Fiqh SemasaKolumnisSyariah

MENAMPAR BUKAN CARA DIDIKAN NABI

Tular baru-baru ini dalam sebuah video, seorang jurulatih pasukan bola tampar telah menampar muka dua orang ahli pasukan bola tampar pelajar perempuan. Video tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia. Menteri Pendidikan sendiri telah memberi respon bahawa mereka tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan kegananasan.

Walaubagaimanapun bapa kepada pelajar perempuan yang telah ditampar itu telah memberitahu media agar menghentikan kecaman terhadap jurulatih tersebut. Ahli pasukan bola tampar itu juga mengakui jurulatih tersebut banyak menyumbang kepada kejayaan pasukan mereka dan menyatakan pasukan mereka lebih bersemangat untuk menang dalam pertandingan setelah insiden tampar yang berlaku.

Dalam media sosial, terdapat sebilangan netizen yang menganggap perbuatan menampar oleh jurulatih tersebut adalah suatu yang wajar agar dapat β€˜mengejutkan’ pemain dan β€˜menyedarkan’ mereka supaya dapat beraksi dengan lebih cemerlang. Namun, tidak kurang warga maya yang membantah sekeras-kerasnya tamparan tersebut kerana melibatkan sentuhan fizikal, mengandungi unsur kekerasan dan boleh mengakibatkan kecederaan.

Terkini, jurulatih tersebut telah membuat permohonan maaf di hadapan dua keluarga ahli pasukan yang terlibat.

Persoalannya di sini, bolehkah tamparan yang menggunakan ayunan tangan ke muka digunakan sebagai satu cara mendidik?

Mari kita lihat adakah Rasulullah SAW pernah menggunakan pendekatan sebegini?

Terdapat hadis yang menyebut tentang larangan Rasululllah memukul muka.

Sabda Nabi SAW:

Ψ₯ِذَا آَرَبَ Ψ£ΩŽΨ­ΩŽΨ―ΩΩƒΩΩ…Ω’ ΩΩŽΩ„Ω’ΩŠΩŽΨ¬Ω’ΨͺΩŽΩ†ΩΨ¨Ω Ψ§Ω„Ω’ΩˆΩŽΨ¬Ω’Ω‡ΩŽ

Maksudnya: β€œApabila seseorang kamu memukul (dengan tujuan dibenarkan syarak) maka jauhilah muka.” Hadis Riwayat Ahmad (7323)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:

Ψ₯ِذَا Ω‚ΩŽΨ§ΨͺΩŽΩ„ΩŽ Ψ£ΩŽΨ­ΩŽΨ―ΩΩƒΩΩ…Ω’ ΩΩŽΩ„Ω’ΩŠΩŽΨ¬Ω’ΨͺΩŽΩ†ΩΨ¨Ω’ Ψ§Ω„Ω’ΩˆΩŽΨ¬Ω’Ω‡ΩŽ

Maksudnya: β€œApabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka.” Hadis Riwayat al-Bukhari (2559) dan Muslim (6817)

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata; “Termasuklah dalam larangan adalah setiap pukulan ke muka ketika dalam hukuman hudud, takzir & pukulan didikan.”

Imam Son’ani penulis kitab Subulus Salam pula berkata; “Pengharaman pukulan dan tamparan di muka ini merangkumi semua keadaan, sama ada untuk mendidik dan sebagainya”.

Hadis-hadis ini jelas menyebut larangan untuk memukul bahagian muka, walaupun perlakuan memukul dibolehkan dengan sebab tertentu. Bahkan, dalam situasi genting di medan peperangan, umat Islam diperintah untuk tidak mencederakan muka musuh.

Mengapa muka perlu dijauhkan daripada dipukul?

Imam An-Nawawi menyatakan: β€œMemukul muka boleh merosakkannya atau mencacatkannya atau menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir dan tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila muka dipukul maka biasanya ia tidak selamat daripada berlakunya kecacatan. (Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj).

Justeru, pukulan jika perlu dibuat untuk mendidik, haruslah tidak melibatkan bahagian yang paling mulia iaitu muka. Pukulan untuk mendidik dibolehkan dalam Islam dengan syarat mengikut kaedah serta tatacaranya yang tertentu.

Antara syarat memukul untuk didikan dalam Islam adalah:

  1. Pukulan adalah pilihan terakhir setelah setiap kesalahan dilakukan ditegur dan dijelaskan. Peluang untuk memperbaiki kesalahan juga perlu diberi sebelum memukul.
  2. Pukulan dengan menggunakan tangan atau rotan hanyalah pukulan yang perlahan dan tujuannya adalah untuk memberi amaran, bukan untuk melepaskan geram, membantai dan mencederakan.
  3. Pukulan bukan bertubi-tubi tanpa henti. Juga tidak melebihi sepuluh kali pukulan. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: β€œTidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah SWT”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6456)
  4. Pukulan atau sebatan mesti berlapik dan tidak secara terus ke atas kulit dan tubuh badan.
  5. Memukul bahagian tubuh badan yang tersembunyi seperti punggung dan semestinya menjauhi bahagian muka.

Kesimpulannya, menampar muka adalah satu bentuk didikan yang tidak tepat dan melanggar sunnah Rasulullah SAW. Mendidik, memberi pengajaran dan mendenda perlu dilakukan dengan cara yang tidak menyalahi sunnah dan ajaran Islam.

Pihak berwajib juga seharusnya menyediakan garis panduan dan cara dendaan yang sesuai agar para jurulatih sukan tidak melakukan perkara yang sewenang-wenangnya dan melanggar prosedur serta undang-undang. Dendaan yang melibatkan fizikal dan tidak melibatkan sentuhan seperti ketuk ketampi, tekan tubi, dan lain-lain yang berkaitan dengan kecergasan tubuh badan mungkin lebih sesuai untuk mendenda murid dalam sukan.

Semoga insiden menampar muka ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

Ustazah Nur Fatin binti Halil

Naib Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *