DakwahFiqh Semasa

Saranan Umum untuk PKPP

Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, suka untuk saya berikan beberapa poin untuk kita sentiasa meletakkan diri kita di bawah panduan syarak :

1. Amalkan segala SOP yang berkaitan demi menjaga keselamatan awam, sentiasa ingat bahawa kepatuhan kepada SOP adalah kepatuhan kepada agama.

ياءيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta pemimpin di kalangan kamu” – Surah An-Nisa’, ayat : 59

2. Tingkatkan kesedaran diri dan merasakan bahawa setiap perkara adalah di bawah aturan Tuhan. Hindari sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Muhasabah yang kita lalui sepanjang PKP dan bulan Ramadan itu sepatutnya berkekalan dan berterusan. Jangan putuskan rasa ‘khauf’ (takut) dan sentiasa pupuk rasa pengharapan kepada rahmat Allah SWT. Ketahuilah bahawa setiap kesukaran akan berakhir, dan menanti ‘hari yang cerah’ adalah sebahagian daripada ibadah yang mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

ما أصاب من مصيبة في الأرض ولا في أنفسكم إلا في كتاب من قبل أن نبرأها

“Tiada musibah yang menimpa kamu baik di bumi atau pada dirimu sendiri melainkan ia sudah pun tercatat di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami ‘mencipta’nya” – Surah Al-Hadid ayat : 22

3. Norma baharu sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab dan berperanan perlu diteruskan. Sebagai ibu, sebagai ketua keluarga, sebagai jiran tetangga, sebagai ahli keluarga dan sebagai hamba Allah SWT. Anggaplah kita telah melalui satu ‘sekolah’ yang mendidik kita untuk Kembali kepada tugasan asasi kita sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab kepada keluarga, komuniti, masyarakat dan negara. Sahutlah seruan Allah SWT ini untuk kita terus menjadi hamba-Nya yang cemerlang dan bertanggungjawab.

ياءيها الذين آمنوا استجيبوا لله وللرسول إذا دعاكم لما يحييكم

“Wahai orang yang beriman sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya apabila dia menyerumu kepada apa yang menghidupkanmu” – Surah Al-Anfal, ayat : 24

4. Sentiasa fahami bahawa tabiat kehidupan manusia adalah bersosial dan berkomunikasi. Letakkan dalam diri bahawa kita harus berhubung dan bertemu, bagi menyempurnakan sisi kemanusiaan kita. Di situlah terletaknya ketinggian nilai budi pekerti yang baik, dan di situ jugalah tempat kita menambah pahala dan menghapuskan dosa. Saranan hadis bahawa apabila dua muslim bertemu dan bersalaman maka akan gugurlah dosa-dosanya seperti daun-daun kering, itu sepatutnya dijadikan tema utama dalam setiap hari kita keluar dari rumah.

اتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن

“Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan ikutilah keburukan (yang telah kamu lakukan) dengan kebaikan nescaya ia akan memadamkannya (keburukan tersebut), dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik” – Hadis Hasan Riwayat Tarmizi

5. Jangan takut dan resah dengan masa depan yang tidak menentu. Ketahuilah bahawa Allah akan menjaga hamba-Nya dan menyediakan yang terbaik buat hamba-Nya. Letaklah pengharapan kepada Allah SWT yang memberi rezeki dan membuka pintu-pintunya. Jangan kerisauan dan kegelisahan kita menjauhkan kita daripada Tuhan, sedangkan semua rezeki adalah daripada-Nya jua.

الله لطيف بعباده يرزق من يشاء

“Allah itu Maha Lembut terhadap hamba-Nya, Dia jugalah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mahu”, Surah Asy-Syura, ayat : 19

6. Bersedialah untuk perkara-perkara di luar jangkaan. Setiap perkara ada permulaannya, dan setiap perkara yang besar pasti ada mukadimahnya. Keberadaan kita dalam tempoh PKP ini anggaplah ia sebagai tempoh persediaan bagi perkara yang lebih mencabar. Kita bukan mengharapkan kecelakaan, tetapi kita bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk keadaan dan situasi yang bakal berlaku.

أفأمنوا مكر الله فلا يأمن مكر الله إلا القوم الخاسرون

“Adakah mereka itu merasa aman daripada perencanaan Allah ? Maka tiadalah berasa aman daripada perencanaan Allah melainkan orang-orang yang rugi” – Surah Al-A’raaf, ayat : 99

7. Tetapkan dalam diri kita keyakinan bahawa sebesar-besar nilaian manusia adalah pada agamanya. Agama ini yang akan menjaga seseorang manusia daripada kerosakan dunia, sepertimana ia juga yang menyelamatkannya daripada seksaan di akhirat.

Hayatilah setinggi mungkin nilai ini dan rasailah kemuliaan yang telah Allah berikan kepada manusia, apabila dia menghayati dan memahami agama Islam ini. Ini terbukti dengan kepatuhan kita terhadap saranan dan polisi awam, serta kefahaman kita terhadap agama yang memudahkan proses memerangi wabak ini. Ini juga hanyalah satu sisi daripada banyak sisi keunggulan yang ditunjukkan oleh Allah SWT dalam membuktikan kebenaran agama ini.

سنريهم آياتنا في الآفاق وفي أنفسهم حتى يتبين لهم أنه الحق

“Kami akan menunjukkan ayat-ayat Kami (petanda) di seluruh ufuk dan pada diri mereka itu sendiri, hinggalah jelas nyata kepada mereka bahawa ia (agama Islam) itu adalah benar” – Surah Fussilat, ayat : 53

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *