IlmiahKenali UlamaKolumnisUtama

Pemergian Syiekh Dr Munir Ghadban- Solusi permasalahan umat Islam adalah dengan kembali kepada Sirah Rasulullah SAW

dr munir

Pemergian al-Mufakkir wa al-Daiah Syiekh Dr Munir Muhammad Al- Ghadban pada 1 Jun 2014 yang lepas adalah satu kehilangan besar yang sepatutnya dirasai oleh seluruh umat Islam. Beliau adalah seorang ulama Syria yang sangat dikagumi di zaman ini khususnya sebagai seorang ulama yang pakar dalam bidang Sirah Rasulullah SAW.

Syiekh Dr Munir Ghadban dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 1942. Kemudian mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah pada tahun 1967 di Universiti Damsyik, seterusnya Diploma dalam Pendidikan dari universiti yang sama pada tahun 1968. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana dalam Bahasa Arab di Universiti Kaherah, Mesir pada tahun 1972 serta PhD dalam bidang yang sama di Universiti Al-Quran Al-Karim di Sudan pada tahun 1997.

Beliau merupakan ulama yang bukan sahaja dikenali berdasarkan penguasaan ulum syarak atau kepetahan kata-kata beliau sahaja, bahkan beliau dikenali sebagai ulama yang mendidik serta membimbing manusia serta umat Islam kepada Allah SWT. Atas dasar itulah beliau digelar sebagai ulama al-Mufakkir wa al-Daiah (ulama pemikir juga seorang daie).

Keterlibatan beliau dalam dunia gerakan dakwah khususnya Ikhwan Muslimin amatlah jelas sehinggalah beliau dilantik menjadi muraqqib am (ketua) bagi cawangan Ikhwan Muslimin di Syria pada tahun 1985. Tidak lama selepas itu, beliau dilantik menjadi Ketua Majlis Syura Ikhwan Syria untuk beberapa penggal. Kemudian ketika berlaku konflik Ikhwan Muslimin dan pemerintah Syria pada akhir tahun 80-an beliau memilih untuk menetap di Negara Arab Saudi.

Walaupun beliau sentiasa berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat yang lain, kecintaan beliau terhadap bumi Syria adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan serta sentiasa terpahat dalam jiwa. Beliau pernah menyebut dalam satu temuramah bahawa satu-satunya cita-cita beliau yang belum tercapai adalah ingin melihat tanah air beliau kembali mendaulatkan syariat Islam. Bagi beliau kegagalan ini berpunca akibat umat Islam jauh daripada manhaj yang sohih (benar) dalam membangunkan jati diri seorang muslim.

الآمال التي لم تتحقّق فهي تحرير بلدنا الشام لقصورنا عن المنهج الصحيح في عمليات البناء

Cita-cita aku yang masih belum tercapai adalah membebaskan Negara aku Syria. Perkara ini terjadi kerana kegagalan kita memahami manhaj dalam membina jati diri umat Islam.

Juga tidak dapat dinafikan kecintaan beliau terhadap Sirah Ar Rasul SAW adalah sangat mendalam serta sangat membekas dalam jiwanya. Boleh dikatakan sebahagian besar dari 61 kitab yang dikarang olehnya berkisar Sirah Rasulullah SAW serta kehidupan Sahabat RA. Antara kitab beliau yang masyhur ialah : Manhaj Haraki Sirah Nabawiyyah, Fiqh Sirah, juga beliau menulis pelbagai dimensi sera perspektif daripada Sirah Nabawiyyah seperti Tarbiyyah Qiyadiyah (kepimpinan), Tarbiyyah Jihadiyyah, Tarbiyyah Jamiah (kelompok) juga yang terakhir Tarbiyyah Siyasiyah (Politik).

Pada pandangan Dr Munir Ghadban, tulisan beliau yang sangat mengesani jiwanya adalah Tarbiyyah Qiyadiyah kerana baginya adalah tersangat penting untuk sebuah gerakan Islam melihat secara serius pembentukan generasi qaedah sulbah yang akan menjadi batu asas kepada gerakan Islam. Keberjayaan dalam membentuk qaedah sulbah menjadi penentu kepada keberjayaan sesebuah gerakan Islam.

الإنتاج الذي أعتزّ به أكثر من غيره هو المنهج التربوي للسيرة النبوية عموماً، والتربية القيادية منه (المجلّدات الأربعة) الذي هو تحت الطبع، لأنّه يمثّل قمة نضجي من جهة، ويمثل منهجاً للحركات الإسلامية وعمليات البناء الداخلية من خلال السيرة النبوية.

Tulisan aku yang aku rasakan umat Islam perlu teliti lebih berbanding tulisan lain adalah Manhaj Tarbawi Sirah Nabawiyyah umumnya. Khususnya dalam bab tabiyyah qiyadah (pemimpin) kerana ianya merupakan satu manhaj dalam membina kekuatan dalaman (bagi sebuah gerakan Islam) berdasarkan sirah Rasulullah SAW.

Kejelasan beliau terhadap realiti apa yang belaku pada dunia keseluruhannya khususnya umat Islam juga perlu dijadikan contoh oleh seluruh umat Islam khususnya pemimpin Muslim. Beliau menyebut bahawa apa yang patut umat Islam lakukan pada ketika ini adalah mengerakkan segala usaha kearah tahkim Syariat Allah (berdaulatnya syariat Islam).

كانت أكبر قضية المسلمين في هذا العصر هي قضية تحكيم شريعة الله

Isu yang paling besar yang sepatutnya menjadi fokus utama umat Islam pada zaman ini adalah tentang bagaimana mengembalikan tahkim Syariat Allah SWT.

Beliau turut menambah sepatutnya umat Islam perlu meletakkan bahawa tidak ada pertembungan yang belaku dalam dunia ini melainkan ianya akan berlegar atas dasar ini (tahkim Syariat Allah)

وما هذه المعارك إلاّ من أجل هذه القضية هذا

Sepatutnya tidak wujud sebarang pertembungan melainkan disebabkan isu ini (tahkim Syariat Allah)

Beliau juga menyeru kepada pemimpin-pemimpin Islam untuk menjadi singa-singa ummah yang berani menyatakan kebenaran dengan perasaan izzah serta mempunyai jiwa yang besar bukannya jiwa yang kalah kerana dengan kejantanan itu sahajalah umat Islam keseluruhannya akan kembali ke jalan yang benar.

ونملك القيادة الشُّجاعة التي تُعلن الحقيقة وتعزم على العودة إلى نقطة الانطلاق الأولى مهما امتدّ الزمن وإلاّ فالمسير في الضلال والمتابعة فيه لن يقود إلى الهدى.

Kita memerlukan wujudnya pemimpin Islam yang mempunyai keberanian untuk menyeru kebenaran serta bersungguh dalam memperbaiki umat ini tidak kira betapa lamanya tempoh yang diperlukan (untuk baiki dengan cara ini) dan kalaulah (pemimpin tidak mempunyai keberanian ini) maka umat Islam akan terus berada dalam kesesatan.

Kehilangan sosok tubuh ulama seperti inilah yang sepatutnya ditangisi serta dirasai oleh seluruh umat Islam khususnya mereka yang mengaku sebagai sebuah gerakan Islam. Tangisan bukan sekadar dengan air mata tetapi dengan satu keazaman yang tekad untuk menjadikan beliau sebagai qudwah dalam perjuangan.

Peribadi yang menyeru kearah untuk kembali melihat perjuangan ini berdasarkan landasan Sirah Rasulullah SAW dikala sebahagian umat Islam memperjuangkan Islam berlandaskan hawa nafsu dan sudah mula meninggalkan sirah yang agung dan mulia ini.

Peribadi yang sedar bahawa tidak ada solusi terhadap segala penyakit yang melanda umat ini melainkan dengan kembali mengikut manhaj islah Rasulullah SAW. Solusi ini bukanlah satu perkara yang baru, bahkan perkara ini sudah lama disedari oleh ulama sejak zaman dahulu lagi seperti yang disebut oleh Imam Malik dalam kitab Al-Mabsut:

“لن يصلح آخر هذه الأمة إلا ما أصلح أولها”

Kita tidak akan berjaya memperbaiki situasi umat ini hinggalah kita mengikut langkah (pembaikian) seperti yang diajar oleh generasi yang pertama (Rasulullah SAW dan para sahabat)

Benarlah sabda Ar-Rasul SAW:

عن عبدالله بن عمرو بن العاص، قالَ:

 سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُول: إِنَّ الله لا يَقْبضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزعُهُ مِنَ الْعِبَادِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقِبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتّىَ إذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوسَاً جُهَّالاً ، فَسُئِلُوا ، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْم ، فَضَلُّوا وأَضَلُّوا

(متفق عليه)

Daripada Abdullah Bin ‘Amr Bin Al-‘Ash, katanya: Aku mendengar Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ‘ulama (orang-orang ‘alim) sehingga jika tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat Juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

(Muttafaq ‘Alaih)

*Sumber kata-kata adalah dari wawancara Syiekh Dr Munir Ghadban oleh Rabitah Udaba’ Al-Syam: sini

 

firdaus

Ustaz Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
 
 
 

 

Leave a Reply