Biar Papa Asal Bergaya : Fenomena Buy Now Pay Later (BNPL)

Perkembangan Fintech dan Kemudahan Perkidmatan Buy Now Pay Later (BNPL)

Kepesatan teknologi kewangan atau fintech mengubah cara kita membuat bayaran. Jika dahulu orang ramai terpaksa ke kaunter bank untuk membayar bil atau memindahkan wang, sekarang semuanya mudah di hujung jari sahaja. Data daripada Badan Pusat Statistik (BPS) mencatatkan nilai e-dagang melonjak 40% pada tahun 2023, dengan rekod IDR 1,100.87 trilion berbanding IDR 783 trilion pada tahun sebelumnya. Daripada acuan fintech ini juga, lahir satu trend baharu di tengah-tengah masyarakat iaitu kaedah Buy Now, Pay Later (BNPL). Kemudahan ini semakin diminati ramai kerana memberi kelonggaran untuk memiliki barangan secara langsung melalui sistem ansuran tanpa bebanan kos sekali gus.

Kaedah (BNPL) kini menjadi pilihan ramai untuk berbelanja menggantikan fungsi kad kredit. Kemudahan ini membolehkan pengguna memiliki barangan terus melalui ansuran bulanan tanpa faedah, asalkan dibayar tepat pada waktunya. Sistem ini sangat diminati generasi muda kerana mereka boleh memiliki barangan yang diingini dengan mudah walaupun bajet terhad. Lambakan aktiviti membeli-belah dalam talian ini mengubah tabiat masyarakat, daripada budaya menabung sebelum membeli kepada berhutang secara mudah. Di Malaysia, aplikasi seperti SPayLater, Grab PayLater, dan TikTok Shop PayLater menjadi antara platform popular yang mempermudah proses transaksi sedemikian. Pemohon tidak memerlukan dokumen pendapatan atau syarat kelayakan renyah seperti pinjaman bank konvensional, sebaliknya memadai dengan memuat naik gambar kad pengenalan sahaja. Akibatnya, akses yang terlalu terbuka luas ini meluluskan sesiapa sahaja membuat pinjaman dengan mudah, termasuk golongan remaja seawal usia 15 tahun sebaik sahaja mereka memiliki telefon pintar sendiri.

Pasaran (BNPL) dunia dijangka terus meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 26.1% sehingga tahun 2030 (Irawati et al., 2024; Grand View Research, 2023). Di Malaysia, penggunaan BNPL melonjak 35% pada tahun 2024 (Halim et al., 2024), dengan Grab, Shopee, dan Atome menguasai 96% hingga 97% daripada keseluruhan transaksi pasaran (Pasukan Petugas Lembaga Pemantau Kredit Pengguna, 2025). Namun, tinjauan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kesan yang kurang sihat apabila 44% pengguna dikesan dalam kalangan golongan muda berumur 18 hingga 30 tahun, dan 80% daripadanya bergaji bawah RM3,000 sebulan (Tung, 2023). Cara pembelian yang terlalu mudah serta ketiadaan syarat ketat bank akhirnya menyebabkan kumpulan berpendapatan rendah ini mudah terdedah kepada masalah boros dan jeratan hutang.

Kesan Amalan BNPL Terhadap Risiko Pengumpulan Hutang

Dari sudut psikologi kewangan, hasrat mendapatkan sesuatu barangan sepatutnya menuntut seseorang untuk menyimpan terlebih dahulu, namun kemudahan BNPL telah membiasakan tabiat berhutang untuk perkara sekecil baju atau secawan kopi. Pembelian kecil yang berulang ini lama-kelamaan menimbun apabila had kredit di dalam aplikasi sering disalah anggap sebagai duit ekstra. Isu FOMO (fear of missing out) serta lifestyle membuatkan ramai membeli tanpa berfikir panjang. Tabiat tersebut memakan diri apabila tunggakan besar terkumpul tanpa disedari hingga ada yang terpaksa menanggung ansuran mencecah RM500 hingga RM1,000 sebulan. Komitmen yang tinggi ini pastinya mengganggu peruntukan wang sedia ada kerana sebahagian besar pendapatan terpaksa disalurkan untuk komitmen tersebut, lalu mendatangkan tekanan emosi apabila pengguna mula tersedar tentang jumlah sebenar yang perlu dibayar pada bulan hadapan.

Terdapat persamaan antara kad kredit dan BNPL apabila kegagalan melunaskan bayaran penuh mengikut waktu menyebabkan pengguna dikenakan faedah. Bagi BNPL, sekiranya tempoh bayaran yang ditetapkan telah tamat namun baki tersebut masih belum habis dijelaskan, akaun terus dikenakan denda atau caj tambahan. Kemudahan membeli barang mahal secara ansuran ini bertukar menjadi beban jika hutang gagal diselesaikan sebelum tarikh akhir. Menurut laporan The Star (2022), sekiranya pengguna culas, penyedia perkhidmatan boleh melaporkan kelewatan berkenaan kepada agensi pelaporan kredit. Rekod negatif ini akan menjejaskan skor kredit mereka untuk membuat pinjaman penting kelak, seperti membeli rumah atau kereta.

Lebih parah lagi jika banyak tarikh bayaran bertembung pada satu masa, pengguna mula dihantui rasa cemas dan tertekan. Keadaan mudah terjadi kepada golongan pelajar, orang yang baru mula bekerja atau kumpulan B40 disebabkan oleh pendapatan yang sedikit. Seterusnya, apabila pendapatan bulanan hangus digunakan untuk melunaskan hutang, mereka terperangkap dalam kitaran yang meletihkan iaitu bekerja semata-mata untuk membayar tunggakan hutang yang melebihi harga asal barangan tersebut tanpa ada peluang untuk membina simpanan atau melabur bagi masa depan.

Hutang BNPL dan Langkah Pengawasan

Walaupun mempunyai risiko, BNPL tetap berguna jika pengguna bijak menguruskan wang semasa membeli barangan keperluan rumah yang mahal, contohnya ketika peti ais atau dapur memasak perlu diganti baharu. Bagi golongan yang kesempitan wang, bayaran secara lump sum sememangnya membebankan, maka pilihan ansuran BNPL membolehkan mereka membahagikan kos tersebut mengikut kemampuan gaji bulanan. Selain itu, aplikasi perkhidmatan ini mempunyai sistem peringatan, rekod perbelanjaan, dan fungsi bajet yang membantu pengguna membayar tepat pada waktunya. Oleh yang demikian, kemudahan ini tidak sepatutnya dipandang serong sepenuhnya kerana ia menjadi pilihan bayaran ansuran untuk mendapatkan barangan asas yang penting.

Sebaliknya, bagi majoriti pengguna yang tidak celik ilmu kewangan, BNPL mendedahkan mereka kepada risiko eksploitasi akibat ketiadaan undang-undang yang seragam daripada pihak industri. Ketiadaan kerangka kerja yang selaras ini menyebabkan timbulnya masalah lain seperti kewujudan yuran tersembunyi, struktur yuran pedagang (merchant fees) yang tinggi, serta penalti lewat bayar yang mengelirukan pengguna. Keadaan ini mewujudkan rantaian bahaya apabila carian BNPL boleh berakhir dengan jerat Ah Long digital di WhatsApp, selain mencetuskan kerisauan privasi akibat pengumpulan dan perkongsian data peribadi pengguna secara tidak beretika.

Risiko hutang yang semakin tinggi ini mencetuskan keperluan pengawasan yang lebih ketat daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Penggubal dasar digesa memperkenalkan undang-undang khusus bagi melindungi golongan yang berpendapatan rendah atau tidak tetap. Melalui undang-undang ini, kerajaan perlu memaksa syarikat BNPL mendedahkan semua kos secara jujur, menyemak tahap kemampuan kewangan pengguna sebelum meluluskan hutang, serta menyekat transaksi jika pengguna berbelanja melebihi had. Selain itu, syarikat penyedia dituntut menyediakan fungsi penjejak komitmen merentasi aplikasi (cross-platform debt tracker) bagi membantu pengguna memantau jumlah hutang terkumpul mereka di pelbagai platform. Pihak industri juga perlu menyeragamkan penggunaan akaun percubaan (beginner accounts) dengan had kredit yang rendah bagi mendidik pengguna baharu agar tidak berbelanja secara melampau. Bagi menyokong langkah ini, kerajaan disarankan memasukkan silibus pengurusan wang di peringkat sekolah dan universiti, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang risiko sebenar BNPL agar pengguna tidak terjebak dengan hutang yang tidak perlu.

