Mencari Titik Kebenaran
Kebenaran berada pada titik pertengahan antara dua titik keterpesongan.
Perjuangan ulama ummah mengembalikan kesedaran dan kefahaman umat pada titik pertengahan itu dengan bijaksana dan saksama, meneliti baik buruk sesuatu keadaan, masa dan perihal individu atau masyarakat semasa.
Kadangkala ulama mengeluarkan pandangan yang sedikit lembut dan halus, mungkin dilihat terlalu lembut, bagi menarik kesedaran dan kefahaman umat yang terlalu keras dan rigid, bagi membawanya kepada titik pertengahan.
Begitu jugalah sebaliknya, jika keadaan umat terlalu lembut dan lebih kepada sikap pasif dan bermalas-malasan, maka gesaan ulama pada ketika itu harus dilihat lebih keras dan tegas, bagi membawanya kepada titik pertengahan.
Proses ‘tarik tali’ ini antara dua titik atau dua kutub yang bertentangan ini berlaku pada setiap bidang ilmu syariah, sepertimana ia juga berlaku pada peringkat tasawwuf dan akidah.
Akidah yang terlalu menurut logika akal hingga menghilangkan kekudusan wahyu akan menarik seseorang ke garis kelompok muktazilah dan qadariyah.
Demikian pula seseorang yang menghilangkan peranan akal akan menatijahkan cara fikir jahmiyah dan jabariyah.
Demikian juga dalam berinteraksi dalam ayat sifat, terlalu isbat hingga memberikan ruang akal dalam takyif akan membawa kepada tajsim, tasybih dan tamsil. Terlalu menafikan hingga menafikan apa yang Allah SWT sebut mengenai diri-Nya akan membawa kepada ta’thil.
Begitulah juga dalam perkara-perkara lain. Seruan untuk bersederhana adalah seruan untuk ummah kembali kepada jalan yang benar, tidak terpesong ke kanan atau ke kiri.
Namun yang lebih besar daripada itu, adakah para ulama bersedia untuk berbincang, dan bersepakat bahawa sudah di manakah beradanya titik ummah pada hari ini, hingga boleh ditarik samada ke kanan atau ke kiri, bagi melorongkannya kembali ke jalan kebenaran?
Itulah kerja yang lebih besar, iaitu menentukan letak duduk permasalahan hari ini, agar tidak mengulangi kitaran yang sama, dengan modal dan hujjah yang sama, mewarisi pergaduhan yang sama, hingga menenggelamkan kita daripada suatu projek yang sepatutnya kita usahakan bersama, memartabatkan kembali ummah ini di mata dunia?
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)