
Dunia sedang menyaksikan satu peralihan transisi zaman yang menggetirkan jiwa. Di satu sisi, bumi Gaza terus dibasahi darah dan air mata; di sisi yang lain, umat Islam di pelbagai penjuru termasuk di Malaysia yang bergulat dengan krisis kesatuan, arah dan kejelasan prinsip. Dalam pusaran inilah, berita kesyahidan tokoh-tokoh muqawamah bukan sekadar menjadi khabar duka, tetapi juga ujian makna: apakah kita melihatnya sebagai kekalahan, atau sebagai cerminan kebenaran yang hidup?
Allah SWT telah menetapkan neraca pandang yang jelas:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah itu: mereka mati. Bahkan mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.” (Surah al-Baqarah: 154)
1. Falsafah Kesyahidan: Kematian yang Menghidupkan Naratif
Di saat Israel mendabik dada dengan teknologi pembunuhan mereka, muncul khabar kesyahidan Hudzaifah Samir Abdullah Mahmoud al-Kahlout, susuk di sebalik gelaran ikonik Abu Ubaidah. Beliau gugur bersama isteri dan anak-anaknya dalam satu serangan terancang yang keji. Kenyataan rasmi keluarga Allahyarham Hudzaifah Samir Abdullah Mahmoud Yasin al-Kahlout yang dikenali dunia sebagai Abu Ubaidah bukanlah teks politik biasa. Ia adalah naratif iman tentang seorang manusia yang hidup dengan prinsip, dan pergi dengan harga yang paling mahal: nyawa, keluarga dan seluruh kepentingan peribadi.
Keluarganya tidak menjerit dendam, tidak menuntut simpati dunia. Mereka menyatakan reda, menyerahkan segalanya kepada takdir Ilahi, dan menegaskan bahawa inilah “pengakhiran para pahlawan” satu ungkapan yang lahir bukan daripada romantisme perang, tetapi daripada kefahaman akidah tentang pengorbanan. Kematian beliau bukan sekadar hilangnya jurucakap, tetapi ia adalah cermin besar yang mendedahkan perbezaan antara keutuhan jiwa sebuah bangsa yang dizalimi dengan kerapuhan politik sebuah bangsa yang sedang leka seperti di Malaysia.
Dalam tradisi politik Islam, kesyahidan bukan simbol kejatuhan institusi, tetapi bukti bahawa perjuangan itu tidak bertunjangkan individu. Ia adalah antitesis kepada politik personaliti. Figur boleh gugur, tetapi idea dan prinsip tidak mati bersama jasad. Walaupun wajahnya tersembunyi, kata-katanya menghidupkan nurani jutaan manusia. Beliau adalah simbol “Politik Syumul”, bekerja bukan untuk populariti, tetapi untuk suatu prinsip yang unggul.
Sejarah Islam sarat dengan contoh ini. Kebenaran tidak bergantung kepada wajah, populariti atau sorakan massa. Ia bergantung kepada keikhlasan dan istiqamah. Justeru, kenyataan keluarga ini mengingatkan dunia bahawa nilai sebenar seorang tokoh bukan pada sejauh mana dia dikenali, tetapi pada sejauh mana dia tidak mengejar untuk dikenali. Hudzaifah adalah seorang hafiz al-Quran, pemegang sarjana, dan calon doktor falsafah (PhD). Beliau memilih untuk tidak dikenali, menjauhi pujian, dan selalu berpesan:
“Mintalah pertolongan Allah, kemudian orang-orang yang ikhlas… kerana Allah menurunkan kemenangan melalui keikhlasan mereka.”
Berbeza dengan landskap politik kita di Malaysia, di mana kepimpinan sering kali bersifat personality-driven dan mengejar glamor. Apabila pemimpin itu jatuh, maka rebahlah seluruh gerakan. Hudzaifah mengajar kita bahawa pemimpin sejati adalah mereka yang “hilang” di sebalik prinsip, agar perjuangan tetap “hidup” walaupun jasad tiada.
2. Hamas vs Politik Melayu: Antara Institusi dan Nafsu Perpecahan
Satu pengajaran paling tajam ialah keutuhan institusi Hamas (muqawamah). Di bawah tekanan kelaparan dan pengusiran, mereka tetap satu saf. Tiada pengkhianatan dalaman demi kepentingan peribadi. Inilah sifat Itqan (ketekunan) dan Wihdah (kesatuan).
Sebaliknya, politik Melayu-Muslim di Malaysia sedang mengalami krisis Firqah (perpecahan) yang kronik. Di saat saudara kita di Gaza bersatu di bawah runtuhan, kita di sini berpecah di bawah bumbung istana dan parlimen. Budaya “cah keting” dan politik dendam menyebabkan kita melanggar amaran Allah:
“…dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu.” (Surah al-Anfal: 46)
Jika para pemimpin Taufan Al-Aqsa tidak pernah terpisah daripada penderitaan rakyat mereka, sesetengah pemimpin politik kita pula semakin menjauh daripada nadi rakyat demi mempertahankan kerusi kuasa. Di sinilah perbezaan besar antara gerakan berteras prinsip dan politik berteras individu. Dalam konteks muqawamah, apa yang menonjol ialah pembinaan institusi: rantaian tarbiyah, disiplin organisasi, dan kesatuan matlamat. Pemimpin tidak hidup di menara gading; mereka berkongsi penderitaan rakyat, malah keluarga mereka sendiri tidak terpisah daripada risiko.
