Adakah wujud manusia atau organisasi tanpa kesalahan?

Konsep bebas daripada kesalahan adalah sebuah konsep yang wujud di dalam Islam, perkara ini dibahaskan di dalam konteks manusia yang bebas daripada kesalahan iaitu para anbiya melalui konsep عصمة dan juga pada Jamaa’atul Muslimiin (Ummah Islamiyah).

Di awal surah An-Najm menerangkan berkaitan konsep عصمة, iaitu para Anbiya’ tidak melakukan kesalahan :

(مَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (٣) إِنْ هُوَ إِلا وَحْيٌ يُوحَى (٤)”
“Dan dia (Muhammad SAW) tidak mengatakan menurut kemahuan dan pandangan dirinya, semua yang dikatakan tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” – Surah An-Najm, ayat 3-4

Begitu juga Nabi Muhammad S.A.W. menyifatkan kepada jemaah muslimiin (ummat) di dalam hadis riwayat Tarmizi (2167) seperti berikut:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( إِنَّ اللَّهَ لَا يَجْمَعُ أُمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ ، وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الجَمَاعَةِ ) وصححه الألباني في “صحيح الترمذي”
“Sesungguhnya Rasulallah S.A.W bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umat aku atas kesesatan, dan tangan (kuasa) Allah bersama al-jamaah” riwayat At-Termizi dan dinilai Sohih oleh Albani.

Hadis ini menjadi asas kepada pandangan Imam-Imam mazhab dalam menerima keabsahan ijma’ sebagai hujah.

2 sudut yang perlu difahami bagi mendalami isu ini; sudut individu dan sudut ‘jemaah’.

1) Sudut Individu
Persoalan yang timbul, bolehkah seseorang individu mendakwa عصمة, iaitu bebas daripada kesalahan?

Jawapannya cukup jelas tidak mungkin. Sepertimana yang berlaku di dalam ajaran sesat Shiah dan tarikat-tarikat yang telah difatawakan sesat seperti Aurad Muhammadiyah (Arqam).

Konsep bebas daripada kesalahan membawa implikasi bebas daripada dosa, dan perkara ini bercanggah dengan usul Aqidah dan sorih (yang jelas) daripada nas (ayat Quran dan hadis) bahawa hakikat manusia dicipta akan ada kesalahan dan perkara yang betul, seperti ayat Quran :

وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ
“Dan Kami tunjukkan kepada mereka (manusia) dua jalan (baik dan buruk)” – Surah Al-Balad, ayat 10

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
“Dan kami ilhamkan kepada mereka (mengenai) jalan kepada kejahatan dan jalan kepada ketaqwaan” – Surah Asy-Syams, ayat 7

Dua ayat membawa kepada kesimpulan bahawa setiap manusia berpotensi untuk melakukan kesalahan, dan tiada insan yang sempurna bebas daripada kesalahan melainkan Nabi Muhammad S.A.W.

كل بني آدم خطاء, وخير الخطّائين التوابون”. (الترمذي وابن ماجه والحاكم وصححه)
“Setiap bani Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah yang bertaubat” Riwayat Termizi dan Al-Hakim (dishahihkan oleh Al-Hakim).

Walaubagaimanapun, perlu diperhalusi dari dua sudut,

Pertama; perkara ini tidak menafikan ketepatan seseorang yang sudah mendapat hidayah dan ditunjukkan jalan oleh Allah. Maka hadis lain seperti firasat mukmin dan ketepatan individu yang mendapat hidayah perlu difahami sebagai suatu perkara yang realisitik dan bisa berlaku kepada sesiapa sahaja.

Kedua, bagaimana ingin mengetahui ketepatan? Allah dan Rasul-Nya menyebut dengan lafaz sorih (jelas) seperti berikut:

” فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر “
Sekiranya berbeza maka kembalikanlah urusan tersebut kepada Allah (Quran) dan Rasul (hadis)….” Surah An-Nisa’, ayat 59.

Maka ianya kembali kepada ijtihad kembali kepada Quran dan Sunnah, dan maklum bahawa ijtihad juga terikat dengan jelas dinyatakan Nabi Muhammad jika betul dua pahala dan sekiranya salah satu pahala, itupun sekiranya benar-benar melalui disiplin ilmu ijtihad yang baik, dan bukan semata dzan (sangkaan) mahupun ‘pengalaman’ semata.

Jika diperhalusi kitab Al-Milal wa-Nihal karangan Al-Shahrastani, apabila diceritakan di dalam bahagian kesesatan yang berlaku di dalam umat Islam, maka majoriti kesesatan bermula dengan individu yang melampau, dan melebihkan pandangan peribadi dan politik melebihi panduan Quran dan Sunnah, dan membina ketaksuban pengikut terhadap sesebuah susuk yang dilihat ‘maksum’ (tiada kesalahan) yang akhirnya aliran tersebut dinamakan dengan sosok tubuh tersebut seperti kumpulan Al-Waasiliyah daripada Abi Huzaifah Al-Wasil dan kumpulan Al-Nadzzomiyah dari Ibrahim An-Nadzzom, dan begitulah seterusnya.

2) Sudut Jemaah.

Hadis-hadis yang dinyatakan perlu difahami dalam konteks yang betul dimana ianya merujuk kepada umat Islam (As-sawaad Al-A’dzom) secara keseluruhan dan bukanlah kepada jemaah tertentu.

Seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawy bahawa “yang wujud harini adalah jemaah-jemaah dari jamaatul muslimiin” dalam memahami maksud hadis tersebut.

Walaubagaimanapun, sekiranya sesebuah organisasi, hidup dengan syura dan berijtihad daripada Quran dan Sunnah, bukankah itu membawa kepada selamat daripada kesalahan?

Jawapannya adalah : Ya dan Tidak.

Ya kerana secara prinsipal dan teorinya begitu. Benar sekiranya syarat ijtihad dipenuhi, syarat syura dipenuhi, terbuka kepada teguran dan penerimaan pandangan organisasi lain, dan pelbagai syarat lain.

Namun pada satu sisi yang lain, ia tidak pula terjamin melainkan dengan usaha yang kuat dan bersungguh, kerana menaikkan ruh Syura dan ijtihad bukanlah perkara mudah dan diakhirnya akan timbul persoalan pandangan yang betul dan salah.

Ruh ijtihad di sini bukan sahaja merujuk kepada keadaan di mana sesebuah organisasi mempunyai dalil-dalil tertentu dalam tindakan mereka, tetapi ia juga mesti selari dengan prinsip-prinsip Islam dan amal Islami secara berorganisasi yang juga dipegang oleh organisasi lain.

Contohnya isu mengiktiraf kepelbagaian kumpulan yang beramal utk Islam, yg mana asasnya adalah memahami bahawa khilaf dlm furu’ (perkara cabang) tidaklah menghapuskan kesatuan umat Islam, bahkan mengiktiraf khilaf itulah yg menyatukan.

Antara contoh ijtihad politik yang selari dengan prinsip Islam pula adalah beberapa prinsip dalam siasah yang tidak boleh dilangkaui seperti menaikkan org kafir dan redha kepada dominasi orang kafir dan seumpamanya.

Malah yang lebih malang lagi wujudnya seruan untuk menghapuskan kerangka siasah berpandukan agama yang membezakan muslim dan kafir, sehingga membawa kepada tiadanya fungsi Islam melainkan slogan-slogan yang hanya menekankan soal nilai tanpa soal syariat.

Perlu ditegaskan di sini bahawa sesebuah organisasi yang sentiasa melihat dirinya betul tanpa menilai kesalahan yang ada akan berhadapan fitnah ghurur, iaitu tertipu dengan amalan dirinya sendiri. Malah konsep seperti istidraj (kebaikan yang membawa kepada kesesatan) sentiasa menjadikan mana-mana organisasi yang inginkan kebaikan berhati-hati terhadap setiap langkah dan kekal muhasabahah.

Itulah semangat yang perlu difahami berdasarkan hadis:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً

“Terpecah Yahudi kepada 71 atau 72 golongan. Dan Nasrani pula terpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku (Umat Islam) akan berpecah kepada 73 golongan” – hadis Riwayat Abu Daud (4596)

Sebuah organisasi yang benar dan jujur akan sentiasa mengiktiraf kekurangan yang didapati daripada muhasabah yang mendalam dan sentiasa memperbaiki kekurangan yang ada di bawah naungan Al-Quran dan Sunnah, dan menjauhi sikap mendakwa-dakwa bahawa organisasi mereka daripada kesalahan.

Walaupun Al-Quran dan Sunnah sudah pun sempurna, tiada organisasi yang sempurna dan suci dari kesalahan walaupun berpandukan Al-Quran dan Sunnah, itulah tabiat harakah perjuangan sejak zaman Nabi Muhammad sehinggalah ke hari ini.

Sedangkan sebaik-baik manusia iaitu para sahabat RA pun pernah ditegur oleh Allah SWT selepas kekalahan di medan Uhud:

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥٓ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَٰزَعْتُمْ فِى ٱلْأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلْءَاخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ ۖ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ
“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan diantara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu, dan sesunguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang orang yang beriman. (Ali ‘Imran 3:152)”

Sehebat-hebat umat Islam pada zaman para sahabat tetap berhadapan kekurangan dan kesilapan, apatah lagi kita pada hari ini, semangat muhasabah inilah yang perlu mengalir dalam organisasi Islam, terutama pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah ideologi dan politik kepartaian melampau.

Kita perlu fahami hakikat ‘maksum’ dan terpelihara daripada kesalahan itu adalah pada kesatuan umat Islam, bukan pada fraksi-fraksi tertentu daripada kalangan umat Islam.

Apa yang lebih utama pada hari ini adalah kesatuan umat Islam dengan kepelbagaian sudut pandangan yang ada dalam perkara furu’, bukanlah dengan mendabik dada dan mendakwa-dakwa seolah bebas daripada sebarang kesalahan, yang akhirnya hanya membawa kita kepada suburnya kebencian dan perselisihan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Naib Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 292 access attempts in the last 7 days.