KolumnisUtama

Negara Barat lebih Islamik dan lebih hampir kepada Al-Quran?

sujud_2

1. Antara strategi atau senjata utama musuh Islam khususnya musuh dalam selimut seperti mereka yang beragama Islam Liberal dalam memporak-perandakan umat Islam adalah dengan merosakkan neraca timbangan umat Islam. Mereka melakukan serangan demi serangan sebegini kerana mereka faham bahawa: kerana Islam itu berdiri atas keimanan dan keimanan itu berdiri atas neraca timbangan yang benar maka apabila rosaknya neraca timbangan seorang muslim ketika itulah hancur keimanannya.

2. Yang baik dilihat buruk yang buruk dilihat baik. Strategi ini bukanlah perkara baru bahkan ianya bukanlah datang daripada idea manusia itu sendiri. Tetapi senjata ini adalah perkara yang diajarkan oleh iblis pada musuh-musuh Islam sebagai tanda persepakatan mereka dalam menentang golongan yang beriman. Ibnu Jauzi apabila berkata mengenai soal strategi iblis yang paling utama dalam merosakkan golongan yang beriman iaitu disebut sebagai talbis (tipu daya), beliau mentakrifkan strategi tersebut sebagai:

“Dizahirkan kebatilan itu (pada mereka yang beriman) hingga merasakan mereka berada atas kebenaran”.

3. Dalam Islam, neraca timbangan seorang muslim itu adalah berdasarkan kepada paksi aqidah. Atas paksi inilah yang menjadi titik tolak dalam seluruh kehidupan seorang muslim. Hidup mati seseorang itu atas aqidah, suka benci seseorang itu atas aqidah, mulia atau hina seseorang itu atas paksi aqidah dan pelbagai lagi. Inilah janji seorang muslim untuk hidup atas paksi ini seperti diucapkan paling kurang 5 kali iaitu pada setiap kali solat dan difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 162:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

4. Besarnya nilaian paksi ini akhirnya menuntut kepada Rasulullah SAW kepada proses selama 13 tahun untuk memastikan paksi ini benar-benar tertanam dalam jiwa setiap muslim ketika di Makkah. Tempoh ini adalah lebih lama berbanding tempoh untuk menanam kefahaman sistem kenegaraan, undang-undang bahkan jihad (secara peperangan) itu sendiri. Kerana Baginda SAW sedar bahawa kesemua sistem tersebut tidak akan dapat bediri dengan megah apabila paksi aqidah ini tidak ternanam dengan kukuh.

“Tidaklah seorang pezina melakukan zina ketika ia berzina, jika ia beriman. Tidaklah seorang pencuri melakukan pencurian saat dia mencuri, jika dia beriman. Dan tidaklah seorang minum arak, saat di minum, jika ia beriman”.   (riwayat Bukhari dan Muslim)

Seluruh tindak tanduk itu lahir dari keimanan yang mantap dan neraca timbangan yang benar. Bahkan dalam sirah ketika umat Islam luka kesakitan dalam perang pun Allah SWT mengubati perasaan sakit itu dengan suntikan aqidah kerana suntikan inilah sebaik-baik ubat untuk umat ini:

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (104)”

5. Kemudian berpuluh tahun setelah kewafatan Baginda SAW, pasakan aqidah ini tidak pernah tertanggal atau hilang dalam jiwa mereka. Pernah suatu ketika ianya terhakis akibat datangnya habuan dunia yang tidak henti-henti pada mereka namun Saidina Umar RA yang dikenali sebagai Al-Faruq hadir memberi peringatan dengan suara yang lantang:

“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka apabila kita mencari kemulian yang lain daripada Islam, nescaya kita akan dihinakan oleh Allah”

Mulianya kita dengan aqidah ini dan kehinaan kita adalah apabila meninggalkan aqidah ini.

6. Golongan musuh Islam terutama mereka yang beragama Islam Liberal melihat titik aqidah ini sebagai titik yang paling ampuh untuk diserang setelah mereka gagal menghancurkan umat Islam khususnya dalam bentuk pentempuran bersemuka (perang). Mereka yakin apabila runtuhnya tembok aqidah ini maka akan runtuhlah tembok-tembok yang lain, rosaknya aqidah seorang muslim maka akan lumpuhlah seluruh tubuhnya.

Maka antara cara untuk meyerang tembok ini adalah dengan diwujudkan isu-isu berkaitan aqidah seperti tidak semua orang kafir masuk neraka, kebenaran adalah relatif, kafir adil lebih mulia dari mukmin fasiq, negara barat aman tanpa hudud dan yang terbaru isu negara barat lebih Islamik dan mengamalkan Al-Quran dari negara Islam. Tujuan mereka mewujudkan isu-isu ini hanyalah satu iaitu mereka cuba membuang nilaian aqidah dalam neraca timbangan seorang muslim.

7. Saya tidak ada masalah kepada pihak yang menyatakan sebahagian negara barat itu lebih maju dan terkehadapan di beberapa sudut berbanding negara Islam yang ada. Tetapi untuk sampai menyatakan negara barat lebih islamik dan lebih mengamalkan Al-Quran bagi saya itu satu perkara yang melampaui batas kerana kita tahu perkara yang paling besar dan paling asas dalam Islam adalah dalam soal tauhid dan aqidah. Dimanakah pengamalan mereka terhadap surah yang pertama (Al-Fatihah) ayat ke-4 di dalam Al-Quran sebelum kita berbicara ayat-ayat yang lain?

Menyatakan mereka lebih islamik seolah-olah kita menyatakan barat itu mulia di sisi Langit! sedangkan amalan kebaikan golongan yang mensyirikkan Allah SWT langsung tidak ada nilai disisi-Nya:

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”

(Al-Furqan: 23)

Syirik adalah perbuatan mungkar dan maksiat yang terbesar kepada Allah SWT  lalu ianya menjadi asbab ditolak amalan kebaikan mereka.

8. Kembalilah kita memperbaiki neraca timbangan kita. Dalam Tafsir Ibnu Kathir disebut satu kisah daripada Ibnu Umar RA bahawa pada zaman Rasulullah SAW pernah terjadi peristiwa matinya seorang mukmin itu dalam keadaan melakukan dosa besar lalu sahabat berkata bahawa orang ini sudah pasti akan masuk neraka (kerana mati dalam keadaan melakukan dosa besar) lalu turunlah ayat 48 Surah An Nisa’ :

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” 

Mulianya seorang mukmin itu disebabkan aqidahnya yang benar dan hinanya orang kafir itu kerana mereka mensyirikkan Allah SWT.

 

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *