Ancaman Plurisme Agama (Siri 2)

*Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Program Penjelasan Ajaran Sesat/Meragukan Daerah Petaling 2018 anjuran Unit Penyelidikan & Pembangunan Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 31 Mac 2018, bertempat di Dewan Perpustakaan Komuniti MBPJ.

**pautan siri 1

DOKTRIN PLURALISME BUKAN FAHAMAN BAHARU

Walaupun istilah pluralisme ini mula disebut dan disebarkan di zaman moden ini namun hakikatnya doktrin fahaman pluralisme ini telah ada sekian lama dalam sejarah manusia.

Dalam Al-Quran diceritakan kepada kita kisah Nabi Musa AS bersama kaumnya yang meminta supaya dibuat satu berhala untuk mereka sembah, walaupun ketika itu mereka beriman kepada ajaran Nabi Musa AS dan baru sahaja diselamatkan dari kekejaman Firaun. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raaf ayat 138:

“Dan Kami bawakan Bani Israel ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.”

Permintaan Bani Israel ini jelas sebagai suatu perbuatan mencampur adukkan agama mereka dengan agama kaum lain yang dilihat pada waktu itu.

Ketika zaman Rasulullah SAW juga kafir Quraisy pernah memberi suatu tawaran berbentuk ‘pluralisme’ kepada baginda. Kisah ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA:

خرج أمية بن خلف وأبو جهل بن هشام ورجال من قريش ، فأتوا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالوا : يا محمد تعالى فاستلم آلهتنا وندخل معك في دينك ، وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يشتد عليه فراق قومه ويحب إسلامهم فرق لهم ، فأنزل الله ؛ { وإن كادوا ليفتنونك عن الذي أوحينا إليك } إلى : { نصيرا }

“Umayyah bin Khalaf dan Abu Jahal bin Hisyam dan sekumpulan lelaki dari Quraisy datang kepada Nabi dan berkata: “Hai Muhammad! Marilah terima tuhan kami dan kami akan masuk agamamu.” Sesungguhnya Rasulullah bersungguh ingin memisahkan kaumnya (dari penyembahan berhala) dan baginda menyukai jika keislaman mereka yang menjadi pemisahan itu. Maka Allah menurunkan ayat ini: (Surah Al-Israa’: 73-75)”[1]

 Perbuatan kafir Quraisy meminta Rasulullah SAW menerima tuhan mereka dan kemudian mereka akan masuk mengikut ajaran Rasulullah SAW sangat menyerupai doktrin pluralisme yang disebarkan kini, dan suatu hakikat jelas kita boleh faham dari sirah Nabi SAW ini adalah tawaran pluralisme yang diberikan Quraisy bukanlah untuk toleransi mahupun meraikan kepelbagaian tetapi memang berniat jahat untuk menyesatkan Rasulullah SAW dan merosakkan agama Islam.

Dalam sejarah juga pernah menyaksikan suatu agama pluralisme secara hakiki dicipta iaitu agama Din-i-Ilahi, yang dibuat oleh Maharaja Mughal, Jalaluddin Muhammad Akbar bertujuan menggabung unsur terbaik pelbagai ugama dalam empayarnya (terutamanya Hindu dan Islam; unsur yang turut diserap dari Kristian, Jainism dan Zoroastrianism) dan menyatukan perbezaan kelompok yang membahagikan rakyatnya. Peristiwa ini membuktikan bahayanya jika fahaman pluralisme ini meresap kepada pimpinan negara kerana ia bukan sahaja merosakkan agama tetapi merubah sosio-politik negara.

Kemunculan fahaman pluralisme di zaman moden ini seiring dengan bangkitnya idea-idea liberalisme pada abad 18 dan 19. Perkembangan idea pluralisme agama ini semakin rancak dan tersebar luas apabila diadakan Parliament of the World’s Religions pada tahun 1893 di Chicago, Amerika Syarikat yang membincangkan secara besar-besaran idea pluralisme agama melibatkan wakil-wakil setiap agama utama dunia termasuk Islam.

‘Parlimen Agama’ ini tidak terhenti pada tahun 1893 sahaja, sehingga tahun 2015 sebanyak enam kali persidangan telah dianjurkan, dan pada tahun ini persidangan ketujuh akan dilakukan di Toronto, Kanada pada 1 hingga 7 November 2018. Hakikatnya penyebaran idea pluralisme agama di peringkat antarabangsa terus giat berlaku secara sistematik.

Ust Ahmad Nu’man Mazlan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

[1] HR Al-Suyuti, Al-Dur Al-Mansur (9/406). Imam Suyuti menganggap bahawa hadis ini adalah hadis yang paling sahih berhubung dengan sebab penurunan ayat ini dan sanadnya adalah kuat serta mempunyai syahid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1677 access attempts in the last 7 days.