Ancaman Plurisme Agama (Siri 3)

*Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Program Penjelasan Ajaran Sesat/Meragukan Daerah Petaling 2018 anjuran Unit Penyelidikan & Pembangunan Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 31 Mac 2018, bertempat di Dewan Perpustakaan Komuniti MBPJ.

**pautan Siri 1, Siri 2

PANDANGAN ISLAM TERHADAP PLURALISME

Pluralisme agama jelas bertentangan dengan aqidah Islam yang berdiri atas dasar tauhid kepada Allah SWT. Dalam al-Quran secara terang Allah SWT berfirman bahawa hanya agama Islam yang diterima disisi-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 19:

 “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”

Allah SWT juga berfirman siapa yang mencari agama selain Islam, dia akan ditolak dan mendapat kerugian di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 85:

 “Dan barangsiapa mencari agama selain agama Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi.”

Dalam al-Quran juga terdapat satu surah khusus yang menolak cubaan mensyirikkan agama Islam ini iaitu surah Al-Kafirun:

  • “Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
  • Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
  • Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
  • Dan aku tidak akan beribadat seperti kamu beribadat.
  • Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
  • Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya:

“Surah ini adalah surah yang menyatakan pembebasan diri dari apa yang dilakukan oleh orang-orang musyrik, dan surah ini memerintahkan untuk membersihkan diri dengan sebersih-bersihnya dari segala bentuk kemusyrikan.”[1]

Seorang professor liberal dari Indonesia, Mun’im Sirry cuba menafsir semula surah ini dan memberikan kefahaman yang sesat dengan mengatakan bahawa surah ini menganjurkan toleransi antara agama dan bacaan huruf ‘La’ dalam surah ini perlu dibaca dengan pendek agar maksudnya berubah dan menepati konteks toleransi. Mun’im Sirry menulis:

“Jika alif dihilangkan dari kata “lā” (tidak), maka surat al-Kafirun dapat diterjemahkan begini:

  • Katakanlah: Hai orang-orang yang kafir
  • sebenarnya aku menyembah apa yang kamu sembah.
  • Dan kamu juga penyembah apa yang aku sembah.
  • Dan aku penyembah apa yang kamu sembah.
  • Dan kamu pun penyembah apa yang aku sembah.
  • (Kendatipun demikian) untukmu agamamu dan untukku agamaku.

Itulah toleransi yang sejati: Walaupun kita sebenarnya menyembah Tuhan yang sama, silakan Anda mengimani agama Anda, dan aku mengimani agamaku.”[2]

Pemahaman Mun’im Sirry nyata jelas terpesong serta sesat kerana mengubah teks al-Quran semata-mata untuk mentafsirkan surah ini mengikut hawa nafsunya. Jika dilihat sebab turunnya surah al-Kafirun ini kita akan dapati bahawa surah ini turun dalam keadaan Rasulullah SAW menolak tawaran pluralisme untuk mensyirikkan Allah SWT. Diriwayatkan daripada Wahb:

 قَالَتِ كُفَّارُ قُرَيْشٍ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , إِنْ سَرَّكَ أَنْ نَتَّبِعَكَ عَامًا وَنَرْجِعَ إِلَى دِينِنَا عَامًا , فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ} إِلَى آخِرِ السُّورَةِ

“Kaum kafir Quraisy berkata kepada Nabi SAW: “Sekiranya engkau tidak keberatan kami akan mengikuti agamamu selama setahun, dan kita kembali kepada agama kami selama setahun pula.” Maka Allah menurunkan surah Al-Kafirun: 1-6”[3]

Amatlah mustahil surah Al-Kafirun datang dalam bentuk toleransi sedangkan ia menolak kesyirikan kafir Quraisy. Inilah cubaan yang selalu dilakukan oleh pihak liberal untuk mengubah pemahaman tentang al-Quran dan hadis supaya umat Islam menjadi keliru. Pandangan sesat Mun’im Sirry ini turut dijawab panjang oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.[4]

FATWA MENGENAI PLURALISME

Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 17 Julai 2014 telah mengeluarkan fatwa mengenai ‘Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama’ seperti berikut:

  1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
  2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
  3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
  4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.[5]

Manakala Majlis Ulama Indonesia (MUI) pula lebih awal mengeluarkan fatwa pengharaman fahaman pluralisme iaitu pada 28 Julai 2005 dalam fatwanya seperti berikut:

  1. Pluralisme, Sekularisme dan Liberalisme agama sebagaimana dimaksud pada bagian pertama adalah paham yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
  2. Umat Islam haram mengikuti paham Pluralisme, Sekularisme dan Liberalisme Agama.
  3. Dalam masalah aqidah dan ibadah, umat Islam wajib bersikap eksklusif, dalam arti haram mencampur-adukkan aqidah dan ibadah umat Islam dengan aqidah dan ibadah pemeluk agama lain.
  4. Bagi masyarakat Muslim yang tinggal bersama pemeluk agama lain (pluralitas agama), dalam masalah sosial yang tidak berkaitan dengan aqidah dan ibadah, umat Islam bersikap inklusif, dalam arti tetap melakukan pergaulan sosial dengan pemeluk agama lain sepanjang tidak saling merugikan.[6]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 juga telah memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam, dan termasuk dalam kandungan pemikiran liberal tersebut adalah berpegang kepada konsep pluralisme.[7]

Ust Ahmad Nu’man Mazlan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

[1] Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran Al-Azim (14/486).

[2] https://geotimes.co.id/kolom/umat-kristiani-itu-kaum-beriman-bukan-kafir/

[3] HR Abdurrazzaq, Tafsir Abdurrazzaq (3/469).

[4] http://muftiwp.gov.my/ms/v4/index.php?option=com_content&view=article&id=676:bayan-linnas-111-pandangan-terhadap-kenyataan-dr-mun-im-sirry-dalam-simposium-kesederhanaan-dalam-al-qur-an-antara-dua-titik-ekstrim&catid=82&Itemid=408&lang=ms?templateStyle=16

[5] http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/362-fatwa-pemikiran-liberalisme-dan-pluralisme-agama

[6] http://www.mui.or.id/files/07-Fat%20Munas-Pluralisme.pdf

[7] http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1422 access attempts in the last 7 days.