KELAYAKAN MENGASUH KANAK-KANAK MENURUT PERSPEKTIF FIQH DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

Tugas mendidik dan mengasuh anak-anak kecil merupakan satu tugas yang mulia di sisi Islam. Bahkan Al-quran turut mengangkat kedudukan seorang pengasuh dan pendidik dengan darjat yang amat tinggi dalam firman Allah SWT:

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰت

Maksud: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”

(Al-Mujaadalah: 11)

Hakikatnya tugas mengasuh dan mendidik anak merupakan tanggungjawab kedua orang ibubapanya, namun dalam kehidupan dunia serba canggih yang memerlukan perbelanjaan tinggi untuk kelansungan hidup, natijahnya ada ibu bapa yang perlu keluar bekerja demi menunaikan nafkah untuk menyara keluarga tercinta.

Justeru, apabila ibu dan bapa keluar bekerja, maka timbul isu anak-anak yang perlu ditinggalkan dalam jagaan orang lain. Ada ibu bapa yang beruntung jika atok atau neneknya secara sukarela ingin membantu menjaga cucu ketika anaknya keluar bekerja, namun sebahagian yang lain perlu memilih untuk menghantar anak ke pusat asuhan atau taska.

Yang menjadi kerisauan dan kegusaran ibu bapa kini apabila tular pelbagai isu yang memaparkan berita tentang penderaan anak-anak ketika dalam penjagaan pengasuh dan berita seperti ini sepatutnya dipandang serius dan perlu diselesaikan dari pelbagai pihak dengan segera dan tuntas.

Justeru penulisan ini bertujuan untuk menyeru para pengusaha taska untuk memastikan pengasuh dan guru yang diambil bekerja di premis pusat jagaan anak-anak memiliki ciri-ciri yang digariskan dalam Islam dan ciri-ciri yang dinyatakan ini turut bertepatan dengan syarat-syarat orang yang diberikan hak melakukan Hadhonah seperti yang termaktub dalam Seksyen 82, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], antaranya ialah:

  1. Memiliki akal yang sihat

Kriteria seorang pengasuh hendaklah memiliki akal yang sihat dan sejahtera. Untuk memiliki akal yang sihat dan sempurna, ia memerlukan bimbingan agama dan petunjuk yang dibawakan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, pengusaha pusat asuhan hendaklah memastikan para pengasuh sentiasa mendapat pengisian rohani yang dapat menghidupkan hati nurani sekaligus membimbing mereka kearah memiliki akal yang sejahtera, seperti usrah mingguan, liqa’ bulanan dan tazkirah ringkas. Firman Allah SWT:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَاب

Maksud: Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

(Az-Zumar: 9)

Selain itu, setiap pengusaha pusat asuhan kanak-kanak hendaklah meminta para pengasuh menjalankan Ujian Saringan Minda Sihat atau dikenali sebagai Depression Anxiety Stress Scales (DASS) secara berkala supaya dengan ujian saringan ini dapat memastikan pengasuh yang diambil bekerja tiada simptom kesihatan mental yang akhirnya boleh memberikan kesan buruk kepada anak-anak asuhannya kelak.

  • Dewasa dan mampu mendidik anak kecil

Dewasa atau mukallaf adalah seseorang yang sudah mendapat beban taklif dan memahami tanggungjawab yang disyariatkan oleh Allah SWT. Kewajiban utama sebagai Mukallaf menurut Islam ialah:

  1. Mengenal Allah

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه

Maksud: Ketahuilah/yakinlah tiada tuhan yang benar melainkan Allah

(Surah Muhammad:19)

  • Menunaikan perintah yang wajib dan meninggalkan larangan yang haram

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ الْقَيِّمِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لَا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ يَوْمَئِذٍ يَصَّدَّعُونَ

Maksud: Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang dari Allah suatu hari yang tak dapat ditolak (kedatangannya): pada hari itu mereka terpisah-pisah. 

(Surah Ar-Ruum; 43)

Justeru, pengasuh sepatutnya seorang yang patuh dengan segala perintah dan peka dengan setiap larangan Allah SWT seperti melaksanakan solat lima waktu, menutup aurat dengan sempurna dan berakhlak dengan akhlak yang baik. Oleh itu, para pengusaha taska hendaklah membantu menyediakan ruang dan kelengkapan yang membolehkan para pengasuh untuk menunaikan solat dengan selesa.

Hal ini kerana, jika seseorang itu boleh mengingkari perintah dan larangan penciptaNya, tidak mustahil ia juga boleh mengingkari arahan dan tegahan majikannya. Oleh itu, betapa pentingnya sifat dewasa (mukallaf) ini dalam kriteria sebagai seorang pengasuh yang beriman.

  • Boleh dipercaya untuk mengasuh dan mendidik anak

Rasulullah SAW memberikan nasihat supaya bersifat amanah dalam kehidupan:

Sesungguhnya sifat amanah bertunjang dalam hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan, maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan al-sunnah.

(HR Muslim)

Rasulullah SAW juga memberi amaran keras kepada manusia:

Sesiapa melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain lebih layak daripadanya di sisi Allah SWT, sesungguhnya dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin seluruhnya.

(HR Ahmad dan Hakim)

Orang yang mempunyai sikap khianat terhadap amanah yang diberikan kepadanya tidak layak menjadi pengasuh. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya.

(Al-Anfal: 27)

  • Beragama Islam

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maksud: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.

(Luqman:13)

Berdasarkan ayat diatas, jelas menunjukkan bahawa seorang pengasuh dan pendidik hendaklah mampu menyeru dan mengajarkan tentang Islam kepada anak asuhannya sepertimana yang dilakukan oleh Luqman kepada anaknya supaya menjadi orang Islam yang beriman dan jangan mempersekutukan Allah.

Semoga penulisan ini dapat memberikan panduan kepada para pengusaha taska atau pusat asuhan kanak-kanak dalam memilih pekerja-pekerja yang akan menjalankan tugas sebagai pengasuh dan guru dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab.

WaAllahua’alam.

Ustazah Hidayatul Sakinah binti Mohd Zulkifli

Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *