
Pengenalan
Maryam binti Imran ialah bonda kepada Nabi Isa A.S. Beliau ialah puteri kepada Imran bin Matsan dan Hannah binti Fuqudha, pasangan suami isteri yang terkenal dengan kesolehan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Maryam mempunyai kedudukan yang istimewa kerana beliau merupakan satu-satunya wanita yang namanya disebut secara khusus dan diabadikan dalam kitab suci al-Quran. Salah satu surah dalam al-Quran dinamakan dengan nama Maryam, iaitu surah ke-19. Nama Maryam disebut sebanyak 34 kali didalam al-Quran, menggambarkan kemuliaan serta kedudukan tinggi beliau di sisi Allah SWT.
Lahir Daripada Keluarga Yang Soleh
Maryam lahir dan dibesarkan dalam biah keluarga yang menjunjung tinggi nilai-nilai keimanan, ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ayah beliau merupakan tokoh ulamak yang dihormati pada zaman itu. Manakala ibunya dikenali sebagai wanita solehah yang taat beribadah kepada Allah SWT, ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ ءآدَمَ وَنوحًا وَءآلَ إِبرٰهيمَ وَءآلَ عِمرٰنَ عَلَى العٰلَمينَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).” (Surah Ali Imran: 33)
Terlahir Daripada Hasil Doa Dan Kesabaran
Ayah dan ibunda Maryam diuji dengan ujian kelewatan dikurniakan zuriat. Namun begitu, mereka tetap sabar dan tidak pernah berputus asa berdoa kepada Allah SWT dikurniakan zuriat yang soleh. Akhirnya, Allah SWT memperkenankan doa mereka dengan mengurniakan seorang anak perempuan. Maryam lahir daripada hasil doa ibundanya Hannah yang bernazar untuk mewakafkan anaknya berkhidmat dan beribadah kepada Allah SWT di Baitul Maqdis.
Firman Allah SWT:
إِذ قالَتِ امرَأَتُ عِمرٰنَ رَبِّ إِنّي نَذَرتُ لَكَ ما في بَطني مُحَرَّرًا فَتَقَبَّل مِنّي ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ
Maksudnya:”(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah Ali Imran: 35)
Wanita Perawan Yang Solehah
Setelah Maryam dilahirkan, Hannah menunaikan nazarnya dengan menyerahkan anaknya untuk berkhidmat di Baitul Maqdis. Di sana, Maryam berada di bawah jagaan dan asuhan ayah saudaranya iaitu Nabi Zakaria A.S. Baginda A.S. menjaga Maryam dengan penuh kasih sayang dan mendidiknya dengan suasana yang dipenuhi keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT sehingga tumbuh dewasa.
Di Baitul Maqdis Maryam duduk didalam mihrab yang disediakan oleh Nabi Zakaria A.S. untuk beliau beribadat, berzikir dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada suatu hari, Maryam diuji dengan kedatangan Jibrail A.S. yang muncul dalam rupa seorang lelaki yang sempurna kejadiannya. Melihat kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenali, Maryam segera memohon perlindungan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
قالَت إِنّي أَعوذُ بِالرَّحمٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا
Maksudnya: “Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.” (Surah Maryam: 18)
Ujian Yang Mengangkat Darjat
Lalu Jibrail A.S. menjelaskan bahawa beliau adalah utusan Allah SWT yang diutuskan untuk menyampaikan khabar gembira bahawa Maryam akan dikurniakan seorang anak lelaki yang suci, iaitu Nabi Isa A.S. sebagai satu mukjizat dan tanda kekuasaan Allah SWT.
Mendengar berita itu, Maryam berasa hairan dan cemas lalu bertanya bagaimana beliau akan memperolehi seorang anak sedangkan beliau belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki dan tidak pernah melakukan perbuatan keji.
Firman Allah SWT:
قالَ إِنَّما أَناْ رَسولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلٰمًا زَكِيًّا قالَت أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ وَلَم أَكُ بَغِيًّا
Maksudnya: “Dia (Jibrail AS) berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?”
(Surah Maryam: 19 – 20)
Tiga Pengajaran Kisah Maryam
Pertama: Zuriat Yang Soleh Lahir Dari Ibu Bapa Yang Soleh
Maryam adalah anak yang lahir dari doa kedua ibu bapanya yang soleh. Justeru itu, ibu bapa memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Pada masa yang sama, berusahalah memperbaiki diri dengan meningkatkan keimanan, ketaqwaan dan akhlak terpuji dalam diri kerana ibu bapa merupakan madrasah pertama anak-anak.
Kedua: Menjaga Iffah (Kesucian) Diri
Maryam merupakan wanita perawan yang suci, beliau menjaga iffah (kesucian) dirinya dan menghindari diri dari terjerumus ke dalam maksiat ketika berhadapan dengan Jibrail A.S. yang ketika itu menjelma menjadi sosok pemuda yang sempurna kejadiannya, dengan berdoa kepada Allah SWT. Wahai saudariku, perliharalah iffahmu (kesucian) kerana ia adalah perhiasan yang paling berharga. Nilai kesucian wanita bukan diukur pada kecantikkan rupa tetapi kepada keteguhan iman, kesucian akhlak dan kemulian dirinya di sisi Allah SWT.
Ketiga: Ujian Tanda Kasih Sayang Allah
Maryam menerima setiap ketentuan Allah SWT dengan penuh keredhaan dan kesabaran. Keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang bukanlah bererti hidupnya bebas daripada ujian dan kesusahan. Bahkan, semakin tinggi kedudukan seseorang di sisi Allah SWT, semakin besar ujian yang mungkin dihadapinya. Hal ini kerana, dunia merupakan medan ujian manakala akhirat ialah tempat Allah membalas segala amalan yang dilakukan setiap hambaNya.
Penutup
Maryam merupakan model wanita solehah yang menjadi qudwah dan inspirasi buat wanita sepanjang zaman. Keimanan, ketaqwaan dan akhlak mulia yang menghiasi peribadinya menjadi bukti kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT tidak diukur melalui rupa, harta atau kedudukan tetapi melalui keikhlasan dalam beribadah, kesabaran menghadapi ujian dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.
Maryam adalah wanita pilihan Allah. Firman Allah SWT:
وَإِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰكِ وَطَهَّرَكِ وَاصطَفٰكِ عَلىٰ نِساءِ العٰلَمينَ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika para malaikat berkata, “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikanmu, dan melebihkanmu di atas segala perempuan di seluruh alam (pada masa itu).” (Surah Ali Imran: 42)
Semoga kisah Maryam memberi kita pertunjuk untuk terus membaiki diri, memelihara iffah dan meneguhkan ketaatan kepada Allah. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kepada kita kekuatan meneladani qudwah tokoh wanita solehah ini.
Wallahu’alam.
Ustazah Nur Diyana Binti Soid
Penyelidik MUIS
