Perebutan kuasa bukan semata-mata isu pentadbiran, ia adalah isu agenda

Mungkin ada setengah pihak yang menilai bahawa perebutan kuasa politik hanya bagi mentadbir negara dengan penuh cekap dan sifar ketirisan.

Hakikatnya mana-mana parti politik pun tidak akan terlepas daripada kesilapan dan kecuaian. Jika itu yang dicari pasti akan jumpa dan boleh dihebohkan di media-media sosial.

Dulu masa nak jatuhkan BN, media PR dan PH akan cari sebanyak mungkin isu untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu walaupun sebahagiannya dengan menggunakan isu-isu yang direka-reka seperti cincin 24 juta dan seumpamanya.

Demikian juga untuk menjatuhkan PH, ada juga pihak yang memainkan isu pentadbiran yang tidak cekap yang banyak seperti isu kes Adib yang tidak terbela sampai ke sudah, YB yang terkait dengan LTTE yang dilepaskan kesemuanya, dan seumpamanya.

Namun kita jarang melihat perkara yang lebih penting dan lebih mendasar, iaitu apakah agenda yang dibawa oleh setiap gabungan yang membentuk kerajaan.

Ke mana negara ini akan pergi ? Bagaimana masa depan umat Islam jika keadaan ini berterusan ?

Apabila kita hanya memikirkan soal teknikal dan kerja-kerja KPI tertentu, (walaupun ia boleh juga dijadikan kayu ukur kelayakan seseorang untuk memimpin negara), dan kita melupakan isu agenda yang lebih besar tadi, hakikatnya kita hanya bermain di isu-isu permukaan.

Orang kafir dengan segala daya dan upaya mereka boleh melakukan ‘make-up’ dalam pengurusan dan pentadbiran hingga lihat ‘adil’ dan ‘saksama’, tetapi diri mereka tidak akan meredhai agenda Islam itu tertegak dan umat Islam itu memimpin.

Siapa yang melihat sesuatu pemerintahan itu secara luaran, mereka akan mudah tertipu. Tertipu dengan pembentangan, media, dan kenyataan-kenyataan rasmi seolah-olah menunjukkan bahawa mereka ini benar-benar jujur dalam mentadbir Malaysia tanpa sebarang ‘bias’ kepada bangsa dan agama mereka.

Tetapi sesiapa yang memahami isu kuasa adalah isu agenda, maka dia akan faham kenapa kena pilih pemimpin orang Islam, dan kenapa orang Islam mesti dominan dalam kerajaan.

Ini kerana hanya orang Islam sahaja yang memikirkan nasib umat Islam. Dan hanya Islam sahaja yang tidak menindas mana-mana agama dan bangsa lain, apabila Islam dan umatnya mendapatkan dominasi, mandat dan kuasa dalam sesebuah negara.

Demikianlah bagaimana kita memahami perkaitan di antara politik dan agama, yang mungkin tidak difahami oleh mereka yang memisahkan antara imam solat dan pemerintah negara.

Wallahua’lam bissawab.

Ustaz Syamil Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 291 access attempts in the last 7 days.