Malaysia – Negara Islam Merdeka
Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !
Syukur, syukur dan berterusan syukur menjadi kewajipan seorang muslim didalam nikmat kemerdekaan sebuah negara. Lebih menggembirakan adalah apabila melihat kemerdekaan Malaysia agak istimewa berbanding negara – negara Islam yang lain.
Pasca kolonialism, rata – rata negara yang pernah dibawah kekuasaan Khilafah Uthmaniyah mencari identiti dalam memposisikan Islam didalam Negara .
Fakta yang jelas adalah kolonialisasi bukanlah bertujuan semata inginkan kekayaan, namun usaha mencabut kedaulatan dan pembudayaan Islam adalah jelas. Maka boleh dikatakan sesebuah negara yang masih mempunyai walaupun secebis unsur Islam selepas merdeka merupakan sebuah pencapaian yang boleh dibanggakan.
Hakikat bagaimana para Ulama’ merupakan salah sati faction yang penting didalam menuntut kemerdekaan tidak dapat dinafikan. Kehadiran Tok Kenali, Tok Janggut dan lain – lain merupakan taring yang membangkitkan Umat Islam di Malaysia.
Kemajuan Malaysia menjadi Negara Islam yang disegani perlu dilihat dari dua segi :
1. Kemajuan yang dicapai.
2. Kekurangan yang perlukan pembaikan segera.
Kemajuan yang dicapai.
Kemajuan dari sudut Islam agak ketara apabila Islam mendapat kedudukan istimewa iaitu sebagai agama persekutuan. Dari sudut kedudukan Islam didalam perlembagaan terbukti bahawa kedudukan istimewa Islam adlaah diiktiraf. Malah ianya merupakan sebuah pencapaian signifikan didalam arus global yang menuntut ke arah liberalisasi negaradaripada segala unsur keagamaan.
Kemajuan dari sudut undang – undang juga merupakan sebuah perkara yang patut dibanggakan oleh seorang muslim. Perlaksanaan undang – undang Islam yang mana jika dilihat zaman kemuncak perlaksaan Islam, Pemerintahan Sulatan Mansor Shah di Melaka pada tahun 1450 sehingga 1477, undang – undang Islam terpakai secara total di Tanah Melayu (Kanun, Jurnal undang – undang Malaysia jilid 21, Mac 2009). Namun pada hari ini apabila Malaysia berjaya mengekalkan walaupun secebis selepas merdeka merupakan sebuah pencapaian yang tinggi dikala negara lain yang pernah dijajah sudah dirobek keseluruhan identiti dan undang – undang Islam seperti nasib Piagam Jakarta yang disifatkan Mohammad Natsir (Perdana Menteri Indonesia yang ke 5) sebagai “tonggak sejarah bagi tercapainya cita -cita Islam di bumi Indonesia, akhirnya Piagam tersebut disisihkan dan menjadikan identiti Islam Indonesia dicabut dengan kuat.
Kesimpulan, kemajuan Malaysia menjadikan Islam sebagai identiti merupakan sebuah kejayaan, dalam keadaan banyak negara yang tidak memperoleh nikmat selepas kemerdekaan.
Kekurangan yang perlu dibaiki
Walaupun Malaysia merupakan salah satu negara Islam paling maju, adalah naif untuk kita mempercayai perlaksanaan Islam sudah lengkap.
Terlalu banyak hukum hakam yang masih tertangguh untuk dilaksanakan.
Malah dari sudut pemikiran masyarakat, untuk memahami Islam itu sendiri memerlukan usaha yang kuat dari semua pihak.
Belum dikira permasalahan sosial, permasalah ketirisan, akhlak asas dan lain – lain.
Ambil yang jernih, baiki yang keruh
Kejernihan dan kemajuan dari sudut identiti dan perlaksanaan Islam mestilah dihargai. Malah disitulah erti sebuah kemerdekaan, sebuah negara mampu mempraktikkan Islam secara bebas walaupun sedikit.
Jika diperhatikan sirah Nabi, jelas apabila Nabi tiba di Madinah kehadiran Nabi mengambil pucuk pimpinan Madinah bukanlah dilihat sebagai sebuah penjajahan, namun lebih mengampiri erti kemerdekaan.
Boleh dipelajari daripada sirah nabi bahawa kemerdekaan sejati adalah apabila kita mampu melaksanakan Islam sepenuhnya di bumi bertuah ini, tanpa kekangan dan sekatan. Ketika itulah kemerdekaan sebenar dirasai. Samada perlaksanaan itu berlaku pada tahap individu mahupun negara.
Pada tahap negara, kita bersyukur dan cuba memahami latar belakang dan apakah keadaan yang akan lebih menguntungkan dari sudut perlaksanaan Islam. Namun dari sudut perlaksanaan individu terlalu banyak yang kita mampu ubah dan koreksi.
Persoalan seperti berikut perlu ditanya, jika kita masih jauh daripada melaksanakan Islam dengan pemakaian yang tidak patuh syariah, akhlak yang kotor, pemikiran yang busuk, adakah kita sudah merdeka ?
Walaupun kita tidak dirantai tangan mahupun kaki, namun kehidupan kita seperti dijajah. Zahirnya nampak mewah, tapi hati gundah gulana ingin mengejar dunia dan menolak hukum Allah, batinnya sama seperti seorang yang dijajah tidak tahu mana hala tuju dan penuh kerisauan.
Semoga kita menjadi golongan yang benar – benar Merdeka di Malaysia.
Ust Mohd Suhail bin Mohd Sufian Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)