Imam Baqi Bin Makhlad : Simbol Sebuah Kesungguhan
Sedar tak sedar kita sudah hampir ke penghujung bulan Jamadil Akhir 1444H. Bagi umat Islam, ada banyak peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini. Antaranya ialah pemergian seorang cendakiawan ulung umat Islam Andalusia pada awal abad ke tiga. Beliau ialah Al-Imam Baqi Bin Makhlad. Sumbangannya amat besar sehingga menjadi pencetus kepada perkembangan keilmuan khususnya dalam ilmu tafsir dan hadis di Kota Andalus dan sekitarnya. Beliau telah meninggal dunia pada 28 Jamadil Akhir 276H.
Ramai antara kita yang mungkin tidak pernah mendengar nama ini. Nama panjangnya Abu Abdul Rahman Baqi Bin Makhlad Bin Yazid Al-Andalusi Al-Qurthubi Al-Hafiz. Beliau dilahirkan di Cordoba, Andalus pada sekitar tahun 200H. Beliau merupakan ulama hadis dan tafsir yang masyhur, thiqah, zuhud, mencintai faqir miskin, rajin berpuasa dan beribadah, serta sangat luas dan mendalam ilmunya. Beliau sangat tekun dan serius dalam menuntut ilmu selama 26 tahun.
Baqi Bin Makhlad mempunyai perjalanan yang panjang dalam menuntut ilmu. Pada awalnya beliau telah mengambil hadis daripada anak-anak murid Imam Malik di sana, kemudian berhijrah ke Maghribi untuk mengambil hadis daripada tokoh-tokoh hadis di sana selama beberapa tahun. Kemudian berhijrah sekali lagi ke kota Baghdad atas niat yang sama sebelum kembali berkhidmat ke tanah kelahirannya sendiri. Sepanjang permusafiran itu beliau hanya berjalan kaki tanpa apa-apa haiwan tunggangan. Beliau selalu menolak apa-apa pemberian daripada para pemimpin yang ingin memberi penghargaan kepadanya.
Para ulama silam telah memberi beberapa pengiktirafan kepada beliau. Imam Az-Zahabi mencatatkan bahawa Musnad Baqi antara yang terbanyak meriwayatkan hadis kerana ia meriwayatkan daripada lebih 1300 orang sahabat. Begitu juga dengan kitab tafsirnya. Imam As-Sayuti yang meriwayatkan dari Ibnu Hazm, menyebut bahawa Tafsir Baqi Ibnu Makhlad lebih unggul daripada Tafsir Ibnu Jarir at-Thabari. Walaubagaimana pun, sebahagian daripada karya tulisannya telah musnah selepas kejatuhan Khalifah Abbasiyah pada 656H.
Apa yang dapat diambil daripada kisah muhaddis agung ini ialah kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu. Antara kisah masyhur ialah ketika beliau ingin mengambil hadis daripada Imam Ahmad Ibn Hanbal di Kota Baghdad. Ketika itu berlaku isu “Al-Quran Itu Makhluk” sehingga Imam Ahmad dihukum kerana mempertahankan pendiriannya. Beliau dipenjara dalam rumahnya sendiri dan tidak dibenarkan untuk bertemu dengan sesiapa sahaja.
Imam Baqi hampir berputus asa kerana beliau datang dari jauh untuk berjumpa Imam Ahmad namun keadaan yang berlaku itu tidak seperti yang dijangka. Akhirnya beliau tiada pilihan kecuali menyamar menjadi seorang fakir miskin yang meminta sedekah di sebalik pintu rumah tokoh tersebut. Setiap hari beliau akan datang dengan pakaian yang koyak serta kain yang berbalut di kepala seolah-olah ingin meminta sedekah. Sementara itu beliau mendengar sambil mencatit tiga hingga empat buah hadis daripada Imam Ahmad setiap hari.
Tahun demi tahun berlalu, akhirnya khalifah yang memenjarakan Iman Ahmad diganti oleh Al-Mu’tasim. Kemudian Imam Ahmad dibebaskan. Halaqah-halaqah hadis Imam Ahmad bermula seperti biasa. Berbondong-bondong orang luar masuk ke Baghdad untuk menghadiri halaqah Imam Ahmad seperti sebelumnya. Namun, selepas tempoh hukuman, Imam Ahmad menunjukkan betapa istimewanya kedudukan Imam Baqi di sisinya. Setiap kali hendak bermula halaqah hadis, Imam Ahmad akan sediakan satu ruang khas di sebelahnya sebagai tempat duduk untuk beliau. Imam Ahmad juga pernah membatalkan halaqah hadis lalu menziarahi beliau selepas memaklumi bahawa beliau tidak hadir ke halaqah hadis kerana jatuh sakit.
Kesungguhan dan kesabaran dalam menuntut ilmu merupakan perkara yang dituntut dalam agama. Imam Baqi Bin Makhlad telah menunjukkan kepada umat Islam supaya sentiasa mempunyai tekad dan kesungguhan dalam menguasai suatu ilmu. Sekiranya kita berada dalam situasi demikian, mungkin ramai yang akan mengambil langkah untuk bertenang, mencari peluang yang lebih selesa dan selamat seperti pergi ke halaqah lain, bercuti dan sebagainya. Tetapi lain pula hal nya dengan Imam Baqi yang memilih untuk terus berjalan kehadapan sambil merempuh apa jua mehnah yang ada dengan penuh kesabaran. Semoga Allah Taala mengangkat beliau dengan mengurniakan ganjaran yang tertinggi dan semoga kisah beliau ini menjadi roh peniup semangat untuk generasi kita hari ini.
Wallahu a’lam
Ustaz Abdul Halim Ismail
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)