BeritaUtama

Tuntutan dihapuskan kuasa eksekutif MAIS memberi ruang kepada bukan Islam untuk campurtangan urusan Islam

dato zainul

SUBANG JAYA, 17 Jun- Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan tuntutan sesetengah pihak supaya dihapuskan kuasa eksekutif MAIS akan memberi ruang kepada bukan Islam untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam.

“Impak mengambil kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan menjadikan hal ehwal agama Islam akan diganggu oleh orang bukan Islam yang berada di dalam Majlis Mesyuarat Negeri ataupun pentadbiran Kerajaan Negeri”

“Majlis Agama Islam sebenarnya adalah sebuah ‘kerajaan Islam’ di dalam sesebuah negeri. Ia bebas dari kongkongan pihak berkuasa negeri kerana MAIN menasihat Sultan secara langsung tanpa campurtangan Pihak Berkuasa Negeri dalam isu Islam” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kuasa mutlak yang dimiliki oleh MAIN di dalam hal ehwal Islam tidak boleh dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri kerana  tujuan kuasa ini adalah bagi melaksanakan tanggungjawab Sultan sebagai Ketua Agama Negeri dan ianya selaras dengan undang-undang tubuh sesebuah negeri juga dijamin oleh Perlembagaan Persektuan.

“Jadi tindakan menghapus kuasa eksekutif MAIN sebenarnya akan juga menghakis kuasa Sultan.”

Beliau turut berkata antara kesan buruk akibat dihapuskan kuasa eksekutif MAIN adalah segala kuasa akan berpusat kepada Sultan dan baginda Sultan tidak akan menikmati nasihat dan pandangan MAIN yang ahlinya terdiri dari kalangan alim ulama, orang yang berwibawa dan berilmu.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak samada beragama Islam ataupun tidak beragama Islam, jangan cuba menganggu kuasa MAIN.”

“Telah sekian lama susun atur ini berjalan tanpa sebarang masalah. Perbalahan hanya muncul apabila hak beragama orang Islam secara sistematiknya dicabar satu persatu. Lantaran adalah logik MAIN bertegas mempertahankan kuasa yang selama ini dimilikinya.” tegasnya ketika dihubungi.

Dalam satu berita yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini, empat orang Ahli Parlimen PAS dari Selangor  telah membuat satu sidang media bersama di lobi parlimen bagi menggesa kerajaan negeri agar meminda undang-undang untuk menghapus kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menerima arahan daripada majlis itu lagi.

Sidang media tersebut merupakan sebagai maklum balas kepada keengganan MAIS dan JAIS untuk memulangkan Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lalu.

Leave a Reply