Ulama tidak pernah mengongkong Umat Islam

 

buku ulama

Hidup dengan gaya hidup Islam bererti apabila kita memenuhi tujuan penciptaan kita itu sendiri iaitu menjadikan diri kita semata-mata hamba kepada Allah SWT dalam seluruh urusan kehidupan. Juga apabila kita menjadikan Al-Quran sebagai panduan serta Sunnah sebagai pedoman.

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya. Demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)“. (Surah Al An’aam : 162-163)

Hidup dengan gaya hidup Islam bukanlah bererti kita lakukan apa sahaja yang kita suka, berpandukan hawa nafsu atau hanya berpandukan akal semata-mata yang penuh dengan kelemahan untuk memandu kehidupan kita. Jika itulah tafsiran kita maka pada hakikatnya kita sedang hidup dalam kegelapan jahiliyyah serta kehambaan hawa nafsu.

Dalam proses menuju kepada cara hidup Islam yang sempurna berlandaskan petunjuk wahyu, adakalanya kefahaman kita terhadap petunjuk tersebut terbatas mungkin disebabkan penguasaan bahasa yang terhad, tidak hidup pada ketika wahyu tersebut diturunkan, penguasaan ilmu kita berkenaan wahyu tersebut tidak menyeluruh dan pelbagai punca lagi maka ianya menuntut kepada kita untuk merujuk kepada mereka yang pakar dalam hal ini. Atas dasar inilah wujud peranan seorang ulama.

Mereka (Ulama) berperanan dalam memandu kita supaya ketulenan dalam memahami wahyu tersebut terus terpelihara daripada sebarang kepesongan. Mereka berperanan dalam mendidik kita supaya pembentukan jiwa kita ini selari dengan kehendak syarak seperti mana Rasulullah SAW membentuk jiwa-jiwa sahabat ra. Sebab itulah disebut bahawa ulama pewaris nabi.

Gambaran ulama yang disebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadis hassan adalah sangat indah untuk kita hayati sebagai seorang muslim:

“Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang itu mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Di dalam Islam tidak pernah wujud kelompok rijal addin (kasta paderi) seperti yang wujud di Negara Eropah. Di dalam Islam, agama ini adalah milik semua manusia bahkan tidak ada kemulian antara ulama dan manusia lain melainkan pada takwa mereka disisi Allah SWT. Bahkan kita lihat sesuatu ibadah itu boleh sempurna tanpa perlu orang tengah (tidak seperti kefahaman kristian, ibadah tidak sempurna tanpa paderi).

Sesungguhnya bukanlah ulama itu menjadi penghubung antara Allah dan manusia. Tidak ada seorang ulama Islam mahu pun Rasulullah s.a.w. sendiri diberi hak mengampun manusia sebagaimana yang terdapat dalam kasta paderi. Ulama tidak pernah sama dengan kasta paderi.

Adapun dalam isu fiqh dan juga pensyariatan Islam sudah tentu perlu wujud manusia khusus yang pakar dalam bidang ini untuk berbicara mengenai hal ini. Namun hak ulama ini tidaklah sampai ke tahap mereka berkuasa terhadap manusia iaitu menyuruh atau menyeksa sesuka hati, tetapi yang dimaksudkan hak ulama ini adalah di dalam ruang lingkup menjaga hudud syariat Islam itu sendiri.

Kalaulah nilaian wahyu itu diturunkan sekadar untuk kita baca kemudian terserah pada kita untuk menentukan cara bagaimana yang ingin fahami maka sudah tentu tidak perlu diutuskan Baginda SAW selama tempoh 23 tahun sedangkan Al-Quran itu cukup untuk dibaca dalam tempoh 1 hari. Namun pada hakikat ianya menuntut lebih daripada itu, memahami wahyu perlu kepada panduan yang benar, mentafsir wahyu perlu kepada kefahaman yang terpandu.

Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah Al-Jumuah: 2)

Kita perlu faham, apa yang ulama-ulama dahulu gariskan daripada ilmu-ilmu yang berkaitan wahyu bukanlah bermaksud mereka ingin mengekang atau membataskan kefahaman serta cara hidup kita. Tetapi mereka menggariskan perkara ini dengan sulaman-sulaman kasih sayang dan cinta supaya umat ini terus berada di atas cahaya petunjuk ilahi.

wallahua’lam

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *