Daulah Islam tidak berdiri dengan politik semata-mata

 

alfateh

Antara perbezaan besar daulah Islamiyyah dengan daulah-daulah yang lain ialah daulah Islamiyyah perlu berdiri di atas suatu masyru’(projek) tersendiri yang menyeluruh. Ianya bukan berdiri dengan satu arahan pemerintah iaitu kuasa politik sahaja atau pergulingan tentera atau pun perubahan luaran sahaja.

Kerana apabila kita fahami bahawa daulah Islamiyyah merupakan langkah pertama kearah berdirinya sebuah ketamadunan Islam maka tidak boleh tidak ianya menuntut kepada kekuatan dan persedian menyeluruh, asas tersebut diperlukan ketika ingin membina daulah tersebut juga untuk memelihara daulah tersebut apabila ia sudah berdiri dengan megah.

Ramai yang menyangka suatu daulah itu sekadar seperti sebuah istana yang ada padanya pintu, ada penjaga, ada penjara dan lain-lain, iaitu sekadar pada kebendaan dan perkara-perkara luaran. Itulah yang dipegang oleh barat dan dijadikan barat sebagai kayu ukur akan kemajuan atau kemunduran sesebuah daulah.

Adapun dalam Islam tasawwur(gambaran) mengenai sebuah daulah adalah berbeza, daulah disisi Islam adalah suatu binaan yang berdiri atas sebuah asas yang tersangat kukuh, tasawwur yang jelas serta pada daulah tersebut adanya matlamat yang jelas dan padanya ada ciri-ciri yang tertentu.

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah Al Hajj:41)

Boleh disimpulkan matlamat utama bagi sebuah daulah Islam adalah mengangkat kalimah Allah, menyebarkan kalimah Allah lalu menjadikan seluruh manusia di setiap pelusuk ini tunduk kepada Al-Malik.

Atas dasar itu, matlamat yang begitu besar dalam daulah Islam tidak akan mampu berdiri melainkan setelah dilakukan persedian yang rapi meliputi semua sudut, penyedian satu generasi yang sedia menanggung beban membina daulah tersebut, wujudnya kepakaran dalam setiap bidang yang sedia  bagi menggerakkan daulah tersebut kearah matlamat yang Islam maksudkan.

Sebab itu jika kita perhatikan dalam sirah seperti yang diceritakan dalam kitab sirah Ibnu Hisham bagaimana Rasulullah SAW pernah menolak suatu tawaran kuasa politik (pemerintahan) apabila ianya ditawarkan oleh kafir musyrikin Makkah yang diwakili oleh Utbah bin Rabiah yang datang kepada baginda lalu Utbah berkata:

 : يا ابن أخي ، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا ، وإن كنت تريد به شرفا سودناك علينا ، حتى لا نقطع أمرا دونك ، وإن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا

“Wahai anak saudaraku, jika engkau lakukan perkara ini (dakwah) atas sebab engkau mahukan harta maka kami akan kumpulkan harta kami sehinggalah engkau menjadi orang yang paling kaya dikalangan kami, jika engkau mahukan kemulian maka kami akan berikan kemulian yang tersangat kepada engkau sehingga engkau tidak dilihat hina, jika engkau mahukan kuasa pemerintahan maka kami jadikan engkau pemimpin kami”

Rasulullah SAW ingin mengajar umatnya melalui penolakan tersebut bahawa daulah Islamiyyah itu tidak berdiri dengan kuasa politik tetapi ianya berdiri dengan pembinaan setiap jati diri individu yang akhirnya melahirkan keluarga yang membentuk masyarakat islamik lalu masyarakat yang jelas kefahaman itu sendiri yang akan mengangkat daulah Islam.

Sebuah daulah Islamiyyah juga berdiri atas dasar untuk menjaga masalahat umat Islam pada semua sudut. Matlamat yang jelas tersebut tidak mungkin lahir melainkan dengan adanya fikrah yang terang lagi menyuluh jauh dari kesesatan, maka fikrah politik kotor atau permainan politik seperti lompat parti atau bertindak atas kepentingan tertentu tidak akan diterima dalam sebuah daulah Islam. Bahkan strategi sebegitu tidak mungkin akan melahirkan sebuah daulah Islam yang diidam-idamkan.

Lalu persoalan yang sepatutnya kita sentiasa fikirkan adalah: Apakah sudah ada sebuah masyru’ untuk membina sebuah daulah Islam yang sempurna di Malaysia? Jika sudah ada adakah kita sedang bersama dalam projek tersebut?

—————————————-
Daftar sekarang! Simposium Pemikiran Politik Islam: Gagasan Pemikiran Politik Islam Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah Dalam Realiti Malaysia. 
daftar online: http://bit.ly/sppimuis
maklumat lanjut: http://muis.org.my/simposiumpolitikislam/

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *