BeritaKolumnisMalaysiaPolitik IslamUmumUtama

BENDERA TERBALIK: KECUAIAN TEKNIKAL ATAU TANDA LESUNYA CINTA TANAH AIR?

Isu pengibaran bendera Jalur Gemilang secara terbalik bukanlah perkara baru. Saban tahun, setiap kali bulan Ogos menjelang, kita mendengar berita bendera dipasang terbalik sama ada di sekolah, pejabat kerajaan, bahkan di syarikat-syarikat besar.

Sampai bila kita mahu menormalisasikan kesilapan ini sebagai “kecuaian teknikal”? Sudah tiba masanya kita bertanya, adakah kita sedang melihat tanda awal kelonggaran patriotisme dalam jiwa rakyat Malaysia?

Sebagai seorang yang benar-benar cintakan tanah air, mari bersama kita merenung makna kecintaan kepada tanah air daripada perspektif agama, sejarah dan semangat kenegaraan.

Islam dan Konsep Watan (Tanah Air)

Dalam Islam, kecintaan terhadap tanah air bukan sekadar emosi. Ia adalah tanggungjawab. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan kecintaan mendalam terhadap Makkah, tanah kelahirannya. Ketika berhijrah, Baginda berpaling ke arah Makkah lalu bersabda:

وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ، وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ

“Demi Allah, sesungguhnya engkau (wahai Makkah) adalah bumi Allah yang paling aku cintai, dan sekiranya kaumku tidak mengusirku daripadamu, nescaya aku tidak akan meninggalkanmu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Lihatlah betapa Rasulullah SAW mengaitkan cintanya kepada tanah air dengan sumpah atas nama Allah. Ini menunjukkan bahawa perasaan cinta kepada negara bukan sesuatu yang kecil, tetapi suatu nilai yang ada tempatnya dalam agama.

Perasaan cinta dan kerinduan kepada negeri asal Adalah fitrah manusia. Bahkan, Nabi SAW sendiri mencintai tanah air, tempat tumpah darah baginda. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya (Allah) yang mewajibkan atasmu (melaksanakan hukum-hukum) al-Quran, benar-benar akan mengembalikan engkau ke tempat kembali.” (Surah Al-Qasas: 85)

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, Nabi SAW telah keluar ke suatu tempat bernama Juhfah, lalu beliau merasa rindu kepada Makkah. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai satu tasliah iaitu pujukan dan hiburan buat baginda. Diriwayatkan oleh Al-Aufi daripada Ibnu Abbas RA, makna firman-Nya: “benar-benar akan mengembalikan engkau ke tempat kembali”, bermaksud benar-benar akan mengembalikanmu (Nabi) ke Makkah, sebagaimana Dia telah mengeluarkanmu darinya.

Bendera: Lambang Negara, Bukan Sekadar Simbol

Dalam konteks kenegaraan moden, bendera adalah representasi rasmi dan simbol maruah negara. Mengibarkannya secara salah, apatah lagi terbalik, bukan semata-mata soal kecuaian. Ia membawa mesej yang amat besar. Berdasarkan protokol antarabangsa, bendera terbalik menandakan kecemasan, huru-hara atau pemberontakan. Maka apabila situasi ini berlaku di tanah sendiri, ia mencerminkan berlakunya kelonggaran dan kegagalan dalam memelihara maruah negara. Kesilapan seperti ini tidak boleh dianggap remeh. Keadaan ini juga menimbulkan persoalan terhadap tahap kesedaran dan semangat patriotisme pelaku terhadap lambang dan identiti negara.

Kisah Sahabat: Ketegasan Dalam Menjaga Maruah dan Lambang

Menelusuri sirah, kita melihat bagaimana para sahabat Rasulullah SAW begitu tegas dalam mempertahankan kehormatan agama dan negara Islam yang baru terbina.

Peristiwa dalam Perang Mu’tah telah membuktikan keteguhan para sahabat dalam memelihara panji yang telah diamanahkan. Ketika tiga panglima utama iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar at-Tayyardan Abdullah bin Rawahah gugur syahid satu demi satu, panji Islam tidak boleh turut sama dibiarkan gugur ke bumi. Khalid bin al-Walid tampil pada saat genting itu, menggenggam panji dengan penuh tekad dan terus mengambil alih kepimpinan, agar para mujahid tidak patah semangat.

Apa erti panji itu? Ia adalah bendera. Ia simbol kuasa. Jika panji jatuh, ini bermakna semangat tentera turut rebah. Maka, panji Islam wajib dijaga walau dengan nyawa dan darah.

Kisah ini memberi ibrah jelas bahawa kita juga wajib mempertahankan panji negara kita iaitu Jalur Gemilang. Ia bukan sekadar kain berjalur merah putih dan bintang bersudut empat belas, tetapi simbol kedaulatan, maruah, dan perpaduan tanah air. Mengabaikannya, apatah lagi mencemarinya merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap makna kemerdekaan negara.

Tanda Lemahnya Cinta Tanah Air

Mengibarkan bendera secara terbalik dan hanya memohon maaf tanpa sebarang pengajaran bukanlah budaya cinta tanah air. Ia mencerminkan satu sikap lesu, acuh tak acuh, dan tidak memahami nilai kenegaraan.

Ini menunjukkan bahawa semangat patriotisme bukan satu perasaan dalaman yang kosong, tetapi seseorang itu terikat dengan nilai amanah, tanggungjawab dan pengorbanan. Justeru, apabila bendera dikibarkan secara terbalik, ia memberi isyarat yang lebih dalam daripada sekadar kesilapan teknikal. Ia mencetuskan persoalan tentang keikhlasan terhadap semangat patriotisme dan kemungkinan wujudnya unsur sabotaj terhadap identiti negara.

Cegah Sebelum Berulang Berkali-Kali Lagi

Justeru, langkah pencegahan yang lebih serius dan sistematik perlu diambil agar perkara sama tidak terus berlaku dan mencalar maruah kebangsaan. Antaranya adalah:

  1. Penguatkuasaan Serius: Garis panduan pengibaran bendera perlu dikuatkuasa dengan peruntukan hukuman yang wajar, bukan hanya surat nasihat, tetapi penalti atau tindakan tatatertib bagi kecuaian berulang.
  2. Pendidikan Patriotisme Islamik: Program latihan kesedaran boleh digerakkan di sekolah-sekolah dan masjid tentang tanggungjawab terhadap tanah air dari sudut agama, bukan sekadar aspek sivil.
  3. Aplikasi Aduan Pantas: Wujudkan sistem aduan pantas melalui aplikasi atau hotline agar kes-kes bendera terbalik dapat ditangani dalam tempoh 24 jam.
  4. Audit Berkala: Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Komunikasi Kerajaan (UKK), perlu mengarahkan audit bendera setiap bulan menjelang Hari Kemerdekaan.
  5. #KibarDenganBangga: Setiap agensi Kerajaan, swasta mahupun rakyat Malaysia secara umumnya menggerakkan kempen di media sosial untuk mengangkat kembali rasa bangga mengibarkan bendera.

Kesimpulan

Insiden pengibaran bendera secara terbalik yang berulang-ulang kali bukan lagi boleh dianggap kesilapan kecil atau teknikal semata-mata. Ia memberi isyarat jelas bahawa ada kelompongan besar dalam kesedaran sivik dan rasa tanggungjawab terhadap simbol negara yang dijunjung tinggi.

Rakyat Malaysia seharusnya tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap lambang negara. Maruah dan identiti kebangsaan tidak wajar dikompromi. Kesilapan yang sama berulang saban tahun tidak boleh dinormalisasikak. Pemimpin politik dan menteri tidak boleh terus memberi reaksi “kita faham, jangan politikkan”, kerana yang dipijak adalah lambang maruah negara iaitu Jalur Gemilang.

Jika hari ini bendera boleh dipasang terbalik tanpa rasa bersalah, tidak mustahil esok lusa lagu kebangsaan turut dipersenda dan lambang negara terus dicemari. Penghinaan terhadap simbol negara selangkah demi selangkah akan menjadi semakin tidak dibendung. Maka, hari ini mesti menjadi titik perubahan dan tindakan tegas perlu diambil, demi mempertahankan maruah tanah air.

Sebagai pemuda yang sayangkan agama dan tanah air, saya menyeru seluruh generasi muda untuk bangkit mempertahankan simbol negara dan memugar semula jiwa patriotisme yang sedang dilupakan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”
(Surah ar-Ra’d: 11)

Tegakkan maruah. Hormat panji. Bina bangsa yang tahu erti cinta tanah air dengan jiwa, bukan hanya bendera.

Oleh: Meo Aksara, Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *