
𝑇𝑢𝑙𝑖𝑠𝑎𝑛 𝑖𝑛𝑖 𝑚𝑒𝑚𝑏𝑎ℎ𝑎𝑠𝑘𝑎𝑛 𝑖𝑠𝑢 𝑓𝑖𝑞ℎ 𝑑𝑎𝑛 𝑘𝑎𝑒𝑑𝑎ℎ 𝑏𝑒𝑟𝑓𝑖𝑘𝑖𝑟, 𝑏𝑢𝑘𝑎𝑛 𝑠𝑡𝑟𝑎𝑡𝑒𝑔𝑖 𝑠𝑖𝑦𝑎𝑠𝑎ℎ. 𝐴𝑑𝑎𝑝𝑢𝑛 𝑝𝑒𝑟𝑏𝑖𝑛𝑐𝑎𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑡𝑒𝑛𝑡𝑎𝑛𝑔 𝑘𝑒𝑟𝑗𝑎𝑠𝑎𝑚𝑎 𝑑𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝐼𝑟𝑎𝑛 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 𝑚𝑒𝑛𝑔ℎ𝑎𝑑𝑎𝑝𝑖 𝑝𝑒𝑛𝑐𝑒𝑟𝑜𝑏𝑜ℎ𝑎𝑛 𝑈𝑆-𝐼𝑠𝑟𝑎𝑒𝑙, 𝑚𝑎𝑘𝑎 𝑖𝑡𝑢 𝑡𝑒𝑟𝑡𝑎𝑘𝑙𝑢𝑘 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 𝑝𝑒𝑟𝑡𝑖𝑚𝑏𝑎𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑚𝑎𝑠𝑙𝑎ℎ𝑎ℎ 𝑑𝑎𝑛 𝑚𝑎𝑓𝑠𝑎𝑑𝑎ℎ 𝑑𝑖 𝑏𝑎𝑤𝑎ℎ 𝑏𝑎𝑏 𝑠𝑖𝑦𝑎𝑠𝑎ℎ 𝑠𝑦𝑎𝑟’𝑖𝑦𝑦𝑎ℎ, 𝑑𝑎𝑛 𝑏𝑢𝑘𝑎𝑛 𝑓𝑜𝑘𝑢𝑠 𝑢𝑡𝑎𝑚𝑎 𝑝𝑒𝑛𝑢𝑙𝑖𝑠𝑎𝑛 𝑖𝑛𝑖.
Syahid ialah satu hukum syar’i. Ia bukan gelaran berasaskan sentimen, bukan slogan legitimasi politik, dan bukan juga penghormatan umum yang diberikan kepada tokoh-tokoh.
Seorang muslim harus memahami bahawa tidak ada satu istilah dalam agama melainkan ia mempunyai struktur dan kaedah ilmu. Setiap isu harus dinilai dengan struktur ilmu yang telah ditetapkan oleh agama dalam hal tersebut.
Sebagaimana solat, zakat dan jual beli mempunyai struktur ilmu, demikian juga mati syahid. Ia mempunyai struktur ilmu yang tersendiri, dari definisinya, pembahagian dan hukum- hukumnya, syarat-syarat tertentu, serta mawani’ iaitu perkara-perkara yang boleh menghalang seseorang daripada termasuk dalam kategori syahid.
Justeru, apabila seseorang mati, lalu ingin dihukum sebagai syahid atau sekurang-kurangnya didoakan dan diharapkan baginya syahid (يرجى له الشهادة), perkara tersebut mesti diteliti mengikut kaedah ilmu yang benar, dan hukum hanya boleh ditertibkan setelah dilakukan penelitian yang memadai terhadap takrif, syarat-syarat, sebab-sebab, dan penghalang- penghalangnya.
𝗦𝗢𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗧𝗔𝗠𝗔: 𝗢𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗧𝗘𝗥𝗕𝗨𝗡𝗨𝗛
Antara perkara paling asas yang mesti diteliti ialah hal al-maqtul, iaitu keadaan orang yang terbunuh itu sendiri. Adakah dia seorang Muslim? Jika dia daripada kalangan ahli bid’ah, adakah bid’ahnya sampai ke tahap mukaffirah, iaitu mengeluarkannya daripada Islam, atau sekadar bid’ah yang tidak mengeluarkan daripada Islam? Ini penting kerana Islam adalah syarat asas untuk seseorang dihukum sebagai syahid.
