Khilaf dan ikhtilaf : Mana yang dikeji, mana yang terpuji ?

Menurut pandangan ahli Bahasa Arab, berlaku perbezaan antara dua perkataan walaupun kata dasarnya terdiri daripada perkataan yang sama. Contohnya perkataan خلف dan اختلف. Ini kerana kaedah dalam bahasa arab yang berbunyi:

(زيادة في المبنى يدل على الزيادة في المعنى)

Ertinya: Pertambahan pada huruf perkataan menunjukkan pertambahan pada makna.

Oleh itu, terdapat pelbagai pandangan berkaitan perbezaan maksud khilaf dan ikhtilaf dari sudut istilahnya walaupun kata dasarnya 3 huruf yang sama iaitu: Kha’ Lam, dan Fa’. Yang bermaksud perbezaan. Lawan kepada perkataan إجماع bermaksud sepakat.

Saya cenderung kepada pandangan seorang Sarjana Islam yang bernama: Abul Baqa al-Kafawi (1093H) yang membezakan khilaf dan ikhtilaf dari sudut isitlah kepada 4 perbezaan:

1. pengertian Ikhtilaf:

a. perbezaan hanyalah dari sudut wasilah (cara), tetapi tujuannya sama.

b. kedua-dua pandangan perbezaan bersandarkan kepada dalil.

c. perbezaan tersebut sebagai rahmat, tujuannya adalah ijtihad pada perkara yang memerlukan ijtihad. Bukanlah sebagai perbalahan kerana perbezaan hawa nafsu.

d. jika seorang yang bertaraf Qadhi telah memilih suatu pandangan, tidak harus seorang Qadhi yang lain menolak tarjihnya tersebut (jika mereka di sesuatu tempat/kawasan).

2. Pengertian Khilaf:

a. kedua-duanya berbeza dari tujuan.

a. tidak bersandarkan kepada dalil

c. perbezaan yang kesan darinya melahirkan bida’ah dan perbalahan.

c. jika seorang yang berjawatan Qadhi memilih suatu pandangan, harus untuk menolaknya.

Namun, jika diteliti pandangan beliau, perbezaan yang diketengahkan adalah pada ciri dan sifat perbezaan.

Dapat difahami juga, ada perbezaan yang baik dan buruk. Jika perbezaan yang berlaku menepati ciri-ciri dalam nombor 1 di atas, maka perbezaan tersebut adalah yang terpuji, dan membawa kepada rahmat. Tujuan akhirnya adalah sama. Jika sebaliknya, perbezaan tersebut harus ditinggalkan serta merta kerana boleh membawa perpecahan da mengundang kemurkaan Allah SWT.

Meniliti maksud khilaf dan ikhtilaf ini dan mengaitkannya dengan situasi umat Islam hari ini yang sedang menuju kepada kebangkitan, dan menghadapi pelbagai cabaran; memahami dan membezakan hakikat perbezaan sesama kita adalah sangat penting. Selagi mana perbezaan tersebut ciri-cirinya merupakan Ikhtilaf mengikut pandangan di atas, maka itu akan membawa kepada kesepakatan. Tetapi sebaliknya marilah kita jauhi dan hindari.

Pada pandangan saya perbezaan yang berlaku hari ini dalam kalangan umat Islam, asalnya di sisi Ulama silam merupakan Ikhtilaf yang bermaksud perbezaan yang baik. Namun, apabila telah bercampurnya elemen-elemen taksub, hawa nafsu, tidak berlapang dada perbezaan tersebut telah berpindah kepada menjadi khilaf.

Contohnya adalah seperti perbezaan aliran dalam Akidah seperti Aliran Asyairah , Matrudiyah dan aliran Salafiyyah yang berpandukan kepada Akidah Imam Hanafi jika diteliti dengan baik. Kedua-dua aliran contohnya telah membahaskan bagaimana mengenali Allah SWT. Berdasarkan kepada kajian daripada dalil-dalil, mereka telah berijtihad untuk meletakkan bagaimana mengenali Allah SWT.

Aliran Asyairah telah berijtihad meletakkan sifat-sifat 20 bagi Allah SWT berdasarkan kepada dalil-dalil untuk mengenali Allah SWT. Oleh kerana terdapat pelbagai aliran yang salah ketika itu seperti muktazilah dan lain-lain mereka bertindak untuk menjawab persoalan-persoalan yang timbul tentang Allah SWT dan membetulkan salah faham yang timbul.

Adapun pula aliran Salafi, membahaskan tentang mengenali Allah SWT lebih kepada sudut intipati iman yang kukuh. Oleh kerana itulah timbulnya Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ Wassifat.

Merujuk kepada Nas al-Quran dan Hadis, kedua-dua ijtihad aliran ini adalah bertepatan dan berdiri atas dalil.

Walaupun perbezaan itu seolah-olahnya berlaku, namun hakikatnya mereka bersepakat dalam isu-isu akidah. Misalnya Allah SWT maha Esa. Tiada yang serupa denganNya yang maha Esa. Dialah yang awal tiada sebelumnya apa-apa dan dialah akhir tiada selepasnya apa-apa. Dialah Pencipta dan selainya adalah makhluk.

Perbezaan begini, merupakan ikhtilaf dan bukannya khilaf pada asalnya. Namun, pada zaman sekarang, setiap aliran memaksa menurut pandangannya sahaja. Seolah, mereka yang tidak belajar sifat 20 tidak sah Imannya. Dan sesiapa yang tidak menguasai tauhid 3 serangkai imannya cacat. Perkara ini telah merebak dan melarat dalam kalangan para sarjana Muslim di abad ini.

Oleh itu, saya menyeru kepada berlapang dada dalam isu-isu ini. Kita perlu merungkai semula hakikat khilaf dan Ikhtilaf. Sama ada dalam isu akidah, politik, organisasi, harakah dan lain-lain.

Wallahuallam.

Dr Muhammad Ikram bin Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 291 access attempts in the last 7 days.