Bandingkan dengan realiti politik Melayu-Islam di Malaysia. Kita sering terperangkap dalam kitaran perpecahan yang berpunca daripada perebutan kedudukan, persaingan personaliti dan kegagalan membezakan antara prinsip dan kepentingan. Apabila seorang tokoh jatuh, seluruh gerakan turut rebah kerana perjuangan itu tidak dibina atas institusi dan nilai, tetapi atas figura.
Allah SWT telah memberi peringatan yang tegas:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu…” (Surah al-Anfal: 46)
3. Gaza dan Muhasabah Dalam Meneladani Generasi Al-Quran Dalam Politik Melayu-Islam
Kenyataan keluarga Abu Ubaidah menegaskan bahawa keagungan seseorang diukur sebesar kebenaran yang dipikulnya, dan kejujuran cinta diukur sejauh mana prinsip itu diteruskan selepas pemergiannya. Ini adalah mesej yang sangat relevan untuk umat Islam di Malaysia.
Keluarga Abu Ubaidah menggambarkan beliau sebagai anak yang berbakti, cerdas, dan peka jiwanya sejak kecil. Beliau dibesarkan di atas “meja al-Quran”. Inilah rahsia kekuatan pemuda Gaza yang mempunyai amalan rahsia antara dirinya dengan Allah.
Kita hidup dalam landskap politik yang tidak stabil, penuh polemik dan sering terjerumus ke dalam politik dendam dan saling tikam menikam (character assassination). Isu agama dan bangsa dijadikan slogan, tetapi gagal diterjemahkan menjadi dasar yang menyatukan. Kita lantang berbicara tentang solidariti Palestin, tetapi pada masa yang sama gagal membina kesatuan di halaman sendiri.
Abu Ubaidah, dalam hidup dan kematiannya mengajarkan satu perkara yang sering kita abaikan: perjuangan bukan tentang siapa yang berada di hadapan kamera, tetapi siapa yang sanggup memikul amanah tanpa sanjungan. Politik yang terlalu berpaksi kepada individu akhirnya rapuh, kerana ia tidak tahan diuji oleh masa, fitnah dan perubahan kuasa.
Hadis Nabi SAW memberikan kerangka yang jelas:
“Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
4. Cerminan Kehancuran: Israel yang Rapuh vs Pemuda Islam yang Teguh
Israel mungkin memiliki senjata, tetapi mereka sedang runtuh dari dalam kerana krisis moral dan legitimasi. Sebaliknya, kesyahidan Abu Ubaidah dan keluarganya menyatukan roh umat.
Di Malaysia, kita memiliki kekuatan majoriti dan keamanan, namun kekuatan itu semakin cair akibat perpecahan. Kita (terutamanya pemuda) harus bermuhasabah: adakah kita ingin menjadi bangsa yang kukuh seperti “bangunan” (Hamas), atau bangsa yang hanya megah dengan angka tetapi kosong pada jiwa?
Allah SWT mengingatkan: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra‘d: 11)
Menjadi tanggungjawab kita semua di Malaysia untuk perlu mengambil inspirasi ini mengubah naratif politik negara. Antaranya dengan:
a) Berazam untuk Jihad dengan integriti: Gunakan kepakaran, kelebihan, serta kekuatan kita untuk menyebarkan kebenaran, bukan menjadi insan yang merosakkan diri sendiri atau saudara seugama hanya kerana perbezaan parti.
b) Bawalah Politik Menilai, Bukan Politik Menggadai: Jadilah insan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Insan yang menilai sebelum dinilai. Insan yang bermaruah, bukan tergadai. Tolak politik “wasta” dan taksub buta.
c) Sentiasa Beridelogikan Penyatuan Strategik: Kita harus menjadi ejen perdamaian (bridge-builders) yang merentasi fahaman politik, ejen penyatuan demi kedaulatan Islam dan tanah air merentas parti, NGO, atau mana-mana gerakan harakah dalam Jemaah.
Kesimpulan: Menelusuri Jejak Pahlawan Bertopeng, Antara Air Mata dan Tanggungjawab
Kenyataan keluarga Abu Ubaidah bukan sekadar elegi kehilangan, tetapi amanah kepada umat. Ia menuntut kita berfikir lebih jauh daripada emosi sesaat. Kesyahidan, dalam erti sebenar, meletakkan tanggungjawab di bahu yang hidup, untuk meneruskan prinsip, bukan memuja simbol.
Gaza hari ini adalah cermin yang jujur. Ia memperlihatkan bagaimana sebuah masyarakat yang terhimpit masih mampu mengekalkan kesatuan prinsip, manakala umat Islam di tempat lain yang hidup dalam aman masih bergelut dengan perpecahan yang dicipta sendiri.
Persoalannya kini bukan lagi tentang siapa yang gugur syahid, tetapi siapa yang sanggup hidup dengan amanah kebenaran. “Dan Allah Maha Berkuasa atas urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf: 21)
Abu Ubaidah dan rakan seperjuangan yang lain telah pergi bertemu Tuhannya sebagai syahid. Beliau meninggalkan warisan bukan dalam bentuk harta, tetapi dalam bentuk prinsip dan air mata keikhlasan. Sudah tiba masanya politik Malaysia beralih daripada “politik perut” dan “politik dendam” kepada politik penyatuan ummah yang berteraskan wahyu. Jangan biarkan darah para syuhada’ di Gaza menjadi sia-sia tanpa memberi sebarang kesan kepada penyatuan kita di sini.
Selamat jalan wahai Abu Ubaidah. Engkau telah menunaikan hujah di hadapan Allah. Kini, giliran kami di Malaysia untuk membuktikan adakah kami mampu bersatu demi agama, atau terus layu dalam perpecahan yang memalukan.
Ustaz Meo Azim
Penyelidik MUIS
