Kentut yang berbau dan bunyi sahaja membatalkan wudhuk?

Kentut termasuk sebagai salah satu sebab terbatalnya wudhu’. Saya pernah terdengar, terbatalnya wudhu itu apabila angin yang dilepaskan samada mengeluarkan bunyi, atau bau, baru dikira batal wudhu’. Sejauh mana kesahihan perkara ini? Adakah ini bermaksud angin yg keluar tanpa bunyi dan bau tidak membatalkan wudhu?’. Mohon pencerahan

Jumhur ulama’ bersepakat bahawa salah satu penyebab terbatalnya  wudhu’ adalah apabila keluar apa sahaja daripada qubul atau dubur, daripada najis, air mani mahupun, angin (kentut).

Oleh itu, seseorang yang yakin bahawa dia telah kentut maka wudhu’nya akan terbatal serta merta sama ada angin tersebut mengeluarkan  bunyi atau tidak, berbau ataupun tidak (Az-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh).

Namun, sekiranya seseorang ragu-ragu sama ada dia telah kentut ataupun tidak, pada ketika inilah sifat-sifat yang zahir daripada kentut itu perlu diambil kira bagi memastikan kedudukan wudhu’nya. Sifat-sifat zahir inilah yang mensyaratkan sama ada angin itu mengeluarkan bunyi ataupun bau bagi menghilangkan keraguan batalnya wudhu’ sepertimana yang disebutkan dalam hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid :

شكي إلى النبي صلى الرجل يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة؟ فقال: لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا

Maksudnya: Seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi S.A.W bahawa dia seolah-olah mendapati sesuatu di dalam solatnya (ragu-ragu wudhu’nya terbatal sewaktu sedang solat). Maka (baginda) bersabda:  Janganlah dia berhenti (solat)sehingga mendengar bunyi atau mendapati (mencium) bau. [Muttafaq ‘Alaih, alBukhari (134), Muslim (361), dan disyarah dalam al-Fath (`12/329)]

Hadith di atas juga merupakan salah satu dalil yang menyokong kaedah fiqh اليقين لا يزول بالشك  yang bermaksud “ Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”. Aplikasi kaedah ini menetapkan sekiranya seseorang telah mencapai tahap yakin, keraguan yang timbul setelah keyakinan tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak keyakinan tadi.

Apabila seseorang telah yakin bahawa dia sudah berwudhu’ dan suci daripada hadas, keraguan yang hadir setelah keyakinan tadi tidak sepatutnya menafikan keyakinan bahawa dia dalam keadaan suci sehingga membolehkan dia memberhentikan solatnya (al-Zarqa’, Sharh al-Qawaid al-Fiqhiyyah).

Oleh itu, selagi tiada bukti zahir yang meyakinkan batalnya wudhu’ (bau dan bunyi), maka seseorang itu perlu kekal dengan keyakinannya. Sebaliknya, sekiranya seseorang itu yakin bahawa dia sudah terkentut, maka wudhu’nya batal sama ada kentutnya mengeluarkan bau ataupun tidak.

 

 ustzh kautharUstazah Kauthar Jamalludin
Sarjana Muda Syariah Islamiyah Universiti Al-Azhar
Sarjana Pengajian Islam (Syariah) Universiti Kebangsaan Malaysia
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *