Fiqh Siyāsah Imām Al-Juwaini Dan Aplikasinya Dalam Pengamalan Demokrasi (Siri 2)
Kelebihan Fiqh Siyāsah Imam Al-Juwaini
Imam Al-Juwaini bukanlah satu-satunya ulama’ Islam yang membahaskan dengan panjang lebar mengenai siyāsah syarʿieyyah. Walau bagaimanapun, fiqh siyasah yang dihasilkan oleh Imam Al-Juwaini mempunyai beberapa kelebihan yang ketara hingga menjadikan ianya sebuah fiqh yang besar manfaatnya kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Antara kelebihan-kelebihan tersebut ialah:
1. Fiqhnya Mempunyai hubungan yang kuat dengan persekitaran dan mengambil kira secara terperinci peristiwa yang berlaku di zamannya (realistik).
Hal ini nyata terpamer melalui kitab ‘Al-Ghiyāthi’ yang dikarang oleh Imam Al-Juwaini. Beliau secara spesifik menyatakan bahawa objektif penulisan tersebut ialah untuk menerangkan kaedah-kaedah Al-Imāmah (kepimpinan) menurut manhaj Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamāʿah, setelah institusi khilafah ketika itu berada dalam keadaan terancam dan hampir terhapus. Beliau juga ingin agar pihak-pihak yang bertanggungjawab membawa kembali masyarakat kepada mazhab salaf setelah masyarakat ketika itu terancam aqidah mereka.
Kitab tersebut juga merupakan bukti keprihatinan tinggi Al-Juwaini terhadap realiti di dalam menghasilkan fiqh siyasahnya kerana ia ditulis khusus untuk memandu Niẓām Al-Mulk, pemerintah Islam yang mempunyai pengaruh dan kehebatan di dalam masyarakat ketika itu. Al-Juwaini memulakan kitabnya dengan berterus-terang akan hal ini dan mengakhirinya juga dengan mengatakan bahawa kitab ini dikarang untuk Niẓam Al-Mulk.
Imam Al-Juwaini melahirkan pendapatnya bahawa Niẓam Al-Mulk harus berusaha mengekalkan autoritinya ke atas umat kerana faktor kemampuan beliau untuk benar-benar memimpin berbanding khalifah yang amat lemah ketika itu. Beliau meminta agar Niẓām Al-Mulk berusaha merawat masalah penyelewengan pemikiran dan aqidah yang sedang kronik di dalam masyarakat. Oleh itu, beliau meminta agar Niẓām Al-Mulk kekal memandu umat hingga terawatnya masalah ini. Kesemua ini merupakan bukti jelas bagaimana Imam Al-Juwaini melahirkan fiqh yang berkait dengan permasalahan semasa dan merawatnya berpandukan ijtihad maṣlahi yang syarʿie.
Begitu juga pandangan Imam Al-Juwaini di dalam kitab beliau berkaitan masalah bilangan ‘Ahl Al-Ḥall Wa Al-ʿAqd’ untuk melantik Imam. Imam Al-Juwaini berpendapat bahawa yang menjadi perkiraan dalam masalah ini bukanlah angka. Sebaliknya yang menjadi perkiraan sebenar ialah ‘As-Shaukah’ atau kekuatan dominasi. Menurut beliau, jika yang melantik ini merupakan orang yang mempunyai dominasi atau kekuatan yang besar dalam politik dan masyarakat, maka dia cukup (sah) untuk melantik sesiapa yang layak dan cukup syarat untuk menjadi Imam.
Pandangan ini sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan situasi di zaman Imam Al-Juwaini. Pelantikan pemimpin umat Islam lebih besar maslahatnya jika dijalankan oleh golongan yang mempunyai ‘shaukah’ di dalam masyarakat berbanding pelantikan yang dilakukan oleh ‘Ahl Al-Ḥall Wa Al-ʿAqd’ yang rasmi. Pandangan ini mempamerkan ciri realistik pada fiqh siyasah Imam Al-Juwaini, serta kepekaan beliau yang tinggi terhadap peristiwa dan suasana pada zamannya.
2. Fiqhnya bukan bertujuan menjustifikasi tindakan pemerintah bahkan untuk memastikan politik mengikut apa yang dituntut syarak.
Terdapat golongan yang menyatakan bahawa Imam Al-Juwaini tidak terkecuali daripada ulama’-ulama’ lain yang membahaskan fiqh siyasah di mana mereka cenderung ke arah menghasilkan ijtihad yang memberi justifikasi kepada pemerintah dan tindakan-tindakannya. Hal ini ternyata salah apabila diteliti lebih dalam pandangan-pandangan Imam Al-Juwaini. Beliau mengambilkira situasi semasa untuk melengkapkan ijtihadnya bagi menurut acuan syarak, bukanlah sebaliknya.
Imam Al-Juwaini telah mengkritik fatwa yang dikeluarkan oleh Yahya bin Yahya Al-Laithi yang menyebutkan bahawa pemerintah di zamannya yang telah melakukan jimak pada waktu siang bulan Ramadhan, hanya perlu menunaikan puasa selama dua bulan berturut-turut sahaja serta tidak perlu membebaskan hamba. Kata Imam Al-Juwaini, “Jika kita membohongi para pemerintah serta memberikan jawapan-jawapan kepada permasalahan mereka mengikut kehendak mereka, dengan harapan agar mereka kekal berjaya (diangkat), maka kita sesungguhnya telah menukar agama Allah dengan logik akal. Kita tidak akan beroleh kebaikan dan mencapai kejayaan”.
Imam Al-Juwaini juga telah menegur Niẓām Al-Mulk secara jelas berkaitan kewajipannya terhadap umat Islam. Ini bukti bahawa beliau tidak terkesan dengan pengaruh penguasa hingga terpaksa mengatakan atau menulis sesuatu yang tidak benar.
Hal ini perlu sentiasa menjadi renungan para ulamā’ dan mujtahid di masa kini, pada zaman para umarā’ (pemimpin) mempunyai cengkaman kuasa yang kuat dan sesetengahnya menggunakan kekerasan dalam memastikan tindakannya diberikan justifikasi oleh para ulamā’. Ketegasan para ulamā’ terdahulu yang tidak memihak kepada selain kebenaran harus dijadikan qudwah kepada generasi ulamā’ moden.
3. Fiqhnya mengandungi panduan untuk permasalahan yang dijangka berlaku dalam umat Islam di masa hadapan.
Kitab ‘Al-Ghiyāthi’ membahaskan secara panjang lebar tentang kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan bagi umat Islam, serta hukum-hakam pada waktu itu.
Kemungkinan-kemungkinan tersebut ialah:
- Ketiadaan Imam yang bertanggungjawab ke atas urusan umat Islam pada suatu zaman. Imam Al-Juwaini menyebut, “Aku mengambil kira akan suatu tempoh di mana ketika itu tiada pemelihara agama dan pemerintah muslimin”. Ia ternyata menjadi kenyataan setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 dan umat Islam dijajah serta diperintah oleh orang-orang kafir.
- Ketiadaan para mujtahid pada suatu zaman. Kata Imam Al-Juwaini, “Dan telah aku nyatakan akan sifat-sifat (ciri-ciri) para mufti serta hukum-hukumnya, agar jelas kepada para pengkaji ketika kelak sunyinya zaman daripada para mufti..”. Para mufti yang dimaksudkan oleh Imam Al-Juwaini di sini ialah para mujtahid.
- Ketiadaan periwayatan atau pengajaran tentang mazhab-mazhab dan hukum-hakam agama pada suatu zaman. Kata Imam Al-Juwaini, “Dan tujuan aku menyatakan susunan-susunan ini agar mereka yang mukallaf beringat di zaman tiadanya para mufti dan para ulama’ yang menyampaikan ajaran mazhab-mazhab para imam fiqh..”.
- Ketiadaan ilmu uṣūl syarak (usul fiqh dan yang berkaitan) pada suatu zaman. Kata Imam Al-Juwaini, “Tujuan susunan-susunan ini ialah agar berlaku ambil berat terhadap pengajian uṣul syarak..”
Jangkaan yang dilakukan ini bukanlah seperti hukum-hukum iftirādhi (jangkaan) lain yang sia-sia dan dicela oleh ulama’. Ia merupakan situasi yang sememangnya akan berlaku berdasarkan pemerhatian beliau terhadap senario umat pada zamannya. Jikapun jangkaan ini tidak berlaku pada zamannya, ia akan berlaku tidak beberapa lama selepas itu.
