Bagaimana Ayah Menjadi Pelindung Kepada Anak-Anak?
Sesi forum semalam saya sempat berkongsi mengenai satu perspektif Qurani bagaiamana peranan ayah dalam melindungi anak-anaknya, khususnya wanita.
1. Kesolehan ayah adalah salah satu faktor yang besar perlindungan Allah kepada anak-anaknya.
Ini kerana hakikat penjagaan adalah penjagaan Tuhan ke atas anak-anak kita. Segala yang datang secara alam lahiriah yang kita cerap ini hanyalah suatu gambaran keizinan dan kehendak Tuhan.
Oleh itu, daripada hanya melihat aspek yang teknikal dan zahir, seorang ayah perlu melihat kerangka alam ini secara zahir dan batin. Seorang ayah perlu melihat apa yang dia lakukan dalam kehidupannya mempunyai ‘chain-reaction’ ke atas kehidupan keluarganya, termasuklah anak-anaknya. Jadi permasalahan ‘peribadi’ si ayah, apabila sudah menjadi ketua keluarga, ia adalah permasalahan keluarga, bukan lagi permasalahan peribadi.
Jadi segala usaha secara teknikal dalam melindungi anaknya tidak boleh lari daripada usaha memperbaiki peribadi seorang ketua keluarga yang mana keputusannya, pandangannya, perangainya memberi kesan secara langsung kepada apa yang berlaku kepada keluarganya.
Ini adalah inspirasi daripada kisah dua anak yatim yang dijaga hartanya oleh Allah SWT, dek kerana kesolehan bapanya ketika beliau hidup, seperti di dalam Surah Al-Kahfi.
2. Semaikan benih tauhid dan keimanan pada anak-anak.
Ini adalah langkah pertama bagi anak-anak memulakan kehidupan, agar mereka melihat kerangka kewujudan ini dalam kerangka ketuhanan.
Agar mereka memahami tidak ada daya dan upaya dari kalangan makhluk untuk memberi manfaat atau mudarat, melainkan hanya dengan keizinan dan kehendak Allah semata-mata.
Benih tauhid yang subur akan membentuk muraqabah dan ihsan, merasakan mereka diawasi, dilindungi, dijaga, oleh Tuhan yang Maha Kuasa.Dengan dzon yang begitu kepada Tuhan, perlindungan Tuhan padanya menjadi suatu perkara yang ‘tabie’ dan ‘semulajadi’, dari aspek kerohanian dan diterjemahkan ke aspek-aspek lain.
Ini diinspirasi daripada kisah Maryam AS apabila didatangi Jibril AS sebagai seorang lelaki untuk mengkhabarkan perihal kehamilannya terhadap Nabi Isa AS, beliau menjawab : “Sesungguhnya aku berlindung pada Ar-Rahman daripadamu, jika sekiranya engkau orang yang bertaqwa”.
Ia juga kefahaman hadis Ibnu Abbas RA ketika kecil di mana beliau diajar oleh Rasulullah SAW : “Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu”.
3. Ajari anak untuk berpegang pada syariat.
Perlindungan secara teknikal yang pertama perlu kita ajari anak kita adalah pematuhan kepada syariat agama. Ini kerana sekiranya akidah mempertahankan kita daripada kesyirikan dan kerosakan rohani dan akal, syariah akan mempertahankan kesejahteraan tubuh badan secara zahir (dan batin), serta memberi petunjuk kepada kehidupan yang sempurna.
Ini kerana syariat adalah ibarat akal yang berfikir di alam realiti, yang menentukan baik buruk perkara luaran yang kita tidak tahu. Bak kata Al-Imam Al-Ghazali RHM : “Syarak adalah akal di luar, sepertimana akal adalah syarak di dalam”.
Ini diinspirasikan juga oleh kisah-kisah para anbiya’ yang mengaitkan ketaqwaan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada Rasul sebagai suatu bentuk perlindungan daripada azab dan bencana. Demikian juga sebagaimana istighfar dan kembali kepada-Nya akan menjemput rahmat-Nya secara zahir dan batin.
Dalam isu berpegang kepada syariat, ditekankan isu perhubungan berlainan jantina, isu pengasingan bilik, isu aurat, isu kehormatan dan seumpamanya. Semua ini ibarat kulit yang menjaga isi buah, dan ibarat baju besi yang melindungi jasad manusia.
Demikianlah sedikit sebanyak perkongsian mengenai perspektif Al-Quran dalam menanggapi bagaimana si ayah boleh menjadi pelindung kepada anak-anaknya. Adapun aspek-aspek lain, seperti aspek psikologi, teknikal dan pemantauan, saya serahkan kepada mereka yang berkepakaran dan berkeahlian dalam bidangnya.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)