Operasi dan Parameter Pematuhan Syariah dalam Sistem BNPL

Sistem BNPL konvensional mempunyai unsur yang bercanggah dengan prinsip Islam terutamanya melibatkan amalan riba, sedangkan Islam hanya mengharuskan aktiviti perdagangan yang sah serta membenarkan urusan hutang demi memenuhi tuntutan Maqasid Syariah. Urusan jual beli ini dinyatakan dengan jelas menerusi firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Surah al-Baqarah: 275).

Malah, urusan hutang-piutang juga dibenarkan di dalam Al-Quran melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan berhutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulisnya” (Surah al-Baqarah: 282).

Keharusan ini diperkuatkan lagi bersandarkan hadis Nabi SAW yang mengiktiraf amalan pinjaman sebagai satu bentuk bantuan sosial yang dituntut:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ إِلاَّ كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً

Maksudnya: “Tidak ada seorang Muslim yang memberi pinjaman kepada seorang Muslim yang lain sebanyak dua kali, melainkan pinjaman itu seperti dia bersedekah sekali” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Bagi memastikan aplikasi BNPL patuh Syariah, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menetapkan bahawa kemudahan ini mesti memenuhi dua kriteria utama iaitu:

  1. Menggunakan struktur dan kontrak Syariah yang tepat berserta pematuhan penuh terhadap semua syarat sah transaksi.
  2. Hanya digunakan untuk tujuan dan pembelian barangan atau perkhidmatan yang patuh Syariah sahaja.

Melalui ketetapan dua syarat ini, pembelian barangan keperluan seperti perabot atau peralatan dapur utama adalah sepenuhnya harus.

Di Malaysia, Terdapat dua model utama BNPL patuh syariah yang diperakui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, iaitu Pinjaman Tanpa Faedah (Qard) dan Tawarruq (jual beli komoditi). Melalui kedua-dua model ini, pelanggan tetap membayar ansuran bulanan terus kepada bank bagi mendapatkan barangan yang dihajati, namun kaedah keuntungan bank adalah berbeza.

Sebagai contoh, dalam pembelian peti ais berharga RM1,200 melalui model Qard, pelanggan hanya membayar balik RM400 sebulan tanpa faedah kerana keuntungan bank diambil daripada yuran perniagaan (merchant fees) yang dikenakan ke atas pemilik kedai. Manakala bagi model Tawarruq, bank menjual komoditi secara ansuran kepada pelanggan pada harga RM1,250 (termasuk untung bank RM50) sebelum dicairkan untuk bayaran kedai. Perbezaan ini menunjukkan model Qard menjana untung daripada komisen peniaga, manakala model Tawarruq mengambil untung daripada pelanggan melalui margin harga jual beli yang sah.

Walaupun Malaysia menumpukan kepada model Qard dan Tawarruq, industri global antaranya di Indonesia dan Timur Tengah turut menggunakan model lain seperti  Murabahah (jual beli dengan margin untung) serta Ijarah (pajakan). Kepelbagaian pilihan model ini menunjukkan bahawa sistem kewangan Islam mempunyai banyak kaedah kontrak untuk disesuaikan dengan keperluan teknologi kewangan (fintech) masa kini.

Bagi mengekalkan status patuh Syariah dan membezakannya dengan sistem konvensional, kaedah operasi yang melibatkan garis pemisah riba, gharar (ketidakpastian), dan maysir (perjudian) wajib diteliti dengan ketat. Syarak menetapkan syarat mutlak berupa ketetapan harga di peringkat awal (certainty of price), iaitu jumlah bayaran semula mestilah kekal sama dengan harga belian asal. Pihak penyedia dana dilarang sama sekali mengenakan caj faedah atau faedah berganda atas kelewatan kerana tindakan itu adalah riba.

Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan kezaliman (az-zulm) daripada pengguna yang sengaja melengah-lengahkan komitmen kewangan padahal berkemampuan, tindakan tegas dikuatkuasakan bersandarkan hadis Nabi ﷺ:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: “Penangguhan bayaran hutang oleh orang yang kaya (mampu) adalah satu kezaliman.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Demi mengatasi isu tersebut, para sarjana Syariah memperkenalkan dua kaedah kawalan yang adil. Pertama, tuntutan Ta’widh iaitu caj ganti rugi berdasarkan perbelanjaan sebenar yang hangus dalam operasi pemulihan, seperti kos mengeluarkan surat notis tunggakan dan membuat panggilan telefon peringatan. Kedua, penerapan klausa Al-Ilzam Bi Al-Tabarru’ (komitmen untuk menderma), di mana denda kelewatan akan disalurkan terus kepada tabung kebajikan tanpa dikira sebagai hasil pendapatan pihak penyedia. Langkah ini berfungsi sebagai gertakan (detren) agar pembeli tidak culas, manakala pelanggan yang membayar tepat pada masanya tidak dikenakan sebarang caj tambahan.

Panduan bagi Merawat Budaya Konsumerisme dan Gaya Hidup Berlebihan

Selain daripada aspek teknikal perundangan (fiqh muamalat), pandangan Islam melihat isu kebanjiran BNPL ini daripada sudut kawalan diri. Hakikatnya, kecenderungan ini sering kali menguji ketahanan jiwa manusia dalam mendepani arus kemodenan. Adakah kemanisan hidup bersederhana sudah hilang ditelan zaman akibat penangan barangan berjenama dan gaya hidup mewah? [38] Persoalan inilah yang membawa kita untuk kembali melihat bahawa ketenangan menguruskan harta dicapai dengan mengelakkan pembaziran serta mengehadkan pembelian hutang untuk keperluan mendesak sahaja. Oleh itu, perancangan belanja harian wajib dipandu oleh tiga tiang asas iaitu keperluan (dharuriyyat), kemahuan (hajiyyat), dan kemampuan, Dalam bab mencari rezeki, Islam memperkenalkan konsep Kofaf (hidup kadar cukup), sebagaimana doa yang dibaca oleh Rasulullah ﷺ untuk ahli keluarga baginda:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ رِزْقَ آلِ مُحَمَّدٍ كَفَافًا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad sekadar cukup untuk keperluan hidup.” (Hadis Riwayat Muslim)

Prinsip ini bukanlah bermaksud miskin papa kedana, tetapi keadaan di mana pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan asas tanpa perlu meminta-minta atau terjebak dalam kitaran hutang yang membelenggu diri . Melalui cara ini, wang ringgit berfungsi sebagai alat untuk berbuat kebaikan, bukannya matlamat utama yang menjerat manusia menjadi hamba kebendaan.

Kefahaman tersebut membuatkan seseorang sentiasa tenang menggunakan model telefon pintar lama atau memandu kenderaan sedia ada tanpa berasa tertekan melihat trend kemewahan orang lain. Amalan bersederhana yang diterapkan ini merupakan asas kepada Hayatan Tayyibah (kehidupan yang indah) kerana jiwa berasa lapang daripada bebanan hutang duniawi. Malah, kaedah BNPL ini akan menjadi lebih bermanfaat sekiranya setiap individu berdisiplin membayar ansuran tepat pada masanya serta enggan mengambil komitmen yang melebihi kemampuan diri.

Di samping perbincangan mengenai aspek kawalan diri yang disentuh sebelum ini, Islam turut memberi panduan bagi merawat tabiat gila membeli-belah demi sebuah gaya hidup yang berlebihan. Panduan tersebut adalah seperti di bawah:

Pertama: Sifat Qanaah dan Kekayaan Jiwa

Ketenangan hidup bermula dengan mengawal tabiat suka memandang ke atas dalam urusan harta benda. Sifat reda dengan apa yang ada di tangan inilah kunci utama kekayaan yang sebenar, sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: “Kekayaan yang sebenar bukanlah pada banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kayanya jiwa (hati yang merasa cukup).” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Nabi ﷺ turut meletakkan kayu ukur kehidupan yang mudah. Cukuplah sekadar bangun pagi dalam keadaan aman diri dan keluarga, sihat tubuh badan, serta mempunyai makanan untuk hari tersebut, seseorang itu seolah-olah sudah memiliki seluruh isi dunia.