Jika kita meneliti hadith-hadith Rasul s.a.w kita akan dapat mengaitkan jangkaan-jangkaan yang dilakukan oleh Imam Al-Juwaini ini. Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Sesungguhnya sebelum berlakunya kiamat itu akan ada beberapa masa, ketika itu ilmu diangkat, kejahilan muncul, dan kekeliruan berleluasa” (diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam kitab Al-Fitan, bab Ẓuhur Al-Fitan).
4. Fiqhnya menjadikan maqāṣid syarak sebagai panduan dan asas untuk membina kaedah-kaedah fiqh.
Menurut Ar-Raisūni (2003), karya karangan Imam Al-Juwaini “sarat dengan isu-isu yang berkait dengan maqasid syarak yang bersifat kulli dan juz’ie, serta mempamerkan pemikiran berasaskan maqasid yang matang dan pandangan maqasid yang cemerlang.” Ar-Raisūni juga mengatakan bahawa “pemikiran secara maqasid menguasai keseluruhan kitab Al-Ghiyāthi, pada setiap bab dan topiknya”.
Begitu juga menurut Abdul Azīm Ad-Dīb (1985), bahawa karya Imam Al-Juwaini “tidak hanya sekadar memberikan analisis pada bentuk luaran yang zahir (di dalam fiqh), bahkan beliau juga menganalisis makna dan kandungan” serta “mengkaji hakikat-hakikat dan tujuan-tujuan” bagi hukum-hukum syarak.
Menurutnya, “Syarak itu mempunyai maʿna yang menakjubkan, ia menjadi asas terbitnya pelbagai perincian dan cabang, ia menjadi sandaran para mufti di dalam membawa hidayah dan pengetahuan kepada umum, dan ia merupakan apa yang perlu dirujuk dalam mengupas permasalahan hukum mengikut situasi-situasi (yang baru) yang tiada penghujungnya.”
Perkara ini dapat dilihat dalam fatwanya kepada Niẓām Al-Mulk berkaitan pemergian beliau ke Makkah untuk menunaikan haji. Beliau melarang Niẓām Al-Mulk untuk pergi menunaikan haji dalam keadaan Islam ketika itu sedang terancam seraya menyatakan bahawa “yang menjadi kewajipan ke atas orang yang dipilih Allah untuk menjadi tulang belakang Islam (Imam) ialah menguasai dan mengawasi agama ini, siang dan malam, daripada segala yang boleh melonggarkannya”.
Dalam hal ini, Imam Al-Juwaini jelas mengikat pandangannya mengenai keharusan pemimpin Islam menunaikan haji (pada ketika itu urusan menunaikan haji mengambil masa berbulan-bulan lamanya) dengan pemeliharaan ke atas maqṣid (tujuan) yang pertama di dalam maqāṣid syaraʿ iaitu ‘ad-dīn’ atau agama. Pemimpin yang menunaikan haji ketika itu dilihat akan mengancam maqṣid ad-dīn, atas sebab itu dia dilarang.
Kemampuan mengikat ijtihād dalam fiqh siyāsah dengan maqāṣid syarak amat penting kerana kegagalan melakukannya akan menyebabkan samada ijtihād itu tidak menyelesaikan kemelut semasa, atau ia akan menyebabkan pemimpin dan masyarakat mengamalkan politik yang tidak membawa kepada tercapainya tujuan-tujuan syarak khususnya tujuan utama iaitu hifẓ ad-dīn (memelihara agama).
5. Penumpuan fiqhnya terhadap pertimbangan (muwāzanah) antara maṣlaḥah dan mafsadah dalam mengeluarkan ijtihad.
Imam Al-Juwaini menukilkan sebuah kesimpulan yang ringkas dan padat dalam membahaskan pertimbangan antara maṣlaḥah dan mafsadah. Menurut beliau pertimbangan ini ialah suatu usaha untuk “mencapai maṣlaḥah bagi Muslimin, meneroka perkara yang paling bermanfaat bagi mereka, serta mengenalpasti yang kurang berisiko daripada keburukan-keburukan, jika tidak mampu menolak semua keburukan tersebut”.
