Perutusan Tahun Baru Pengerusi MUIS (2021 Masihi)
Majlis Ulama ISMA (MUIS) ingin mengucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia selamat menyambut tahun baru 2021 Masihi.
Sempena ketibaan tahun 2021, saya ingin mengajak untuk memuhasabah kembali perjalanan negara yang penuh dengan cabaran pada tahun lalu, khususnya perkara berkenaan Covid-19 dan ketidakstabilan politik negara.
MUIS mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menginsafi bahawa negara kita masih belum menang sepenuhnya dengan wabak Covid-19 ini, justeru segala saranan tertentu daripada pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan SOP dan seumpamanya sewajarnya diambil cakna dan dilaksanakan sebaiknya.
Hakikatnya setiap daripada kita berperanan dalam memerangi wabak ini, ia bukan semata-mata tanggungjawab para barisan hadapan sahaja. Setiap kecuaian daripada mana-mana pihak akan ditanggung kesannya oleh seluruh negara.
Dalam isu politik negara, MUIS ingin mengingatkan bahawa umat Islam seharusnya meletakkan kepentingan umum di hadapan berbanding kepentingan survival politik sesebuah parti tertentu atau kelompok tertentu. Kita harus jelas dengan siapa kita berhadapan, dan ke mana kita sedang menuju.
Perbalahan politik yang tidak berkesudahan ini menunjukkan bahawa barisan wakil-wakil rakyat yang dipilih ini tidak jelas halatuju dan perjuangannya, serta tidak jelas agenda yang ingin dibawanya.
Tahun baru yang akan datang dijangka akan lebih mencabar dari sudut ekonomi dunia yang terkesan dengan wabak Covid-19 dan perkembangan politik dunia yang tidak menentu pasti akan memberi kesan kepada isu keselamatan negara baik dari sudut dalaman atau luaran.
MUIS ingin mengajak masyarakat untuk tetap teguh menjaga identiti keislaman yang ada dari aspek individu, keluarga, masyarakat dan negara serta sentiasa meletakkan kesetiaan dalam agenda hidup bernegara kepada umat Islam secara keseluruhannya tanpa dipisah-pisahkan dengan agenda-agenda asing baik berupa politik kepartian atau apa-apa ideologi yang merungkai ikatan ukhuwwah dan kesatuan ummah di bawah akidah Islam.
Dengan nama Allah, kita mulakan langkah kita mengharungi tahun 2021 ini.
Bismillahi Ar-Rahmani Ar-Rahim
Wassalam
Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi MUIS