Kedua: Hakikat Zuhud yang Benar

Zuhud yang sebenar merupakan urusan hati yang tidak berpaut pada kebendaan, bukannya dinilai pada penampilan luaran. Sifat ini bukanlah bermaksud menyeksa diri dengan berpakaian buruk atau memisahkan diri sepenuhnya daripada masyarakat. Syarak tidak melarang umatnya menikmati rezeki yang berkualiti, seperti yang dirakamkan melalui kisah pemuda Ashabul Kahfi apabila mereka meminta salah seorang daripada mereka ke kota untuk mencari makanan yang paling bersih dan baik:

فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ

Maksudnya: “…maka biarlah dia mencari makanan apa yang lebih bersih dan baik (azka ta’aman), lalu membawa rezeki daripada makanan itu untuk kamu…” (Surah al-Kahfi: 19)

Islam membenarkan umatnya makan sedap atau berpakaian cantik, asalkan harta itu sekadar berada di tangan untuk diguna, bukannya disimpan di dalam hati hingga mencetuskan tabiat menunjuk-nunjuk untuk menjaga air muka

Ketiga: Larangan Sifat Bongkak dan Sombong

Tabiat bermegah-megah dengan apa yang dimakan, diminum, atau dipakai sangat bercanggah dengan prinsip Islam. Penyakit ini dilarang keras di dalam al-Quran melalui pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya:

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman: 18)

Melalui ayat ini, Islam mendidik umatnya untuk sentiasa merendah diri dan menjaga hati orang sekeliling. Larangan ini menjadi amaran supaya manusia tidak berjalan mendada atau berasa diri lebih mulia daripada orang lain hanya kerana harta yang dimiliki .

Keempat: Nilai Ketakwaan Sebenar

Kedudukan manusia di sisi Allah SWT tidak dibina atas kemewahan luar atau had kredit yang tinggi, melainkan diukur melalui takwa. Firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Rasulullah ﷺ mengingatkan bahawa boleh jadi seorang yang berambut kusut, berdebu, dan hanya memakai pakaian buruk ditolak di pintu rumah orang, namun jika dia berdoa, Allah SWT terus memakbulkannya . Pandangan ini meletakkan harta dunia pada tempatnya yang sementara, memandangkan pengakhiran setiap hidup adalah sama iaitu sehelai kain kafan yang murah .

Keadaan ini dapat dilihat apabila di akhirat kelak, seorang lelaki yang berbadan besar dan dihormati di dunia dibawa ke tempat timbangan amal, namun nilai amalnya tidak seberat sayap seekor nyamuk. Keadaan ini berbeza dengan sahabat Nabi yang kurus kering seperti Abdullah bin Mas’ud, yang mana nilai timbangan betisnya di akhirat adalah lebih berat daripada Gunung Uhud.

Dalam isu BNPL, Islam tidak meletakkan sekatan secara membuta tuli, tetapi mendidik pengguna berbelanja mengikut kadar keperluan dalam mengawal komitmen kewangan. Jika pengguna menggunakan kemudahan ini secara terancang, transaksi tersebut kekal sebagai kemudahan yang diharuskan oleh syarak.

Namun, sekiranya pengguna sudah terbabas sehingga aliran tunai harian lumpuh akibat membeli barang kemahuan secara berlebihan, tindakan utama yang wajib diambil adalah menghentikan kitaran hutang baharu. Cara Islam menyelesaikan beban hutang yang berlebihan adalah dengan memfokuskan wang sedia ada bagi melunaskan tunggakan secara berdisiplin, bukannya dengan mencipta hutang lain yang lebih besar.

Ustazah Nur Ashikin binti Mohamad Mathurudi
Penyelidik MUIS

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top