𝗔𝗡𝗧𝗔𝗥𝗔 𝗕𝗜𝗗’𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗨𝗙𝗨𝗥
Dalam isu mazhab Syiah misalnya, persoalan ini mesti dibahas dengan cermat. Jumhur Ahli Sunnah membezakan antara dzat (hakikat/essence) sesuatu mazhab, dan sifat ‘awarid (tambahan/contigent/accidental) yang menempel padanya.
Dari sudut dzat, hakikat atau makna asas bagi berfahaman Syiah tidak semestinya membawa kepada kufur. Ini kerana makna asas menjadi seorang syiah adalah berpegang bahawa Saidina Ali radhiallahu ‘anhu lebih utama dalam khilafah dan dalam kelebihan darjat berbanding keseluruhan sahabat termasuk Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, atau dengan mempercayai bahawa al-Imamah ditentukan dengan nas, atau menolak ijma’ kerana wujudnya Imamah. Fahaman tersebut adalah bid’ah, ia adalah penyelewengan dalam agama, namun seseorang tidak menjadi kafir hanya dengannya, kerana ia tidak melibatkan pengingkaran terhadap perkara yang diketahui benar secara daruri dalam agama.
Namun seseorang Syiah boleh jatuh kufur jika pada dirinya wujud unsur-unsur mukaffirah (seperti mengingkari perkara yang maklum benar dalam agama secara dharuri), seperti mempercayai bahawa al-Quran telah diseleweng, atau meyakini kenabian atau ketuhanan Saidina Ali. Perkara-perkara seperti ini bukanlah dzat Syiah, tetapi termasuk dalam ‘awarid yang boleh terdapat pada sebahagian kelompok atau individu. Oleh sebab itu, para ulama tidak mengkafirkan Syiah secara mutlak, tetapi melakukan penentuan secara khusus terhadap kelompok atau individu tertentu, seperti Rafidah Batiniyyah dan yang seumpamanya. Namun hendaklah diketahui walaupun ia bukanlah hakikat makna Syiah, namun awarid ini sebenarnya tersebar dengan agak ketara di kalangan kelompok tersebut. Oleh kerana banyaknya fahaman- fahaman yang boleh membawa kepada kekufuran ini tersebar dalam kelompok mereka, mereka dianggap kelompok bid’ah yang paling jauh daripada Ahli Sunnah.
𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐍𝐀𝐓 𝐒𝐀𝐇𝐀𝐁𝐀𝐓
Demikian juga isu melaknat sahabat. Para ulama berbeza pandangan: adakah ia sekadar bid’ah besar, atau sampai ke tahap kufur? Dalam mazhab Syafi‘i, seperti yang disebut oleh Imam Taqiyuddin al-Subki, adalah mengkafirkan mereka yang mencela atau melaknat sahabat. Manakala dalam mazhab Malik dan Ahmad, mereka dihukum kafir jika sampai mengkafirkan para sahabat, sedangkan jika sekadar mencela tanpa takfir, maka ia termasuk dalam zindiq dan kesesatan yang nyata. Namun terdapat riwayat imam Malik dalam fatwanya ketika ditanya oleh Harun ar-Rasyid tentang Harta Fai’ bagi mereka yang mencela para sahabat, beliau menjawab bahawa mereka tidak ada bahagian dalam fai’, berliau beristidalal dengan firman Allah taala: لِيَغيظَ بِهِمْ الكُفَّار”‘…agar Dia menimbulkan kemarahan orang-orang kafir dengan sebab mereka (sahabat).” Lalu imam Malik berkata: Maka sesiapa yang mencela mereka (para sahabat), dia kafir; dan orang kafir tiada hak dalam Fai’.” (Dalam riwayat lain: sesiapa yang mendapati dalam dirinya rasa marah terhadap mereka, maka dia kafir dengan nas ayat tersebut.)”
Semua ini menunjukkan bahawa keadaan orang yang terbunuh itu sendiri mesti dikenali kerana persoalan asas bagi hukum syahid adalah jelasnya keislaman.
Jika seseorang itu sekadar berada dalam bid’ah Syiah tanpa unsur mukaffirah, maka bid’ah tersebut tidak semestinya menghalang dirinya daripada mendapat syahid. Tetapi jika dalam pegangannya ada unsur yang mengeluarkannya daripada Islam, maka ia menjadi penghalang daripada dihukum sebagai syahid.
