Kuasa politik wasilah untuk laksana wahyu, bukan penuhi nafsu
Pada asalnya, seluruh khitab Syarak (merangkumi arahan dan larangan Allah s.w.t dalam Al-Quran dan Sunnah) ditujukan kepada seluruh umat manusia. Namun, banyak arahan dan larangan tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa kekuatan sebuah negara, yang diketuai oleh seorang ketua dan barisan kepimpinan negara beragama Islam.
Sebab itulah sepanjang sirah dan sejarah umat terdahulu, di samping mendidik dan menyebarkan risalah, mereka sentiasa berusaha mengukuh dan meluaskan kuasa mereka dalam bentuk kekuatan sebuah negara, yang diketuai oleh imam, khalifah, amirul mukminin, atau sultan yang beragama ISLAM.
Rasulullah dan para Sahabat berjaya membina negara Islam Madinah. Para Sahabat, salafussaleh serta generasi seterusnya berjaya mendirikan kerajaan Islam unggul di Damsyiq, Baghdad, Sepanyol dan Istanbul sehingga berjaya mencapai puncak ketamadunan.
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Al-Nur: 55)
* * *
Kuasa politik dan negara bukanlah matlamat, tetapi wasilah (jalan/mekanisme) bagi mencapai matlamat agung, iaitu membawa rahmat kepada seluruh alam, mengangkat darjat manusia dengan menyerunya tunduk kepada kepada Tuhan Yang Maha Menciptakan, menarik manusia dari lembah kehinaan dengan membebaskannya daripada perhambaan kepada manusia & iblis yang tidak mampu memberi manfaat kepadanya sedikitpun di dunia dan akhirat.
Matlamat rahmat seluruh alam ini hanya akan tercapai apabila seluruh khitab Syarak dilaksanakan dengan sempurna (secara berperingkat-peringkat), dipimpin dan dinaungi oleh sebuah kerajaan yang didominasi oleh barisan kepimpinan beragama Islam, seperti mana yang berlaku sepanjang zaman kegemilangan umat Islam terdahulu.
Malangnya, kuasa politik dan negara Islam yang berdiri selama 1300 tahun itu akhirnya jatuh pada 100 tahun yang lalu, lantas menyebabkan segala khitab Syarak (yang telah diwakilkan oleh umat Islam kepada kepada kepimpinan negara Islam untuk melaksanakannya) perlu digalas kembali oleh umat Islam, kerana jatuhnya ‘wakil’ mereka itu. Menjadi kewajipan umat Islam berusaha membina semula wasilah dan melantik wakil yang telah lama jatuh ini demi memastikan seluruh makhluk di muka bumi ini mendapat rahmat-Nya.
Ini berdasarkan beberapa qaedah yang dapat disimpulkan daripada kitab al-Ghiyathi karya Imam Al-Juwayni, seperti berikut:
ان الخطابات الشرعية في أصلها موجهة إلى الأمة بعمومها على الاطلاق
“Pada asalnya, khitab-khitab Syarak ditujukan kepada ummah amnya secara mutlak”
الإمام وكيل عن الأمة فاذا زال الوكيل ييقى الأصيل
“Imam/khalifah adalah wakil kepada ummah. Jika hilangnya wakil, prinsipal (ummah) tetap kekal (wajib melaksanakan kewajipannya yang asal).”
سقوط الوسيلة لا يسقط الغاية
“Jatuh/gugurnya wasilah tidak menggugurkan matlamat”
Al-Juwayni juga telah mengemukakan satu lagi qaedah dalam situasi ketiadaan khalifah iaitu “urusan-urusan negara dan umat Islam diwakilkan kepada ulama jika terdapat halangan untuk melantik seorang khalifah.” (Al-Ghiyathi, m. 391)
Ini kerana, khalifah) ketika kewujudannya (disunatkan untuk merujuk & syura dengan para ulama bagi mendapatkan manfaat daripada pandangan-pandangan mereka. Maka dalam ketiadaan khalifah lebih-lebih lagilah umat Islam amat dituntut untuk merujuk ulama untuk mengurus dan mentadbir negara. (Al-Zabdani, al-Siyasah al-Syar’iyyah ‘inda al-Juwayni, m. 337)
* * *
Inilah tasawwur (gambaran dan kerangka umum) terhadap matlamat dan wasilah kuasa politik dan kepimpinan negara yang patut difahami oleh umat Islam di Malaysia. Baik pengundi, ahli parti, ahli parlimen, calon menteri mahupun perdana menteri itu sendiri.
Dalam konteks Malaysia, penglibatan umat Islam – atas apa juga kapasiti termasuk pengundi – dalam sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan (meskipun ia tidak ideal & masih banyak perlu dibaiki berlandaskan lunas Syarak), haruslah dengan matlamat yang jelas untuk membawa rahmat kepada seluruh alam, melalui wasilah yang patuh Syarak iaitu mengangkat pemimpin Muslim seramainya ke dewan rakyat dan kabinet. Pemimpin Muslim yang mempunyai kekuatan untuk memperjuangkan agenda Islam demi merealisasikan seluruh Syariat Islam secara berperingkat-peringkat.
Mengapa Syariat Islam? Mengapa tidak kapitalisme, sosialisme, komunisme atau lain-lain ideologi dan sistem yang bertunjangkan hawa nafsu manusia dan iblis?
Sudah tentulah kerana Tuhan yang Maha Menciptakan alam ini sahajalah yang mengetahui segala rahsia dan keperluan seluruh makhluk-Nya, termasuk juga apa yang manusia perlukan dan apa yang memudaratkan manusia.
Adakah logik Tuhan yang menciptakan makhluk menurunkan wahyu yang tidak sesuai, malah bercanggah dengan maslahah dan keperluan makhluk-Nya? Mustahil sama sekali.
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah” (Al-Maidah: 50)
Selaku pengundi beragama Islam, tidak seharusnya kita berjuang mengangkat pemimpin yang hanya ingin memenuhi hawa nafsunya (atau kelompok tertentu di belakangnya), apatah lagi pemimpin non-Muslim berfahaman sosialis komunis yang konsisten mencabar hak dan sensitiviti umat Islam dan Melayu yang merupakan bangsa majoriti Islam di Malaysia.
Cukuplah satu tahun lebih umat Islam terseksa menahan sabar melihat negara Malaysia dicemari pemimpin-pemimpin yang sebelum PRU-14 dikatakan adil, bersih, ‘good governance’, tetapi terbukti sebaliknya dalam tempoh yang singkat (tetapi dirasakan lama akibat asakan demi asakan yang konsisten terhadap Melayu dan Islam).
Wallahu a’lam bissawaab
Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)