Tahun Baharu 2023: Mulakan Dengan Langkah Yang Suci

Tahun Baharu Masihi bukanlah satu perayaan yang disambut oleh umat Islam. Namun, tidak ada salahnya menjadikan tahun baharu ini sebagai satu titik permulaan dan pembakar semangat untuk menetapkan azam, cita-cita serta pelbagai kemahuan menuju ke arah kebaikan.

Berazamlah tidak kira masa. Menetapkan azam dan kemahuan bukanlah hanya pada tahun baharu. Namun, yang paling utama adalah mempunyai azam itu sendiri dan ada perancangan supaya jelas akan kehendak dan cita-cita yang ingin dicapai. Kemudian, sertailah azam itu dengan usaha dan tawakkal seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 159:

فَاِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِيْنَ

“Apabila engkau telah berazam maka hendaklah engkau bertawakal kepada Allah.  Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang bertawakkal”.

Azam, usaha dan tawakkal perlu sentiasa seiring. Sesuatu azam yang ingin dicapai hanya tinggal sebagai angan-angan jika ia tidak diusahakan. Tawakkal iaitu penyerahan diri kepada Allah pula perlu disertakan dengan usaha yang dijalankan agar kita sentiasa menjadikan Allah sebagai kuasa yang tertinggi. Hanya dengan keizinan dan kehendak-Nya kita dapat mencapai segala yang diinginkan. Kita merancang, Allah juga merancang. Dan sentiasalah ingat bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik.

Menetapkan azam dan tawakkal di awal tahun baharu adalah satu bentuk permulaan yang baik. Syeikh Ibnu Ataillah Al-Sakandariyy, seorang ulama yang terkenal dengan kitabnya Al-Hikam ada menyebutkan:

من علامات النجاح في النهايات الرجوع إلي الله تعالي في البدايات . من أشرقت بدايته أشرقت نهايته

“Di antara tanda-tanda kejayaan di pengakhiran adalah seseorang itu kembali kepada Allah Taala pada permulaannya. Barangsiapa yang permulaannya bersinar, maka penghujungnya juga akan bersinar”.

Apa yang dimaksudkan dengan kata-kata hikmah ini adalah mengenai penanda aras bagi kesudahan yang baik di alam akhirat mesti bermula dengan permulaan yang baik sejak di alam kehidupan dunia. Bersinar bermaksud berjaya. Dapat dikaitkan kata-kata ini dengan segala perkara dan perbuatan yang Berjaya dimulakan dengan keelokan pada awalnya, nescaya akan Berjaya menghasilkan kebaikan pada pengakhirannya. Menjadikan Allah sebagai tujuan dalam permulaan segala hal juga pastinya akan mencapai kesudahan yang terbaik.

Permulaan yang baik dan benar juga akan menjadikan kita terhindar daripada kelesuan di pertengahan jalan. Muhammad Ahmad Al-Rashid dalam kitabnya Al-Raqaiq telah memetik sepotong kata-kata Salaf yang berbunyi:

الفترة بعد المجاهدة : من فساد الابتداء

“Futur (kelesuan) setelah mujahadah (berusaha bersungguh-sungguh) adalah berpunca daripada permulaan yang rosak”

Kata-kata ini memberi gambaran bahawa kelesuan dan rasa lemah semangat boleh berlaku di pertengahan sesuatu perkara yang kita lakukan sekiranya ia tidak bermula dengan langkah pertama yang betul. Pastinya kita sentiasa inginkan semangat yang berpanjangan dan berterusan dalam semua kebaikan yang kita lakukan. Oleh itu, pastikan di garis permulaan, kita benar-benar menjadikan niat kita tulus kerana Allah semata-mata, sucikan ia daripada segala keburukan dan mudah-mudahan terhindar daripada setiap perkara yang tidak baik.

Justeru, marilah kita mulakan tahun baharu ini dengan kembali kepada Allah dan mempersiapkan diri dengan niat yang benar dan azam yang kukuh. Tetapkan segala perancangan dan sasaran yang ingin dicapai sepanjang tahun, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk keluarga, masyarakat, organisasi dan sebagainya. Orang yang gagal dalam merancang pastinya adalah mereka yang merancang untuk gagal.

Setelah berazam, maka berdoa dan bertawakkallah. Amalkanlah doa ini agar Allah sentiasa mengurniakan petunjuk, semangat dan kekuatan serta menghindarkan diri kita daripada kesesatan dan kelemahan:

رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya

Selamat menghadapi Tahun Baharu 2023 yang pastinya terbentang pelbagai cabaran yang baharu buat semua. Mulakanlah tahun ini dengan sofa’ al-ibtida’ (permulaan yang suci). Permulaan yang baik pastinya akan menjamin kesudahan yang baik dengan izin Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Ustazah Nur Fatin Halil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *