Umum

3 langkah kalau tinggal solat bertahun!

Soalan: Ustaz saya sudah bertahun-tahun tinggal solat, bagaimana nak qadha’ ?

Pertama, soalan menggambarkan seorang yang menggenggam erat hidayah Allah! Beliau berfikir ingin kembali kepada Allah setelah jauh untuk satu tempoh, teramat jauh.

Soalan kembali kepada Allah merupakan langkah pertama ke syurga, insya’allah.

Jawapan:
Dimensi solat agak unik, kerana solat mempunyai waktu-waktu tertentu untuk disempurnakan. Maka dimensi perlaksanaan solat ada 3; adaa’ – qodho’ – i’aadah (rujuk gambar 1).

Memahami dimensi pembahagian ini, meletakkan kita sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah. Contohnya jika solat selesai secara individu, tapi tiba-tiba ada nampak solat berjemaah, maka solatlah kembali untuk mendapatkan pahala berganda.

Dan bagaimana bila kita kaitkan pembahagian ini dengan perasaan cinta kepada Allah. Apabila sesuatu kewajipan terlepas untuk dilakukan, maka lakukan juga walaupun dalam keadaan Qadha’!.

Seperti seorang yang bertaubat selepas puluhan tahun tertinggal solat. Maka apakah tindakan yang sepatutnya? Pasti perlu Qadha’ kerana ijma’ ulama bersepakat hukum meninggalkan Solat pada waktunya secara sengaja jelas haram dan berdosa besar??

Di dalam perbahasan Qadha’ Imam Abu Bakar Al-Jazari menaqalkan perbincangan berkaitan Qadha’ seperti berikut berikut:

1) Mazhab Syafii :
Wajib Qadha’ terus jika tanpa uzur, jika dengan keuzuran boleh ditangguhkan kepada masa yang sesuai. Sebagai contoh selepas khutbah jumaat. Wajib Qadha’ dalam keadaan semasa, walaupun tertinggal solat dalam keadaan musafir.

2) Mazhab Hanafi :
Tidak digalakkan melakukan sebarang solat sunat, kecuali rawatib, dhuha, tasbih, tahiyyatul masjid, 4 rakaat sebelum zuhur dan 6 rakaat selepas maghrib sehinggalah selesai qadha’.

3) Mazhab Hanbali :
Diharamkan melakukan solat sunat mutlak. Tapi solat sunat yang muqayyad seperti rawatib dan witir, boleh. Tetapi digalakkan untuk meninggalkan solat sunat dan menyelesaikan solat fardhu qada’. Dikecualikan solat sunat sebelum subuh atas fadhilatnya.

4) Mazhab Maliki :
Haram apa-apa solat sunat kecuali solat sunat sebelum subuh, witir, solat raya. Sekiranya solat selain ini seperti terawih, mendapat pahala disudut kedudukan solat sunat, dan berdosa kerana meninggalkan kewajipan qadha’. Dan menjadi rukhsah (dimaafkan) untuk solat sunat yang mudah seperti tahyyatul masjid dan rawatib.

Cukup cantik perbincangan Mazhab, namun apa solusi dari perbincangan diatas?

3 Langkah menyelesaikan solat tertunggak:

1) Pertama, senaraikan bilangan solat yang perlu di Qadha’kan. Andai sedikit, selesaikan terus, andai berpuluh tahun, maka rancanglah elok-elok bagaimana menyelesaikannya.

Kalau tak pasti? Maka lakukanlah ‘takhmin’ iaitu ‘anggaran’ bilangan yang berbaki dengan sebaiknya meletakkan angka kemungkinan yang paling tinggi.

2) Kedua kaitkan dengan solat sunat sepertimana Imam-Imam Mazhab mengaitkan dengan solat sunat! Ingat Imam Malik dan Imam Hanbali direct je cakap asal hukum haram solat sunat kalau ada solat fardhu yang tak qadha’ lagi!

Jadi, masa orang solat sunat, Qadha’lah solat fardhu yang tertinggal. Insya’allah lama kelamaan, akan selesailah solat fardhu yang lampau, dan itulah sebenar-benar tanda yang terzahir bahawa anda sudah bertaubat kepada Allah!

3) Ketiga jangan tambah bilangan perlu Qodho! Disiplin dan tidak ulang dosa besar tersebut!

Begitulah pesanan Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 136:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135(
Dan mereka-mereka yang melakukan fahishah (perkara keji dan dosa) atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah, lantas memohon Ampun keatas dosa-dosa mereka, dan tidaklah yang mengampunkan dosa selain Allah, dan tidak sekali-kali mengulangi kesilapan mereka dalam keadaan mereka mengetahuinya,

Perkataan – وَلَمْ يُصِرُّوا disini bermaksud ‘tidak mengulangi dan berterusan di dalamnya’ , antara maksudnya adalah dengan ‘cover’ balik kesilapan yang dilakukannya selain PUTUSKAN segala maksiat yang berterusan di dalamnya .

Berhenti tinggal solat, disiplin ikut waktu, dan tambah pada waktu-waktu solat sunat, solat-solat fardhu yang akan diQadha’kan.

Tahniah buat mereka yang hebat! Kembali bertaubat hanya untuk meraih keredhaan Allah. Semoga diberi kekuatan istiqamah, insya’allah. .

Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Naib Pengerusi 2
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

*rujukan; Fiqh ‘Ala Mazahib Arba’ah, Syeikh Abu Bakr Al-Jazari, Tafsir Al-Qurthuby, Tafsir Ibnu Katheer.

Leave a Reply