Merdeka di Tanah Air, Terjajah di Dalam Jiwa?

69 Tahun Merdeka, Namun Jiwa Masih Terjajah?

Apalah ertinya merdeka jika tanah air tidak lagi dijajah, tetapi pemikiran kita masih mudah ditawan oleh arus yang datang tanpa sempadan? Sudah benar-benar merdekakah kita apabila kebebasan diukur berdasarkan keberanian melakukan apa sahaja yang diingini, sedangkan kemampuan membezakan antara yang baik dengan yang merosakkan semakin hilang? Kita melaungkan “Merdeka!” dengan penuh semangat setiap tahun malah adakalanya disambut dengan pelbagai bentuk hiburan di peringkat negeri dan negara, tetapi mungkin jarang bertanya: adakah jiwa, pemikiran dan cara hidup kita juga telah merdeka daripada penjajahan nafsu, budaya melampau serta kebergantungan kepada penerimaan manusia?

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan laporan mengenai pendekatan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang semakin terbuka, termasuk pengurangan pemotongan adegan bagi sesetengah filem berklasifikasi umur lebih tinggi. Perubahan ini tidak bermaksud penapisan telah dimansuhkan, tetapi memperlihatkan peralihan kepada klasifikasi umur dan tanggungjawab penonton. Tidak lama sebelum itu, timbul kontroversi tentang program penutup minggu orientasi di sebuah universiti awam yang didakwa lebih menyerupai konsert hiburan. Kedua-dua peristiwa ini mungkin berbeza, tetapi mengundang persoalan yang sama: ke manakah arah nilai masyarakat dan generasi yang sedang kita bentuk? Persoalannya bukan sama ada seni dan hiburan perlu ditolak, tetapi adakah kebebasan berkarya dan berhibur masih dipandu oleh tujuan, adab dan identiti bangsa?

Kemerdekaan yang Belum Selesai

Kemerdekaan hakiki bukan hanya kebebasan daripada penjajahan kuasa asing. Ia juga merupakan pembebasan manusia daripada ketundukan kepada hawa nafsu, tekanan sosial dan cara hidup yang menghilangkan harga diri. Seseorang mungkin bebas bergerak dan bersuara, tetapi belum benar-benar merdeka jika keputusan hidupnya sentiasa ditentukan oleh trend, algoritma, pengaruh selebriti dan keinginan mendapatkan pengiktirafan orang lain. Kita mungkin tidak lagi diperintah oleh penjajah dari luar, tetapi secara perlahan-lahan membenarkan pemikiran, cita rasa dan batas moral kita ditentukan oleh kuasa budaya yang tidak kelihatan.

Adakah merdeka bermaksud manusia bebas melakukan apa sahaja tanpa batas? Jika demikian, apakah bezanya kebebasan dengan kehilangan pedoman? Kemerdekaan sebenar bukan kemampuan melakukan segala-galanya, tetapi keberanian memilih perkara yang benar walaupun perkara yang salah kelihatan lebih mudah dan popular. Sebuah bangsa tidak akan kekal merdeka hanya dengan kekuatan ekonomi, teknologi dan ketenteraan. Bangsa itu juga memerlukan jati diri yang menentukan siapa mereka, nilai yang dipertahankan dan arah yang mahu dituju. Tanpa jati diri, kita mungkin maju sebagai pengguna teknologi, tetapi mundur sebagai manusia yang kehilangan tujuan.

Cabaran Menyematkan Jati Diri Islam

Tidak dapat dinafikan, banyak cabaran dalam menyematkan jati diri Islam dalam jiwa masyarakat pada hari ini. Antaranya adalah proses normalisasi yang berlaku secara perlahan. Perkara yang mengejutkan masyarakat semalam boleh menjadi biasa pada hari ini dan dipertahankan sebagai hak peribadi pada hari esok. Kandungan hiburan yang dahulunya dianggap tidak sesuai kini boleh ditonton melalui telefon tanpa sempadan masa dan tempat. Sesuatu budaya tidak berubah dalam satu malam. Ia berubah apabila mata dibiasakan melihat, telinga dibiasakan mendengar dan hati tidak lagi berasa apa-apa. Bahaya terbesar bukan semata-mata kewujudan kemungkaran, tetapi apabila masyarakat kehilangan keupayaan untuk mengenalinya sebagai sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Cabaran seterusnya adalah kekeliruan dalam memahami kebebasan, rahmah dan keterbukaan. Teguran sering dianggap menghukum, ketegasan dilabel melampau dan usaha mempertahankan nilai agama dikatakan menyekat kemajuan. Akibatnya, agama semakin dikecilkan kepada ibadah peribadi, sedangkan urusan pendidikan, hiburan dan budaya seolah-olah tidak boleh disentuh oleh pertimbangan agama. Generasi muda akhirnya lebih banyak belajar tentang kehidupan daripada media sosial, pempengaruh dan algoritma berbanding keluarga, guru atau ilmuwan. Apabila panduan agama tidak disampaikan dengan ilmu dan hikmah, kekosongan itu akan segera diisi oleh pihak lain.

Cabaran ketiga ialah ketidakselarasan antara nasihat dengan persekitaran yang kita sediakan. Kita meminta generasi muda menjaga akhlak, tetapi membiarkan mereka berhadapan dengan kandungan tanpa kawalan. Kita mahu mahasiswa membina budaya ilmu, tetapi ada kalanya ruang penting seperti minggu orientasi lebih menonjolkan hiburan daripada identiti akademik. Kita meminta anak-anak membuat pilihan yang baik, tetapi orang dewasa dan institusi gagal menyediakan ekosistem yang membantu mereka memilih dengan betul. Jati diri tidak terbina melalui ceramah sekali-sekala atau slogan pada bulan kemerdekaan. Ia terbentuk melalui perkara yang dilihat, diraikan, dibenarkan dan dicontohkan setiap hari.

Kembali Meneladani Rasulullah SAW

Penyelesaiannya perlu bermula dengan kembali memahami dan meneladani misi Rasulullah SAW secara menyeluruh. Baginda bukan sekadar membebaskan manusia daripada penyembahan berhala yang kelihatan, tetapi juga daripada pengabdian kepada manusia, hawa nafsu dan tradisi jahiliah yang merendahkan martabat insan. Rasulullah SAW membina masyarakat melalui ilmu, akidah, akhlak, undang-undang dan contoh kepimpinan. Baginda menunjukkan bahawa rahmah bukan bererti membiarkan segala-galanya tanpa batas. Rahmah yang sebenar membimbing manusia kepada kebaikan, melindungi mereka daripada kerosakan dan bertindak tegas apabila keadilan serta kemaslahatan masyarakat dicabuli.

Dalam menghadapi realiti hari ini, pendekatan Islam wasatiy perlu difahami sebagai keseimbangan yang berprinsip, bukan jalan mudah yang mengorbankan kebenaran. Islam tidak memusuhi seni, hiburan, teknologi atau kebebasan berkarya. Namun, semuanya perlu dipandu oleh adab, tanggungjawab dan tujuan yang baik. Hiburan dibenarkan, tetapi tidak sehingga melalaikan dan meruntuhkan maruah. Karya seni diraikan, tetapi kebebasan berkarya tidak terpisah daripada tanggungjawab sosial. Teknologi dimanfaatkan, tetapi manusia tidak boleh menjadi hamba kepada algoritma. Keterbukaan diterima, tetapi bukan dengan membuang semua sempadan sehingga akal, agama dan identiti generasi terdedah kepada kerosakan.

Akhirnya, pembinaan generasi merdeka memerlukan tanggungjawab bersama. Keluarga perlu menjadi tempat pertama anak-anak belajar tentang iman, batas dan kebijaksanaan membuat pilihan. Institusi pendidikan mesti kembali mengutamakan budaya ilmu, adab dan pembinaan insan. Industri hiburan serta badan pengawal selia pula perlu melihat klasifikasi umur bukan sebagai pelepasan tanggungjawab, tetapi sebahagian daripada sistem perlindungan yang mesti dikuatkuasakan dengan berkesan. Kita boleh terus mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu kemerdekaan, tetapi kemerdekaan itu belum sempurna jika jiwa generasi masih mudah ditawan. Malaysia benar-benar merdeka apabila rakyatnya bukan sahaja bebas daripada penjajahan kuasa asing, tetapi mempunyai iman, ilmu dan jati diri untuk menolak segala bentuk penjajahan pemikiran. Dengan itu, setiap sambutan kemerdekaan seharusnya bukan sekadar mengingati sejarah, tetapi perlu menjadi seruan untuk terus membebaskan jiwa dan membina masa depan bangsa yang bermaruah.

Ustazah Dr Nabilah Huda Binti Zaim
Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top