Pertimbangan antara martabat-martabat maṣlaḥah telah menjadi suatu kaedah penting yang perlu diambilkira dalam berijtihad.
Kaedah ini digunapakai saat beliau membahaskan perihal ‘apa yang mewajibkan seseorang Imam itu dilucut daripada jawatannya’.
Katanya, “Sesungguhnya orang yang menjadi Imam, apabila besar jenayahnya, banyak pelampauannya, tersebar kediktatorannya, terbongkar penyelewengannya, berterusan kesilapannya, dan ditakuti oleh sebab itu akan hilang pengawasan (al-baidhah) dan runtuhnya tunggak Islam, tiada pengganti yang boleh menggantikannya, menyingkirnya seperti menentang bughah, kita tidak boleh membenarkan individu dari hujung negeri untuk melakukan pemberontakan. Ini kerana kalau mereka melakukan demikian tentu mereka akan musnah lalu menjadi sebab kepada bertambah buruknya malapetaka dan menimbulkan lebih banyak fitnah.
Namun begitu sekiranya terdapat seorang lelaki yang ditaati, memiliki pengikut yang ramai, bersedia melakukan perubahan kerana Allah, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran, bersedia membela orang Islam, hendaklah ia maju ke hadapan dan Allah akan membantunya (tetapi haruslah dia) terikat dengan syarat yang terdahulu (yang telah ditetapkan pada awal-awal permasalahan) dari segi memelihara maṣlaḥah dan menilai kejayaan serta menimbang antara mudhorat yang akan berlaku dengan mudharat yang sedia ada,”
Menurut Abdullah Zaik (2012), kenyataan Imam Al-Juwaini ini merupakan suatu “ijtihad berpandukan maṣlaḥah (ijtihad maṣlaḥi), yakni perbandingan antara keburukan (mafsadah) dan kebaikan (maṣlaḥah) secara menyeluruh, antara kemudharatan dalam situasi yang sedia ada dengan situasi baru yang dianggarkan.”
Dalam politik, kefahaman terhadap pengamalan ijtihād maṣlaḥi adalah teramat penting lantaran kebanyakan perkembangan politik yang berlaku adalah dalam bentuk yang baru dan tidak dapat dikaitkan dengan nas-nas syarak secara langsung. Hal ini menuntut kepada ijtihād-ijtihād yang mampu menilai maṣlaḥah dan mafsadah yang terdapat dalam permasalahan politik tersebut, dan melakukan pertimbangan menurut neraca wahyu dan memenuhi tuntutan syarak, di samping menyediakan jawapan dan jalan keluar kepada para ahli politik dan masyarakat.
6. Membezakan antara naṣ yang maqṫūʿ dan naṣ yang maẓnūn dengan jelas agar tidak berlaku perselisihan yang tidak perlu.
Imam Al-Juwaini menyedari bahawa dalam kemelut yang berlaku pada zamannya, banyak perselisihan yang muncul khususnya di kalangan para ulama’. Ia membawa impak yang negatif terhadap hukum-hukum syarak yang dikeluarkan dan secara tak langsung mengancam kesatuan umat pada waktu itu.
Menurut beliau, “Di dalam perbincangan berkaitan Al-Imamah (Kepimpinan), telah berlaku banyak kerosakan dan percampuran, banyak yang cuai dan yang melampau, hampir-hampir kesemua yang membincangkan hal ini – kecuali yang dikehendaki Allah – menjadi berlebihan dan tidak adil (dalam membincangkannya)… sebab yang nyata bagi hal ini ialah kebanyakan mereka yang berbincang dalam akan perkara ini menggunakan jalan perbincangan berkaitan perkara qaṫʿie pada perkara yang sebenarnya hanya ẓonni.”
Katanya lagi, “dan kami – dengan taufiq Allah – akan menyebut perkara ini dengan membezakan perkara yang qoṫʿie dan perkara yang ẓonni.”
Ustaz Syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Siri 1: http://muis.org.my/2014/04/fiqh-siyasah-imam-al-juwaini-dan-aplikasinya-dalam-pengamalan-demokrasi-siri-1/