Ancaman Plurisme Agama (Siri 1)

*Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Program Penjelasan Ajaran Sesat/Meragukan Daerah Petaling 2018 anjuran Unit Penyelidikan & Pembangunan Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 31 Mac 2018, bertempat di Dewan Perpustakaan Komuniti MBPJ.

PENDAHULUAN

Pluralisme agama merupakan salah satu cabang dari fahaman liberalisme yang semakin agresif penyebarannya di peringkat antarabangsa. Dalam cabaran arus demokrasi global yang ingin bebas dalam segala perkara, tidak terkecuali dari perkara tersebut adalah seruan untuk membebaskan diri dari kehidupan beragama, dan juga seruan untuk mendemokrasikan agama, yang mana sasaran utamanya adalah Islam.

MEMAHAMI HAKIKAT PLURALISME AGAMA

Dalam merumuskan makna ‘Pluralisme agama’, Prof. Dr. Anis Malik Thoha, seorang ulama Indonesia dan pakar dalam isu ancaman pluralisme agama[1] mengatakan doktrin pluralisme ingin mengajarkan bahawa agama-agama besar dunia adalah penampilan-penampilan atau penampakan yang berbagai dan beragam dari satu Hakikat Ultima yang Tunggal”[2]

Perkara ini boleh difahami dari penulisan-penulisan pemikir dan pendokong utama ajaran pluralisme ini seperti René Guénon (1886-1951), Frithjof Schuon (1907-1998), John Hick (1922-2012) dan lain-lain. John Hick, ahli falsafah yang dianggap sebagai rujukan utama oleh golongan pluralisme menyebut dalam bukunya Problems of Religious Pluralism:

“Pluralism is the view that the great world faiths embody different perceptions and conceptions of, and correspondingly different responses to, the Real or the Ultimate from within the major variant cultural ways of being human” [3]

John Hick mengatakan semua agama adalah jalan yang pelbagai menuju kepada suatu ‘Hakikat Muktamad’, yang berbeza mengikut budaya manusia. Perkara ini adalah serupa dengan konsep ‘The Transcendent Unity of Religions’ yang dibawa oleh Frithjof Schuon.

Huston Smith, antara pendokong utama pluralisme dan juga penulis kata pengantar buku The Transcendent Unity of Religions oleh Schuon merumuskan dan menggambarkan fahaman ini adalah Tuhan berada di titik puncak, sementara semua agama mengalir ke bawah dari titik puncak tersebut. Demikian juga dalam waktu yang sama, semua agama naik dari bawah ke atas, yang akhirnya akan bertemu di titik puncak tersebut.[4]

Gambaran The Transcendent Unity of Religions oleh Huston Smith

Fahaman ini juga mempunyai dua unsur iaitu Exoteric dan Esoteric. Exoteric bermaksud manusia secara umum melihat semua agama adalah berbeza-beza manakala Esoteric adalah hakikat sebenar agama-agama ini hanya diketahui oleh segelintir manusia yang terpilih, iaitu semua agama akan bertemu pada suatu titik puncak yang sama.

Jelas bahawa fahaman pluralisme ingin membawa kepada kebenaran setiap agama adalah relatif, yang mana akhirnya tiada agama yang paling tepat dan benar kerana semuanya menuju ‘Tuhan’ yang sama. Ia akan mencairkan pegangan dari prinsip semua agama termasuklah Islam.

Ulil Abshar Abdalla, penggerak utama Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia juga menyebut perkara sama dalam artikelnya:

“Dengan tanpa segan silu, saya mengatakan bahawa semua agama adalah tepat pada jalan panjang menuju Yang Maha Benar. Semua agama berada dalam keluarga besar yang sama iaitu: keluarga pencinta jalan kebenaran yang tiada hujungnya. Semua agama sama.”[5]

Para pendokong fahaman pluralisme biasa akan berkata bahawa pluralisme hanya satu bentuk toleransi dan meraikan kepelbagaian (diversity) agama, namun perkara sebaliknya dikatakan oleh Diana L. Eck, pengasas dan Pengarah The Pluralism Project, sebuah pusat kajian pluralisme di Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Diana menyebut:

“Pluralism is not diversity alone, but the energetic engagement with diversity.”

“Pluralism is not just tolerance, but the active seeking of understanding across lines of difference.”[6]

Diana sendiri menyebut pluralisme bukanlah sekadar toleransi dan diversiti, hakikatnya apa yang mereka kehendaki dari pluralisme agama bukanlah sekadar itu tetapi suatu interaksi yang akan meleburkan perbezaan antara agama sehingga akan hilang nilai dan prinsip asal sesuatu agama itu sendiri.

Amerika Syarikat juga dalam mohor besarnya (Great Seal of the United States) mempunyai motto berunsur pluralisme iaitu ‘E Pluribus Unum’ yang bermaksud ‘Out of many, one’.

Berdasarkan dapatan-dapatan mengenai ideologi pluralisme agama, intipati utama fahaman ini disimpulkan oleh Prof. Dr. Anis Malik Thoha dalam lima perkara:

  1. Kesetaraan atau persamaan (equality). Ajaran pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tak ada yang paling baik dan tak ada yang paling buruk.
  2. Liberalisme atau kebebasan. Ajaran pluralisme agama mengajarkan hak kebebasan beragama, dalam arti keluar-masuk agama. Hari ini seseorang boleh menjadi Muslim, esok menjadi Kristen, esok lusa menjadi Hindu, dan seterusnya.
  3. Sebetulnya ini adalah implikasi dari kedua watak yang sebelumnya. Ajaran pluralisme agama mengajarkan kebenaran agama relative.
  4. Untuk sampai kepada kesetaraan atau persamaan, ajaran pluralisme agama telah meredusir jati-diri atau identiti agama-agama menjadi entiti yang lebih sempit dan kecil, yakni sebagi urusan peribadi (private affairs). Dengan kata lain pluralism agama itu berwatak sekular.
  5. Ramai orang yang gagal mengidentifikasi dan memahami watak atau ciri yang satu ini. Hal ini disebabkan selama ini ajaran pluralisme agama ini diwar-warkan sebagai anti-eksklusivisme. Ia sering menyuguhkan dirinya sebagai ajaran yang “tampak” ramah dan sangat menghormati ke-berbedaan (the otherness) dan menjunjung tinggi kebebasan. Tapi pada hakekatnya, dia sebetulnya telah merampas kebebasan pihak lain dan menginjak-injak serta memberangus ke-berbedaan, apabila dia mendeklarasikan-diri dan mengkleim sebagai pemberi tafsir/teori/ajaran tentang kemajmukan/keberagaman/keberbagaian agama-agama yang absolute benar, i.e., “bahawa semua agama sama.” Jadi sesungguhnya ia telah merampas dan menelanjangi agama-agama dari kleim kebenaran absolute-nya masing-masing untuk kemudian dimiliki dan dimonopoli oleh dirinya sendiri secara eksklusif.[7]

bersambung siri 2..

Ust Ahmad Nu’man Mazlan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

[1] PhD beliau sendiri dalam bidang Perbandingan Agama bertajuk ‘At-Ta’addudiyah Ad-Diniyah, Rukyah Islamiyah’ (Pluralisme Agama: Perspektif Islam)

[2] Dr. Anis Malik Thoha, Meneliti Doktrin dan Ciri-ciri Fahaman Pluralisme Agama dalam buku Pluralisme Agama: Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, 2012, hlm 66.

[3] John Hick, Problems of Religious Pluralism (Houndmills, Basingstoke: The Macmillan Press, 1985), hlm. 36.

[4] Ismail Mina, Pluralisme, Spiritualisme dan Diabolisme Agama dalam buku Pluralisme Agama: Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, 2012, hlm 4.

[5] Ulil Abshar Abdalla, Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam, harian Kompas, 18 November 2002.

[6] http://pluralism.org/what-is-pluralism/

[7] Dr. Anis Malik Thoha, Meneliti Doktrin dan Ciri-ciri Fahaman Pluralisme Agama dalam buku Pluralisme Agama: Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, 2012, hlm. 77.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.