KolumnisMunasabat IslamUmum

APA SELEPAS RAMADAN?

Terasa baru semalam kita menyambut 1 Ramadan , namun hakikatnya adalah sebaik-baik bulan tersebut telah pun meninggalkan kita. Hari ini, 7 Syawal 1445H selepas seminggu Ramadan berlalu, telah menyedarkan kita betapa cepatnya putaran waktu ini berlalu.

Oleh itu, marilah kita melakukan muhasabah terhadap perjalanan kerohanian yang telah kita lalui sepanjang sebulan Ramadan yang lalu, untuk memeriksa kembali adakah Maqasid puasa yang paling besar iaitu mencapai ketaqwaan telah pun dapat direalisasikan.

Pembaca yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Kita adalah hamba kepada Allah SWT yang mempunyai tugas hakiki atau tugas utama iaitu menyembah-Nya sepanjang hayat kita di dunia ini. Tugas menyembah Allah SWT bukanlah suatu tugas sampingan, yang dilakukan pada waktu-waktu tertentu atau musim-musim tertentu, bahkan kita memberikan kehidupan ini sepenuhnya untuk menyembah-Nya. Firman Allah SWT

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
“dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).”
(Surah Al-Hijr: ayat 99)

Kita mentaati Allah SWT sehingga ajal datang menjemput, dan bukannya hanya sehingga tamat bulan Ramadan.

Kalau sebelum ini kita dapat lihat, masjid dipenuhi saf-safnya pada setiap 5 waktu solat Fardhu dan solat Tarawih. Namun apabila Syawal sudah tiba, masjid sudah mulai sunyi dan tidak lagi penuh seperti bulan Ramadan yang lalu. Adakah sudah lupa?

Kalau sebelum ini, bunyi kedengaran tilawah Al-Quran sentiasa dibacakan di dalam rumah-rumah kita. Namun kini, seakan-akan mulai sunyi dan tidak lagi kedengaran, bahkan lebih banyak lagu-lagu raya dimainkan berbanding bacaan Al-Quran. Adakah sudah lupa?

Itu adalah sedikit muhasabah yang kita boleh renungi bersama.

Apa yang ingin disampaikan di sini adalah tentang hakikat ubudiyyah kita kepada Allah SWT mestilah dimanifestasikan ketika sepanjang kehidupan. Bukan hanya bermusim, bukan hanya ketika dikhalayak orang ramai, dan bukan kerana orang lain buat, kita juga buat.

Pembaca yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Sebaik-baik amalan adalah yang tetap berterusan dilakukan meskipun kadarnya hanyalah sedikit. Kerana besar dan banyaknya suatu kadar amalan itu, tidak menjamin iainya akan kekal sebagai peneman kita sepanjang menempuh perjalanan kerohanian ini. Ada orang yang kuat beramal pada saat awalnya sahaja, namun tidak berjaya meneruskannya sehingga ke saat akhir kehidupan. Situasi ini sudah banyak digambarkan dalam hadith-hadith baginda SAW.

Janganlah kita menjadi seperti orang yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam suatu hadith,

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda padanya,

يَا عَبْدَ اللَّهِ ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ ، كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ

“Wahai ‘Abdullah janganlah kamu jadi seperti si fulan. Dahulu ia rajin solat malam, sekarang ia meninggalkan solatt malam tersebut.” (HR. Bukhari no. 1152 dan Muslim no. 1159).

Sebaliknya, hendaklah kita menjadi orang yang tetap menjaga kualiti dan kuantiti ibadat meskipun kemeriahan ibadah tidak lagi seperti pada bulan Ramadan. Renungilah sebuah pesanan Baginda SAW,

يا أيُّها النَّاسُ، خُذُوا مِنَ الأعْمَالِ ما تُطِيقُونَ؛ فإنَّ اللَّهَ لا يَمَلُّ حتَّى تَمَلُّوا، وإنَّ أحَبَّ الأعْمَالِ إلى اللَّهِ ما دَامَ وإنْ قَلَّ.

“Wahai sekalian manusia, kerjakanlah suatu amalan mengikut kemampuan kalian kerana sesungguhnya Allah tidak akan bosan sehingga kalian merasa bosan, dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Konsistensi dalam beramal adalah kunci untuk meraih cinta dan redha Allah SWT.

Akhir sekali, kita sedar bahawa untuk mencapai ketaqwaan dan keikhlasan, tidak boleh hanya berpada dengan amalan-amalan pada bulan Ramadan sahaja, tetapi kita berlu bermujahadah sehingga ke akhir hayat.

Ustaz Fitri Adnan

Penyelidik MUIS

Leave a Reply