayyim turut mencatatkan bahawa Baginda SAW pernah berbekam di beberapa lokasi tertentu pada badannya seperti di tengah kepala, belakang tapak kaki, kawasan leher (al-akhda’ain) dan bahagian antara dua bahu (al-kahil) (Zad al-Ma’ad, j. 1, ms. 158). Ini menunjukkan bekam merupakan pendekatan rawatan yang sistematik, bukan sekadar amalan sampingan.

Berdasarkan sorotan hadith-hadith sahih dan huraian ulama muktabar seperti Ibn Qayyim al-Jawziyyah, jelas bahawa penjagaan kesihatan dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW bukanlah aspek yang terpisah daripada kehidupan beragama. Sebaliknya, ia dianyam bersama sebagai sebahagian daripada al-hadyu al-kamil (petunjuk yang menyeluruh) Baginda yang merangkumi kesederhanaan pemakanan, keaktifan fizikal, kebersihan diri, serta ikhtiar perubatan yang bersesuaian dengan sunnatullah. Prinsip-prinsip ini kekal relevan sebagai panduan gaya hidup sihat bagi umat Islam pada hari ini, sejajar dengan tuntutan menjaga amanah tubuh badan yang dikurniakan Allah SWT.

Rujukan

al-Bukhari, Muhammad bin Isma’il, (t. 256H), Sahih al-Bukhari (Cetakan al-Sultaniyyah), Kitab al-Tibb.

al-Tirmidhi, Muhammad bin ‘Isa, (t. 279H), Sunan al-Tirmidhi, Bayrut: Mu’assasah al-Risalah, Kitab al-Zuhd.

Batool M, Ranjha MMAN, Roobab U, Manzoor MF, Farooq U, Nadeem HR, Nadeem M, Kanwal R, AbdElgawad H, Al Jaouni SK, Selim S, Ibrahim SA. (2022). Nutritional Value, Phytochemical Potential, and Therapeutic Benefits of Pumpkin (Cucurbita sp.). Plants (Basel). 11(11):1394.

Ibn Khuzaymah, Muhammad bin Ishaq, (t. 311H), Sahih Ibn Khuzaymah, Kitab al-Wudu’.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Muhammad bin Abi Bakr, (w. 751H), (1417H/1996M), Zad al-Ma’ad fi Hadi Khayr al-‘Ibad, Bayrut: Mu’assasat al-Risalah.

Mirghani, Hyder Osman & Amirah Alhowiti. (2025). Dates fruit effects on dyslipidemia among patients with Type-2 diabetes mellitus: A systematic review and meta-analysis of randomized trials. Pak J Med Sci. 41(1):331-337.

Muslim bin al-Hajjaj al-Qushayri, (t. 261H), Sahih Muslim (tahqiq ‘Abd al-Baqi), Kitab al-Qadar.

EFSA Panel on Dietetic Products, Nutrition and Allergies (NDA). (2011). Scientific Opinion on the substantiation of a health claim related to barley beta-glucans and lowering of blood cholesterol and reduced risk of (coronary) heart disease pursuant to Article 14 of Regulation (EC) No 1924/2006. EFSA J. 9(12):2471.

Ustazah Dr Siti Nurunnajwa Binti Shamsuddin
Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top