Kolumnis

Daie Kiriman Tuhan

            Da’i berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud pendakwah.

            Da’i adalah orang yang menjalankan proses mengubah sesuatu keadaan kepada keadaan lain yang lebih baik sesuai dengan ajaran Islam, atau proses mengajak manusia ke jalan Allah iaitu Islam. Da’i ibarat seorang pemandu bagi orang yang ingin mendapat keselamatan hidup di dunia dan di akhirat kelak.

            Oleh sebab itu, seorang da’i memiliki kedudukan yang sangat penting di tengah-tengah masyarakat, dia menjadi contoh teladan bagi masyarakat. Sosok seorang da’i juga mempunyai pengaruh yang amat besar dalam proses dakwah. Manusia akan termotivasi untuk mendengarkan dakwah apabila da’i memberikan kesan penampilan atau qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) yang meyakinkan di hadapan mereka.

            Namun pada masa sekarang, ramai masyarakat muslim yang seharusnya merupakan da’i tidak memiliki sifat-sifat dan kriteria sebagai seorang da’i seperti yang dikehendaki oleh agama Islam sehingga ada yang mencampur adukkan antara hak dan batil. Malah yang lebih teruk lagi menghias perkara yang batil itu supaya nampak seperti perkara yang hak, juga menghalalkan sesuatu yang haram yang tidak kena pada tempatnya.

            Perumpamaannya seperti orang yang ingin berdakwah kepada orang yang minum arak, tidak perlulah sehingga da’i itu perlu minum arak juga. Hal ini menyebabkan dakwah yang disampaikan da’i itu tidak memberikan dampak pada masyarakat yang didakwahkan dan kesannya agama Islam tidak tersebar dengan baik. Sepatutnya da’i dahulu yang perlu mempengaruhi orang yang ingin didakwahkan, bukan lah sebaliknya.

            Seorang da’i perlu menerapkan sifat-sifat dan kriteria berlandaskan ajaran Islam mengikut kehendak Al-Quran dan harus mengikuti kehidupan dan akhlak Rasulullah SAW dalam rutin kehidupannya agar tercapai tujuan dakwahnya kerana Islam. Sedarlah bahawa dakwah ini hanya akan menjadi dakwah yang benar apabila dibawakan oleh seorang da’i yang faham, berakhlak mulia serta bersifat dengan sifat pendakwah yang digariskan Islam.

            Sebagai umat Islam kita perlu bersungguh-sungguh menyahut seruan Rasulullah SAW yang dibuat secara jelas tanpa memerlukan sebarang takwilan. Antara perkara yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah berusaha meneruskan dakwah menyebarkan ajaran Islam yang dibawanya. Sabda baginda SAW 

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Bermaksud:  Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

            Selain itu, da’i juga perlu tahu apa ajaran dakwah yang ingin disajikan kepada manusia. Da’i hendaklah mengetahui dan menguasai kandungan dakwah baik dari segi akidah, syariah, mahupun dari segi akhlak. Allah SWT berfirman:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ

Bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu.

(Surah An-Nahl: 125)

            Ayat ini menunjukkan bahawa da’i perlu menyeru manusia kepada jalan Tuhan dan bukan jalan-jalan yang lain kerana hanya jalan Allah sahaja merupakan jalan yang lurus. Jalan-jalan lain yang terbentang akan memisahkan dan menyesatkan manusia.  Oleh itu, seluruh da’i dari masa ke semasa hingga akhir zaman tiba, telah disatukan oleh kesatuan tugas dan tujuan utama, iaitu mengajak manusia kepada Allah dengan menyembah-Nya, tanpa mempersekutukan-Nya dengan ilah-ilah (sembahan) yang lain.

            Pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini tidak mampu dibalas oleh umatnya. Rasulullah SAW menerima banyak ujian dan rintangan sepanjang melaksanakan amanah menyebarkan Islam. Baginda SAW sanggup menempuhi segala cabaran dengan sabar dan berharap agar umatnya dapat meneruskan kesinambungan dakwahnya seperti pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya:

يَٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ

Bermaksud: Wahai anakku, dirikanlah solat dan ajaklah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar.

(Surah Luqman: 17)

            Jadilah da’i kiriman tuhan yang asli tanpa dipengaruhi oleh sebarang celupan barat atau sebarang ideologi yang menyesatkan dan bertentangan dengan Islam. Gigitlah Islam itu dengan gigi geraham dan sampaikan ia kepada manusia supaya Islam terus tersebar dalam bentuk yang asal sehingga ke anak cucu kita. Mohonlah pertolongan dari Allah nescaya Allah sentiasa bersama dengan penolong-penolong agamaNya seperti firman Allah SWT:

یَأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ یَنصُرۡكُمۡ وَیُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُم

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.                                      

(Surah Muhammad : 7)

            Sebagai akhir kata dari saya hamba Allah yang serba kekurangan ini, saya berkeinginan untuk mengemukakan beberapa saranan kepada para da’i di luar sana:

1. Keikhlasan

Ikhlaskan segala amal semata-mata hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah, supaya tidak ada unsur riya’ dan bukan untuk ingin dikenali dan tidak mengharapkan balasan keduniaan yang hanya  bersifat sementara.

2. Kesabaran yang tinggi

Sabar merupakan senjata orang-orang beriman dalam menghadapi liku-liku perjalanan dakwah kerana sunatullah telah menetapkan bahawa para da’i akan berhadapan dengan musuh-musuh yang sentiasa melemahkannya. Yakinlah pertolongan-Nya pasti datang selama kits bersabar dalam ujian-Nya.

3. Perbaikilah diri kamu serta serulah orang lain (أصلح نفسك وادع غيرك)

Proses memperbaiki diri menjadi seorang da’i yang baik perlu seiring dengan usaha menyampaikan dakwah kepada orang lain. Kerana proses belajar untuk menjadi hamba Allah yang terbaik tidak ada noktahnya, oleh itu sentiasalah berusaha menuntut ilmu dan memperbaiki diri disamping tetap menyampaikan seruan yang baik kepada jiran-jiran, kawan-kawan, ahli keluarga dan saudara-mara.

4. Bersegera bertaubat jika berbuat dosa.

Setiap hari manusia melakukan kesilapan kerana sifat manusia itu sendiri yang tidak sunyi dari kesilapan. Yakinlah bahawa sejauh mana manusia tergelincir dan melakukan kesilapan, Allah SWT sentiasa sudi mengampunkan seandainya kita kembali kepada-Nya.

Meskipun pintu taubat Allah SWT itu terbentang luas, ia ada tarikh akhirnya iaitu pada saat seseorang itu hampir menuju kematian dan ketika dunia tiba ke detik akhirnya iaitu hari kiamat.

Wallahua’lam.

Oleh : Ustazah Hidayatul Sakinah binti Mohd Zulkifli
Penyelidik MUIS



Leave a Reply