Keganasan Remaja: Punca dan Peranan Bersama dalam Membentuk Generasi Bertanggungjawab

Kes keganasan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah, seperti buli, pergaduhan, rogol dan pembunuhan, dilihat semakin membimbangkan. Keadaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat: apakah punca kes-kes tersebut semakin meningkat? Adakah ia berpunca daripada karakter dan sikap remaja itu sendiri, atau turut dipengaruhi oleh ibu bapa, guru, rakan sebaya dan persekitaran? Yang lebih penting, apakah langkah yang boleh diambil untuk menangani isu ini?

Pakar Kriminologi dan Psikologi daripada Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Geshina Ayu, menjelaskan bahawa keganasan remaja lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor sahaja. Sebaliknya, pelbagai unsur mungkin terlibat, termasuk tekanan emosi, konflik dengan rakan sebaya atau pasangan, masalah kesihatan mental, pengaruh persekitaran, buli dan kegagalan mengesan perubahan tingkah laku pada peringkat awal.

Keganasan remaja sememangnya boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Namun, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis dalam proses pendidikan kanak-kanak dan remaja, banyak unsur yang menyumbang kepada isu ini bermula dari rumah.

Institusi keluarga, khususnya ibu bapa, memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa ialah pendidik pertama bagi seseorang anak. Di rumah, anak mula belajar berkomunikasi, mengawal emosi, membentuk jati diri dan mengenali dunia. Tingkah laku ibu bapa juga boleh menjadi contoh yang diperhatikan dan ditiru oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu berusaha menjadi teladan yang baik.

Apabila ibu bapa melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan menerapkan nilai-nilai agama sejak kecil, seperti menjaga solat, membaca al-Quran, memelihara adab dan akhlak serta memahami keimanan, dosa dan pahala, anak-anak berpeluang membesar dengan keperibadian yang baik dan menjadi insan yang berkualiti.

Sebaliknya, jika ibu bapa mengabaikan tanggungjawab dan gagal menunjukkan teladan yang baik, anak-anak mungkin meniru sifat serta tingkah laku buruk yang dilihat di rumah. Keadaan ini boleh menjejaskan perkembangan mereka dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tahrim, ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).”

Daripada Abdullah bin Umar R.A., Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud:

“Setiap seorang daripada kamu ialah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas orang yang dipimpinnya. Pemerintah ialah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas rakyatnya. Seorang lelaki ialah pemimpin bagi ahli keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan atas mereka.

Seorang wanita ialah pemimpin di rumah suaminya dan terhadap anak-anaknya, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas mereka. Maka setiap kamu ialah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas orang yang dipimpinnya.”

Hadis riwayat al-Bukhari (5200) dan Muslim (1829).

Dr. Abdullah Nasih Ulwan, dalam karyanya Tarbiyatul Aulad fil Islam, menyenaraikan beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada penyimpangan anak-anak, antaranya kemiskinan, perselisihan atau perceraian ibu bapa, pengabaian pendidikan anak-anak, layanan buruk daripada ibu bapa, masa lapang yang tidak dimanfaatkan, pengaruh rakan yang buruk, tontonan filem berunsur keganasan dan seksual, pengangguran yang berleluasa serta kehilangan ibu atau bapa.

Daripada sembilan faktor tersebut, empat berkait secara langsung dengan ibu bapa, manakala lima yang lain turut berkait dengan bimbingan dan pengawasan mereka, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Komunikasi ibu bapa yang keras dan kasar, seperti memarahi, mengherdik, memaki hamun atau menggunakan kata-kata kesat, boleh menjejaskan emosi anak. Lebih-lebih lagi jika anak dipukul atau didera, pengalaman itu boleh meninggalkan kesan yang mendalam. Anak mungkin berasa rendah diri, kerap menyalahkan diri sendiri dan takut untuk mencuba. Mereka juga mungkin cenderung bersikap kasar terhadap adik-beradik atau rakan-rakan.

Begitu juga, pengabaian terhadap anak-anak atas alasan terlalu sibuk bekerja atau sebab-sebab lain boleh memberi kesan buruk, terutama apabila komunikasi antara ibu bapa dengan anak jarang berlaku atau terputus sama sekali. Keadaan ini boleh meningkatkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan. Anak juga mungkin mencari teman sebaya untuk mengisi kekosongan emosi, sedangkan sesetengah pengaruh rakan boleh membawa mereka ke arah yang tidak baik.

Pakar Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Nurashikin Ibrahim, berkata peningkatan rasa sunyi dalam kalangan remaja yang merupakan salah satu simptom masalah kesihatan mental,

bukan semestinya disebabkan mereka tidak mempunyai kawan. Sebaliknya, keadaan itu mungkin berkait dengan kurangnya komunikasi bersama ibu bapa.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan turut menyatakan:

“Faktor utama kelemahan jati diri seorang anak ialah pengabaian ibu bapanya dalam mendidiknya serta kesibukan mereka daripada usaha membimbingnya ke jalan kebaikan. Penyimpangannya akan bertambah parah, jika ibu bapanya banyak menghabiskan masa mereka dengan perkara-perkara haram serta tenggelam dalam keseronokan dan mengejar kemewahan dunia.”

Walau bagaimanapun, pengaruh terhadap pembentukan keperibadian remaja bukan datang daripada keluarga sahaja. Guru, rakan sebaya, media sosial, filem, permainan video dan persekitaran lain turut memainkan peranan.

Selepas ibu bapa, guru merupakan antara individu penting dalam membimbing dan mendidik kanak-kanak serta remaja. Guru meluangkan banyak masa bersama murid sepanjang waktu persekolahan. Oleh itu, mereka turut memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah murid.

Daripada Abu Umamah al-Bahili R.A., Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya, penghuni langit dan bumi, bahkan semut di dalam lubangnya serta ikan di laut, semuanya berselawat ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”

Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no. 2685.

Rakan sebaya pula lazimnya menjadi semakin rapat dengan seseorang apabila dia meningkat remaja. Kanak-kanak kecil biasanya lebih bergantung pada kasih sayang dan bantuan ibu bapa, manakala remaja yang semakin berdikari mungkin lebih banyak meluangkan masa bersama rakan sebaya. Oleh itu, memilih rakan yang baik dan mendorong kepada perkara bermanfaat merupakan hal yang penting serta dituntut dalam Islam.

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah ﷺ bersabda:

“Seseorang itu berada di atas agama sahabat karibnya. Maka hendaklah setiap orang daripada kamu melihat siapa yang dijadikannya sahabat karib.”

Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398).

Pendedahan berterusan kepada media sosial, filem dan permainan video yang memaparkan keganasan, seperti pergaduhan, buli, perbuatan melawan guru, unsur seksual dan pembunuhan, juga boleh mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku remaja secara tidak sedar. Pendedahan tanpa kawalan dan pengawasan boleh mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

Kajian bertajuk “Trend Persekitaran Sosial dan Implikasi terhadap Tanggungjawab Diri Remaja Generasi Z” yang diterbitkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia merumuskan bahawa ibu bapa merupakan antara penyumbang utama dan mempunyai hubungan yang kuat dengan tanggungjawab diri remaja.

Dapatan kajian itu turut menunjukkan bahawa aspek kerohanian memainkan peranan penting dalam membentuk remaja yang bertanggungjawab. Pengaruh ibu bapa dikenal pasti sebagai yang tertinggi, diikuti aktiviti kokurikulum, guru dan rakan sebaya.

Kesimpulannya, keganasan remaja tidak wajar dikaitkan dengan satu punca sahaja. Isu ini melibatkan gabungan pelbagai faktor, termasuk keluarga, sekolah, rakan sebaya dan persekitaran. Usaha menanganinya memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa, guru dan rakan sebaya.

Dengan bimbingan, komunikasi dan pengawasan yang berterusan, masyarakat dapat bersama-sama membendung keganasan serta membantu melahirkan generasi yang berakhlak, bertanggungjawab dan berdaya maju.

Ustaz Abdullah Bin Hussen
Setiausaha Agung MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top