𝗦𝗢𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗗𝗨𝗔: 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗣𝗔 𝗗𝗜𝗔 𝗧𝗘𝗥𝗕𝗨𝗡𝗨𝗛?
Kemudian, perlu pula dilihat Sabab Qatl, iaitu sebab kematiannya. Adakah dia terbunuh dalam Jihad fi sabilillah? Adakah dia mati dalam keadaan dizalimi? Ini mesti diketahui secara tahqiq, ini kerana sebab yang boleh membawa kepada hukum syahid itu telah ditentukan secara khusus, dan yang utama adalah Jihad fi Sabilillah. Termasuk juga antara sebab yang boleh membawa kepada hukum syahid apabila dibunuh secara zalim. Jadi diteliti adakah wujudnya sebab yang sah, atau adakah dia mati atas sebab-sebab lain yang tidak termasuk dalam bab tersebut? Bagaimana pula jika darahnya pada asalnya mubah (halal ditumpahkan) kerana kesalahan yang membolehkan qisas atau hudud? Ini tidak dianggap syahid. Bagaimana jika kematiannya berlaku dalam konteks persaingan kuasa, konflik politik, atau perebutan pengaruh, bukannya fisabilillah?
Di sinilah perlunya penelitian terhadap hakikat sebab yang membawa kematian seseorang yang dihukum itu. Adakah benar dia berjuang fi sabilillah, atau sebenarnya terlibat dalam pertarungan kuasa yang bersifat politik peribadi atau kelompok? Apakah makna fi sabilillah itu sendiri? Ia bukan semata-mata bermaksud melawan musuh tertentu. Fi sabilillah membawa makna perjuangan untuk menjaga agama dan hauzah Islam, mempertahankan umat dengan neraca syarak. Maka dalam menilai mana-mana tokoh atau gerakan, perlu dilihat keseluruhan orientasinya: adakah benar sepanjang hidupnya dia membina agenda mempertahankan umat dan agama, atau sebenarnya membina empayar politik kelompok? Dalam konteks Iran, bagaiman mahu ditafsirkan agenda bersenjata mereka di Iraq, Yaman dan Syria? Bagaimana pula kerjasama mereka dengan US di Iraq dan Afghanistan? Adakah agenda ketenteraan mereka boleh ditafsirkan fisabilillah, atau pertarungan kelompok? Atau dipisahkan hukum dan tabiat konflik mereka dengan sunni, dan konflik mereka dengan US?
𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗦𝗘𝗠𝗨𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜𝗕𝗨𝗡𝗨𝗛 𝗠𝗨𝗦𝗨𝗛 𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠 𝗔𝗧𝗔𝗨 𝗞𝗔𝗙𝗜𝗥 𝗛𝗔𝗥𝗕𝗜 𝗜𝗧𝗨 𝗦𝗬𝗔𝗛𝗜𝗗
Atas dasar itu, sekadar menjadi musuh politik kepada Amerika atau Israel, lalu terbunuh di tangan mereka, tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu syahid. Neraca syahid bukan semata-mata “dibunuh oleh siapa”. Jika itu dijadikan ukuran, maka timbul pertanyaan: adakah Saddam Hussein dan Muammar Gaddafi juga dihukum syahid hanya kerana mereka berperang dengan Amerika dan akhirnya terbunuh? Adakah mereka benar-benar berada di atas jalan fi sabilillah, sedangkan diketahui secara jelas mereka berjuang untuk mempertahankan kepentingan politik masing-masing sahaja? Apabila diketahui bahawa “sebab syahid” ini sudah tertolak, kemudian diteliti pula sebab yang lain, adakah mereka mati sebagai orang yang dizalimi semata-mata, sedangkan mereka sendiri menzalimi secara jelas, lalu mereka memang berhak untuk dihukum? Jika kematian Saddam Hussein dan Gaddafi tidak dianggap sebagai syahid, apakah yang membezakan peristiwa di Iran kali ini dengan peristiwa di Iraq dan Libya satu ketika dahulu, kerana bukankah regim Iran terlibat dengan banyak kezaliman dan pergelutan politik kelompok juga?
𝗠𝗔𝗪𝗔𝗡𝗜’ (𝗣𝗘𝗡𝗚𝗛𝗔𝗟𝗔𝗡𝗚 𝗛𝗨𝗞𝗨𝗠) 𝗠𝗔𝗧𝗜 𝗦𝗬𝗔𝗛𝗜𝗗
Selain syarat dan sebab, syariat juga mengambil kira mawani’, iaitu penghalang-penghalang kepada hukum syahid. Ada mawani’ yang menghalang syahid dunia dan akhirat sekali gus, dan ada yang hanya menghalang syahid akhirat.
Sebagai contoh, ghulul, iaitu khianat dengan memakan harta ghanimah perang. Imam Nawawi mengatakan barangsiapa melakukan ghulul tidak dipanggil sebagai syahid, manakala Imam al- Subki menyebut dengan jelas bahawa sesiapa yang diketahui melakukan ghulul tidak dihukum sebagai syahid di dunia mahupun akhirat, lalu dimandikan seperti orang biasa walaupun mati di medan perang. Maka persoalannya, adakah mereka bebas daripada ghulul, sedangkan bentuk-bentuk khianat, dan harta orang Islam sunni sendiri dijadikan rampasan perang?
Begitu juga para ulama membahaskan beberapa perkara yang boleh menjadi penghalang kepada syahid akhirat, seperti tanggungan zimmah (hutang). Walaupun dalam isu hutang terdapat khilaf dan pendapat yang rajih tidak menghalangnya secara mutlak, namun dilihat adalah: sedangkan hutang itu didapatkan dengan jalan yang sah iaitu pinjaman, lalu bagaimana pula jika seseorang menanggung zimmah secara tidak sah seperti harta yang dirampas, tanah yang diceroboh, atau darah yang ditumpahkan secara zalim? Adakah jika jelas ada zimmah tertanggung bahkan dengan cara tidak sah, dengan mudah kita boleh hukumnya sebagai syahid?
Demikian juga perbincangan mawani’ syahid akhirat dalam keadaan di mana kematian berlaku akibat maksiat sendiri. Dalam hadis berkenaan Perang Tabuk, Rasulullah ﷺ bersabda:
لا يخرج معنا إلا مقو
“Jangan keluar bersama kami melainkan orang yang mempunyai tunggangan yang kuat.”
فخرج رجل على بَكرٍ له صَعب، فوقصَ به فمات، فقال الناس: الشهيدُ الشهيدُ، فأمر رسولُ الله ﷺ بلالا ينادي: «ألا لا تدخل الجنة إلا نفسٌ مؤمنة، ولا يدخلها عاصٍ
“Lalu keluarlah seorang lelaki dengan tunggangan yang lemah dan sukar dikawal. Dia terjatuh daripadanya lalu mati. Orang ramai pun berkata: “Syahid, syahid.” Maka Rasulullah ﷺ memerintahkan Bilal agar menyeru: “Ketahuilah, tidak masuk syurga melainkan jiwa yang beriman, dan tidak memasukinya orang yang derhaka.”
Kesemua ini menunjukkan bahawa hukum syahid tidak boleh diberi secara longgar. Hanya mereka yang benar –secara tahqiq- menepati ciri-ciri dan syarat-syarat syahid, serta bebas daripada mawani’, barulah boleh dihukum dan dikendalikan sebagai syahid.
Adapun orang yang dilingkungi terlalu banyak kesamaran, maka kita tidak boleh terlalu laju menghukum mereka sebagai syahid. Ini kerana syahid ialah hukum agama, dan hukum agama mestilah berasaskan dalil yang jelas dan ghalib.
Begitulah dapat difahami firman Allah Ta‘ala yang dinaqalkan istidlalnya oleh Ibnu Hajar al- Asqalani dalam hal ini:
أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِ’ئَاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَا اء مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
Maksudnya: “Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sama sahaja kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka putuskan itu.”
𝗗𝗜 𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗨𝗡𝗖𝗔 𝗞𝗘𝗦𝗜𝗟𝗔𝗣𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗘𝗗𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗙𝗜𝗞𝗜𝗥?
Kesilapan dalam menilai isu seperti ini lazimnya berpunca daripada tiga perkara utama.
Pertama, kelemahan memahami struktur ilmu Islam itu sendiri. Ini berlaku kerana seseorang tidak pernah belajar dan memahami usul dan perincian hukum-hakam, lalu penilaian dibuat adalah berasaskan sentimen, dan sangkaan semata-mata. Ini boleh berlaku pada orang awam, bahkan kadang-kadang juga pada sebahagian asatizah.
Kedua, kelemahan dalam mengaplikasikan ilmu terhadap realiti, atau kelemahan mengenal dan menilai realiti itu sendiri. Seseorang mungkin telah mempelajari dan memahami teori syariah, tetapi gagal membaca hakikat semasa dengan cermat. Dia tidak teliti, tidak menguasai fakta, atau tidak cermat dalam menilai realiti yang sedang berlaku.
Ketiga, kecelaruan neraca yang digunakan. Menggunakan timbangan-timbangan lain yang sebenarnya tidak benar, kemudian dicampur aduk ke dalam timbangan agama. Inilah antara penyakit metodologi yang paling besar, iaitu dalam kes ini apabila timbangan politik dicampuradukkan ke dalam neraca agama. Penilaian agama tidak lagi dibuat dengan usul fiqh dan akidah, tetapi dengan ukuran kesehaluan politik, atau sentimen blok dan paksi.
Kesalahan jenis ini sering muncul dalam kalangan mereka yang terlalu dibentuk oleh latar gerakan dakwah-politik moden atau parti Islam, sehingga perkara furu‘ dibesarkan menjadi usul, dan siyasah dan kuasa dijadikan autoriti tertinggi dalam menilai, pendirian, manusia dan kelompok.
𝗣𝗢𝗟𝗜𝗧𝗜𝗞 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗛𝗨𝗞𝗨𝗠, 𝗛𝗨𝗞𝗨𝗠 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗧𝗜𝗞
Fenomena ini jelas dilihat apabila kepentingan politik dimasukkan dalam timbangan hukum, dan hukum-hakam pula mengikut prinsip dan timbangan politik.
Sebagai bukti contoh yang pernah berlaku, “wala’ kepada jemaah” yang merupakan furu’ bagi “wala’ kepada ummah”, atau keselarasan (alignment) politik Jemaah, dibesarkan menjadi usul dan neraca utama dalam agama. Mereka yang tidak bersama dianggap musuh, munafik, atau dipandang dengan penuh syak, walaupun masih sesama Muslim. Sebaliknya, mereka yang bersama aliran politik tertentu pula dilonggarkan penilaian agama terhadapnya, sehingga berlaku toleransi terhadap ahli bid’ah seperti syiah dan mujassimah, atau dilonggarkan prinsip al-Baraah (berlepas diri secara prinsip) daripada orang kafir.
Begitu juga berlaku kekaburan dalam beberapa prinsip akidah yang sepatutnya tegas disebabkan kepentingan politik parti.
Begitu juga ideologi dan manhaj politik yang pada asalnya bersifat ijtihadi, lalu diangkat menjadi prinsip dan neraca utama dalam berjuang dan mengingkar.
Contoh yang berkaitan dengan hal ini adalah perkara usul agama namun bersifat juz’ie, lalu dibesarkan melangkaui sempadannya sehingga berlaku pengabaian (ihmal) kepada usul lain yang lebih besar: contoh usul siyasah dibesarkan lebih dari unsur utama dalam usuluddin. Pendirian politik itu sebahagian dari usul dalam agama, seperti menegakkan Syariah, memusuhi Yahudi, namun ia hanya sebahagian dari usul dan pelengkapnya, namun dibesarkan menjadi usul agama yang utama mendahului usul akidah atau fiqh.
Dalam keadaan seperti ini, seseorang tokoh yang terpalit dengan bid’ah dan kezaliman boleh dilambung sebagai hero dan qudwah, bahkan dianggap mendapat syahid hanya kerana pendiriannya kelihatan sehaluan dalam melawan Israel, sedangkan usul agama dan hukum fiqh tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan pendirian politik.
Ini adalah contoh kesalahan di mana hukum-hakam terpaksa mengikut prinsip dan pertimbangan politik.
𝗗𝗨𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗘𝗥𝗕𝗘𝗭𝗔
Di sinilah penting untuk difahami bahawa perbincangan tentang “hukum syahid” dan perbincangan tentang “politik melawan Yahudi” berada pada dua mustawa yang berbeza. Dalam bahasa usul fiqh, ini boleh dihampirkan dengan konsep infikak al-jihah, iaitu perbezaan sudut yang membolehkan perbezaan hukum kerana tidak berdiri pada sudut yang sama.
Hal ini dapat dilihat dalam sabda junjungan Nabi ﷺ:
إنَّ اَلله ليُؤيِّدُ هذا الدِ’ينَ بالرجلِ الفاجرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menolong agama ini dengan lelaki yang fajir (jahat).”
Lelaki yang fajir itu mungkin benar dari sudut alignment politik atau kesan tindakannya terhadap kemenangan Islam, tetapi itu tidak bererti dirinya sendiri benar dari sudut keagamaan, bahkan dijelaskan boleh wujudnya ketempangan beragamanya. Di akhirat lelaki fajir itu diazab walaupun agama islam telah ditegakkan dengan usahanya. Ini menunjukkan bahawa haluan politik yang betul tidak menjamin kesejahteraan agama seseorang. Di sini menunjukkan terdapat perbezaan peringkat dan sudut bagi setiap isu.
Syahid ialah satu maqam dalam agama. Para ulama mengaitkan maknanya dengan pengertian bahasa syahid itu sendiri, iaitu hadir dan menjadi saksi pada satu mauqif antara hak dan batil. Ia membawa makna bahawa hujah Allah telah ditegakkan terhadap musuh-Nya, begitu juga bahawa Rasulullah ﷺ menjadi saksi atas bahawa dia mengikut jalan Baginda dengan benar, dan bahawa Allah serta para malaikat menjadi saksi atas kemuliaan kedudukannya dan syurga baginya. Maka maqam setinggi ini tidak boleh dinilai semata-mata dengan ukuran kesehaluan politik.
Lebih-lebih lagi jika hakikat kesehaluan itu sendiri masih boleh dipersoalkan. Jika sesuatu agenda yang didakwa anti-Israel itu dalam masa yang sama mempunyai sejarah membantu kuasa besar lain dalam menghancurkan umat Islam di tempat-tempat lain seperti Syria, Iraq, Afghanistan, Yaman, maka realiti tersebut sendiri menuntut penelitian yang mendalam, bukan penghukuman yang tergesa-gesa.
Justeru, kesilapan berfikir seperti ini perlu dirawat. Apa yang sedang berlaku boleh disebut sebagai percampuran antara politik dalam hukum, dan hukum dalam politik. Prinsip-prinsip akidah dan hukum agama yang sepatutnya tegas, jelas, dan berkaedah, diperlakukan secara longgar, berasaskan sentimen dan taktikal. Dalam masa yang sama, perkara politik yang sepatutnya dibincang dalam ruang ijtihad, maslahah dan taktik, pula seringkali dihukum dengan neraca iman dan nifaq.
𝗞𝗘𝗠𝗕𝗔𝗟𝗜 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗔𝗦𝗔𝗦 𝗙𝗜𝗞𝗜𝗥 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗘𝗧𝗨𝗟
Ketiga kesalahan ini—iaitu tidak memahami fiqh dengan benar, gagal membaca realiti dengan tepat, dan menjadikan politik sebagai pusat autoriti menggantikan neraca ilmu—akan melahirkan kecacatan dalam cara berfikir dan menilai. Agama menjadi rapuh, caca merba, atau hanya tinggal slogan dan simbol yang digunakan untuk legitimasi politik dan identiti, bukan lagi sebagai neraca ilmu dan panduan hukum.
Justeru, yang dituntut dalam setiap penilaian dan kegiatan berfikir ialah dikembalikan akal kepada asas-asas yang sahih:
Pertama, mengembalikan rujukan dan penilaian kepada disiplin ilmu yang sahih: fiqh mazhab, usul akidah, dan siyasah syar‘iyyah, agar setiap pendirian dinilai dengan tertib, mengikut neraca yang betul.
Kedua, menanggapi realiti dengan cermat, teliti, dan jujur, kemudian menguruskannya mengikut disiplin ilmu, bukan mengikut sentimen, tekanan dan persepsi sosial mahupun politik.
Ketiga, meletakkan Markaziyah al-Ummah, iaitu menjadikan maslahat ummah secara menyeluruh sebagai pusat pertimbangan, bukan sekadar kepentingan kelompok, paksi, atau keselarasan agenda politik tertentu yang sempit dan bersifat sementara.
Wallahu a‘lam.
وصلى الله على سيدنا محمد الفاتح لما أغلق والخاتم لما سبق ناصر الحق بالحق والهادي إلى صراطك المستقيم، وعلى آله حق قدره ومقداره العظيم، سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
Ustaz Zaid Bin Zainurrashid
Penyelidik MUIS
